Sunday, February 28, 2021

Akar umbi Amanah gesa kaji semula kerjasama dengan Anwar

tuncarlos.com
February 28, 2021


KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Bukit Bintang menggesa kepemimpinan parti itu mengkaji semula kerjasama dengan PKR dan kedudukan dalam Pakatan Harapan (PH).

Gesaan itu dibuat susulan tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari AMANAH, masing-masing tiga di Johor dan dua di Selangor bertindak melompat parti.

AMANAH Kawasan Bukit Bintang dalam kenyataan bersama, hari ini, menyifatkan senario itu mengeruhkan lagi hubungan serta mencalarkan semangat setiakawan antara parti dalam PH.

Kenyataan itu turut menyuarakan sokongan terhadap kenyataan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menyesali tindakan parti komponen PH menerima keahlian ADUN AMANAH yang melompat parti.

"Tindakan ini melambangkan tiada kesepakatan dalam gabungan dibentuk. Strategi politik parti dalam PH sepatutnya berteraskan pembelaan nasib rakyat yang terkesan atas caca marba pengurusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang masih tiada keabsahan.

"Sebaliknya, bukan menzalimi sesama rakan parti PH dalam persiapan menghadapi PRU ke-15 jika parlimen dibubarkan," katanya.


Kenyataan itu ditandatangani Ketua AMANAH Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib; Timbalan Ketua AMANAH Bukit Bintang, Ahmad Thaari Abdul Rahim; Ketua Pemuda AMANAH Bukit Bintang, Sheikh Khuzaifah; Ketua AWAN AMANAH Bukit Bintang, Sharifah Juanie; Ketua WARDA AMANAH Bukit Bintang, Fatihah Salahuddin dan Ketua ARIF AMANAH Bukit Bintang, Ismail Othman.

Dalam pada itu, kenyataan berkenaan turut mengesyorkan supaya akta anti lompat parti dikaji dan diperhalusi bagi mengekang amalan sedemikian daripada semakin teruk, sekali gus menjejaskan proses demokrasi di negara ini.

"Berdasarkan Global Corruption Barometer 2020 oleh Transparency International, hampir sepertiga daripada 20,000 responden di 17 negara di rantau Asia mempunyai persepsi negatif iaitu Ahli Parlimen adalah mereka yang terbabit gejala rasuah," katanya.

Semalam, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, mengesahkan tiga ADUN di Johor meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR, sekutunya dalam PH.

Mereka ialah ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim, ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Sebelum ini dua wakil rakyat dari AMANAH di Selangor iaitu ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman juga mengumumkan penyertaan mereka ke dalam PKR.

-BHonline

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-