Showing posts with label Tun Faisal Ismail. Show all posts
Showing posts with label Tun Faisal Ismail. Show all posts

Sunday, June 4, 2023

Selagi Zahid jadi Presiden, saya tidak akan hadir: Tun Faisal

agendaily.com
04/06/2023
Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dipecat UMNO sebelum ini kerana lantang mengkritik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun UMNO mengalu-alukan bekas ahli yang dipecatnya menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, namun Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan tidak berminat lagi.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya yang dipecat itu berkata tidak akan hadir ke sebarang penganjuran aktiviti parti itu selagi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih menjadi Presiden parti.

“Selagi presidennya (Ahmad) Zahid. Saya tidak berminat untuk hadir,” katanya.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu sedia menjemput bekas ahli yang dipecat, namun hanya perwakilan dibenar memasuki Dewan Merdeka WTC.

Beliau secara berseloroh mempelawa mereka yang dipecat daripada parti itu untuk datang memperbaharui ‘samping’ UMNO.

Selain itu, Zahid juga senada dengan Asyraf apabila turut mengalu-alukan bekas ahli parti yang dipecat parti untuk menghadiri persidangan tahunan parti itu.

Perhimpunan tahun ini dilihat berbeza daripada tahun sebelum ini, ia memandangkan buat julung kalinya UMNO akan menjemput pemimpin DAP dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi rakan politik mereka walaupun bermusuh sejak bertahun lamanya.

Untuk rekod, Zahid mengambil keputusan menyokong cikgunya, Anwar sebagai calon Perdana Menteri dan juga melanggar ketetapan parti yang dibuat sebelum ini apabila membawa duduk bersama dalam kerajaan campuran bersama-sama dengan DAP.

UMNO sebelum ini memecat beberapa ahlinya termasuk bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

Selain itu, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

Wednesday, February 1, 2023

Saya pula dipecat oleh ‘UMNO Zahid Sdn Bhd’, kata Tun Faisal

agendaily,com
01/01/2023
Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, dipecat daripada parti itu hari ini (31 Januari 2023).

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menjelaskan beliau tidak menentang UMNO sebaliknya terhadap pemimpin parti, khususnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi punca perpecahan di dalam parti keramat Melayu itu.

Sehubungan itu, beliau yang menerima surat pemecatannya yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini, menegaskan tidak akan merayu lagi, lebih-lebih lagi apabila terbukti Majlis Tertinggi (MT) dan Zahid, tidak terbuka menerima kritikan.

Menurutnya ketika beliau bercakap perkara benar sebelum ini berhubung pengkhianatan Zahid terhadap dasar parti, beliau tetap dihukum kononnya kerana memfitnah.

“Jika dulu, selepas digantung selama enam tahun, saya bertindak membuat rayuan. Bukan atas sebab saya bersalah, tapi atas sebab proses menjatuhkan hukuman yang meragukan dan bermasalah di mana tribunal Lembaga Disiplin gagal membuktikan saya bersalah kerana saya tidak memfitnah Zahid.

“(Sebaliknya) surat sokongan (daripada Zahid) kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri (PM) adalah benar. Selain itu, proses membuat aduan oleh Ketua UMNO Bahagian Putrajaya (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) yang dibuat secara ‘mala fide’ dan disebabkan dia mempunyai kepentingan.

“Cara pengesahan keputusan Lembaga Disiplin yang tidak telus, terdedah kepada manipulasi dan penyalah gunaan kuasa. Ketika itu saya berpandangan mungkin cara MT dan Lembaga Disiplin membuat keputusan masih boleh diperbetulkan.

“Rupanya saya silap kerana cara Lembaga Disiplin, Mesyuarat JK Pengurusan dan MT menjatuhkan hukuman disiplin terhadap ahli memang bermasalah, boleh dimanipulasikan dan nampaknya tidak akan berubah jika tujuannya bukan untuk memberikan keadilan tetapi untuk melindungi kezaliman,” katanya dalam kenyataan hari ini (31 Januari 2023).

Tun Faisal juga berkata sekiranya MT dan Lembaga Disiplin benar-benar berfungsi maka orang pertama yang patut dipecat adalah Zahid kerana dia telah mengkhianati dasar parti dan keputusan Perhimpunan Agung UMNO sejak Oktober 2020 lagi, diikuti dengan 13 lagi pemimpin UMNO yang turut menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar menjadi PM.

“Penentangan saya adalah terhadap individu dan bukan terhadap UMNO. Bagi saya UMNO dan BN (Barisan Nasional) itu tiada masalah dan jelas prinsip perjuangannya.

“Yang bermasalah itu adalah pemimpinnya, seperti Zahid yang telah menjadi punca perpecahan di dalam UMNO sebaik dia mengkhianati dasar parti dan keputusan PAU 2019 apabila dia menandatangani SD dan surat menyokong Anwar menjadi PM.

“Itu merupakan punca perpecahan di dalam UMNO sejak 2020. Saya tidak dapat menyokong Zahid disebabkan pengkhianatan ini dan penentangan saya terhadap Zahid bermula daripada terbongkarnya pengkhianatan tersebut.

“Saya juga tidak dapat menerima pendekatan Zahid dalam memimpin UMNO dan BN untuk menghadapi PRU-15 dan bagi saya, dia sendiri adalah salah satu punca utama yang mengakibatkan pengundi dan rakyat menolak UMNO dan BN dalam PRU-15,” tambahnya lagi.

Tun Faisal berkata setelah kekalahan teruk UMNO dan BN dalam PRU-15, Zahid membawa pula parti itu mengkhianati pengundi-pengundi UMNO dengan bertindak menyokong Anwar menjadi PM dan bekerjasama dengan parti yang mempunyai ideologi yang bertentangan dengan UMNO.

Malah, katanya tidak cukup dengan itu, tindakan ‘pembersihan UMNO daripada pemimpin-pemimpin yang menolak Zahid dan usaha menghalang pertandingan jawatan Presiden akan mengakibatkan UMNO semakin dijauhi penyokong dan ahli.

“Pandangan saya, selagi Zahid menjadi Presiden, UMNO ini adalah ‘beyond repair’. Sejak dulu hingga hari ini, saya konsisten dengan perjuangan demi Islam dan ummah. Saya terlibat dalam politik bukan untuk menjadi pentaksub kepada individu.

“UMNO mungkin wadah yang paling sesuai dengan perjuangan dan jiwa saya selama ini, namun di bawah Zahid dan mereka yang membodeknya di dalam MT, di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin bekas banduan dan penjenayah liwat, bekerjasama pula dengan parti-parti yang di dalamnya terdapat ramai golongan sekular dan liberal, saya rasa perjuangan ini sukar hendak dibawa dan dilaksanakan.

“Saya yakin ramai ahli UMNO dan penyokong UMNO juga mempunyai pandangan yang sama. Bersama pemimpin yang lain, atas kapasiti saya, saya telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan UMNO dari dirosakkan dan menggali kuburnya sendiri,” katanya.

Saturday, February 27, 2021

Semua permintaan saya ditolak, Lembaga Disiplin Umno bimbang apa? soal Tun Faisal

FMT Reporters
-February 27, 2021

Timbalan Ketua Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz berkata, beliau tidak faham akan kebimbangan lembaga disiplin parti itu selepas menolak permohonannya baru-baru ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan kebimbangan lembaga disiplin parti itu yang menolak tiga permintaannya sebelum beliau dihadapkan ke tribunal Umno pada 1 Mac ini.

Faisal yang juga setiausaha akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, penolakan itu merupakan “missed opportunity” untuk menunjukkan lembaga disiplin parti itu telus, benar-benar terbuka dan mahu mencari kebenaran.

“Tiga permintaan ini saya buat selepas sekretariat Lembaga Disiplin menghubungi saya dan memaklumkan mereka mahu memberi seluas-luas ruang kepada saya untuk membela diri.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya yang menjadi kebimbangan dan ketakutan kepada pihak Lembaga Disiplin Umno apabila tidak menunaikan permintaan saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 19 Feb lalu, media melaporkan Faisal menerima surat tunjuk sebab dan bakal dihadapkan ke tribunal Lembaga Disiplin Umno yang dijadualkan pada 25 Februari lalu.

Antara kandungan surat itu, beliau diminta memberi penjelasan mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya berikutan tindakannya mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka.

Susulan itu, Faisal berkata, beliau berharap lembaga itu menunaikan tiga permintaannya sebelum dihadapkan ke tribunal pada 1 Mac ini.

Permintaan itu, antara lain meminta nama anggota tribunal termasuk pengerusi dan anggota yang bakal mengadili kes beliau, didedahkan.

Beliau turut meminta nama pengadu atau nama Umno Bahagian yang membuat aduan terhadap beliau didedahkan serta butiran aduan asal dan peraturan-peratuan yang didakwa telah dilanggar beliau.

Selain itu, beliau meminta Lembaga Disiplin Umno membenarkannya membawa dua pengamal undang-undang untuk hadir bersama sebagai pemerhati dan pihak yang boleh menasihati pada hari berkenaan.

Faisal berkata, sebagai langkah persiapan beliau sudah berbincang dengan beberapa pengamal undang-undang dan pemimpin veteran parti.

Dalam pada itu, Faisal berkata, jika ketiga-tiga permintaan tersebut dipenuhi sudah tentu tanggapan terhadap lembaga disiplin parti itu akan menjadi lebih positif.

“Tidakkah Lembaga Disiplin Umno dan parti itu sendiri akan dilihat amat komited untuk berlaku adil dan bersikap telus?

“Apapun saya telah membuat permohonan sekali lagi kepada Zulhasnan Rafique.

“Semoga Zulhasnan boleh mempertimbangkan semula permintaan saya agar ahli dan rakyat berasa yakin dengan ketelusan dan keadilan Lembaga Disiplin,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-