Mac 17, 2021 11:51
Anwar pada Selasa tidak menafikan kemungkinan kerjasama antara parti pimpinannya dengan UMNO, namun setakat ini ia masih dalam peringkat perbincangan awal. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: UMNO perlu mendedahkan serta segera menghukum pemimpin parti itu yang mengadakan perbincangan rahsia dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, sebarang kerjasama UMNO dengan PKR jelasnya melanggar dasar dan mencemarkan nama parti itu selain menimbulkan kekeliruan kepada ahli.
Tegasnya, pemimpin tersebut perlu segera dipanggil untuk memberi penjelasan kepada Majlis Tertinggi dan Lembaga Disiplin.
"Memang menjadi persoalan yang masih menjadi misteri kepada semua, siapakah dalang yang berbincang bagi pihak UMNO dengan Presiden PKR itu untuk kerjasama dengan gabungan pembangkang berkenaan.
"Semua pihak semakin bingung setelah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Penerangan, Shahril Hamdan Suffian dan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menegaskan tidak tahu menahu mengenainya selepas Anwar mengaku berbincang dengan UMNO.
"Justeru, UMNO harus mengenal pasti identiti pemimpin ini dan tampil mendedahkan kepada semua siapa yang berbincang dengan Anwar dan mengapa ia berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Presiden PKR itu juga mengakui ada perbincangan awal antara beberapa pimpinan Keadilan dan pimpinan UMNO.
Dalam pada itu, Dr Kamarul Zaman menegaskan, UMNO perlu mengambil tindakan tegas dengan menghukum pemimpin yang jelas merosakkan parti kerana mengambil tindakan yang tidak sejajar.
"Tindakan pemimpin sedemikian melanggar dasar parti yang dipersetujui sejak sekian lama, iaitu 'No Anwar, No DAP'," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.