Sunday, May 23, 2021

Tolong kami…’lockdown’ diri sendiri, rayu Dr Noor Hisham

puteradaily.com
May 23, 2021 7:32 am


Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, meminta orang ramai mengamalkan sekatan kendiri susulan lonjakan kes Covid-19 untuk mengurangkan beban dihadapi sistem penjagaan kesihatan.

Katanya, jumlah kes jangkitan baharu adalah akibat perhimpunan dan aktiviti sosial di kawasan awam yang berlaku sebelum sambutan Aidilfitri.

“Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara telah mencapai kapasiti 91%. Di Lembah Klang saja ia pada tahap 113%,” katanya, dengan menambah kapasiti ICU di hospital swasta turut mencapai 60%.

“Bantulah Kementerian Kesihatan dengan mengamalkan sekatan kendiri selama dua minggu untuk membantu kami memutuskan rantaian jangkitan,” katanya.

“Kita tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua rakyat di kawasan bandar dan luar bandar mematuhi peraturan dan duduk di rumah.”

Noor Hisham berkata, kementerian sedang menyimpan stok peralatan selain berusaha meningkatkan kapasiti di hospital awam untuk menampung bilangan pesakit yang semakin meningkat.

Katanya, kementerian akan menggunakan Ordinan Darurat untuk membolehkan Hospital Cyberjaya dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia supaya mengambil lebih banyak pesakit.

Jabatan kecemasan di hospital awam tertentu juga akan diubahsuai menjadi ICU, manakala hospital swasta akan menawarkan sejumlah 124 katil bagi pesakit kritikal.

Pembedahan elektif di hospital awam di Lembah Klang ditangguhkan buat masa ini, manakala mereka yang memerlukan pembedahan akan dirujuk ke hospital swasta.

Noor Hisham berkata, kementerian turut mempertimbangkan mewujudkan lebih banyak pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah, menggerakkan lebih banyak tenaga kerja ke Lembah Klang dan meningkatkan ujian.

Beliau turut menggalakkan organisasi bukan kerajaan, syarikat dan kerajaan negeri supaya melakukan saringan sendiri menggunakan ujian RTK-Antigen.

 | FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-