Friday, July 30, 2021

11 kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen semalam, kata Hisham

FMT Reporters
-July 30, 2021 11:45 AM

Noor Hisham Abdullah berkata semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

PETALING JAYA: Dua lagi kes positif Covid-19 dikesan di kawasan bangunan Parlimen menjadikan keseluruhan adalah sebanyak 11 kes yang dikesan semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 10 kes dikesan melalui kit ujian kendiri air liur RTK Antigen (Ag) dan satu kes melalui ujian pengesahan RT PCR.

“Kes pertama merupakan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen pada 26 sehingga 28 Julai..ujian pengesahan RT PCR dijalankan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan kerana beliau mengalami gejala batuk dan selsema.

“Kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva kerana beliau mengalami gejala batuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hisham berkata, berdasarkan maklumat siasatan awal didapati kedua-dua kes tersebut dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen.

Sehubungan itu, KKM telah menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula pada 26 Julai 2021 untuk menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan kit ujian air liur RTK Ag.

Difahamkan, pihak Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah menjalankan saringan di Parlimen pada 29 Julai.

“Sehingga jam 8.00 malam 29 Julai 2021, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit,” katanya.

Dalam pada itu, Hisham berkata semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu, terutama sekali yang mempunyai gejala.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-