Wednesday, September 29, 2021

Polis Perak buka kertas siasatan dakwaan pelajar mati akibat vaksin

FMT Reporters
-September 29, 2021 11:30 PM

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan siasatan kematian dua pelajar itu tiada kaitan dengan vaksin Covid-19 kerana kedua-duanya belum pun menerima suntikan berkenaan. (Gambar Bernama)

IPOH: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan terdapat dua pelajar sebuah sekolah di negeri ini yang dikatakan meninggal dunia akibat suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, ia susulan laporan yang dibuat Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMk) Tasek Damai dan Pegawai Pendidikan (Kesihatan) daerah Ipoh berhubung dakwaan itu.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam bagi menyebabkan ketakutan pada orang awam.

“Kita telah menerima dua laporan polis hari ini masing-masing daripada Pegawai Pendidikan (Kesihatan) Daerah Ipoh dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai.

“Laporan dibuat kedua-dua pihak itu berkaitan ketidakpuasan hati mengenai dakwaan kematian dua pelajar sekolah berkenaan adalah disebabkan suntikan vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Farid berkata, berdasarkan siasatan, kematian dua pelajar tersebut tiada kaitan dengan vaksin Covid-19 kerana kedua-duanya belum pun menerima suntikan berkenaan.

Katanya, pelajar perempuan tingkatan lima yang meninggal dunia pada 18 Ogos lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) disebabkan masalah kesihatan iaitu kencing manis dan positif Covid-19.

“Kematian pelajar lelaki Tingkatan Lima itu pada 17 September lalu di hospital sama pula kerana penyakit jantung berlubang, ” katanya.

Terdahulu tular di media sosial menerusi video berdurasi satu minit 38 saat yang dirakam dalam sebuah majlis dipercayai diadakan sebagai tanda tidak menyokong langkah kerajaan mengenakan pengambilan vaksin kepada pelajar sekolah.

Dalam ucapannya, wanita itu mendakwa berlaku dua kes kematian pelajar SMK Tasek Damai disebabkan vaksin, selain dua lagi pelajar di lokasi berlainan termasuk di Lahad Datu, Sabah, serta dua lagi remaja di Ipoh yang kononnya mengalami alahan serius selepas divaksin.

Ia turut dinafikan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali, yang berkata, siasatan KKM mendapati dua remaja berusia 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di Ipoh, Perak, meninggal dunia sebelum mereka menerima suntikan vaksin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-