Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Monday, October 18, 2021

Empat ADUN punca PRN Melaka kini sah bersama Pakatan Harapan

agendaily.com
18/10/2021

Tular gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu empat orang ADUN Melaka yang menjadi punca krisis politik baru-baru ini.

Pakatan Harapan (PH) menjadi pilihan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang menjadi punca berlakunya Pilihan Raya Negeri Melaka dan memberi sokongan sepenuhnya kepada blok pembangkang tersebut.

Semua empat ADUN tersebut hadir dalam pertemuan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam ini di sebuah hotel dan memberi komitmen untuk menyertai PH bagi menghadapi PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 20 November nanti.

Ketua kumpulan empat ADUN tersebut, Datuk Seri Idris Haron selepas pertemuan dengan Anwar berkata akan masuk bertanding dalam PRN nanti atas tiket PH dan memberi sokongan penuh kepada gabungan tersebut.

“Saya dan rakan-rakan saya bagai orang mendatang, kami tidak mahu jadi melukut di tepi gantang, masuk tak menambah, keluar tak berkurang.

“Kami faham parti ini sudah ada orang, kami tidak mahu berbicara, kami serahkan nasib kami kepada PH Melaka dalam PRN akan datang,” kata Idris yang juga bekas Ketua Menteri (KM) Melaka.

Tiga lagi bekas ADUN yang hadir adalah Datuk Nor Azman Hassan(Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Pertemuan empat ADUN tersebut dengan Anwar ini adalah kali kedua dan ia dilakukan secara terbuka berbeza dengan pertemuan sebelum ini yang dilakukan secara tidak rasmi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan penamaan calon PRN Melaka pada 8 November manakala undi awal pada 16 November dan hari mengundi 20 November.

Kerajaan Melaka pimpinan KM UMNO Datuk Seri Sulaiman Md Ali jatuh selepas tindakan dua ADUN UMNO bersama dua lagi ADUN menarik sokongan terhadapnya sehingga kehilangan majoriti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-