Friday, October 22, 2021

No Way dan Noktah! Zahid nyatakan pendirian UMNO bukan peribadi lagi

agendaily.com
22/10/2021

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah dua kali menyatakan UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid Hamidi malam tadi telah menjelaskan sekali lagi bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu. Tidak kira dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atau Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Dua kali Zahid menyatakan perkara demikian. Kali pertama dia berkata ‘No Way’ kepada pertanyaan sama ada UMNO akan bekerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), dan kali kedua malam tadi dia berkata ‘tiada kerjasama… noktah’.

Jadi tidak perlulah lagi pemimpin-pemimpin UMNO yang telah diketepikan seperti Shahidan Kassim, Annuar Musa, Hishammuddin Hussein, Tajuddin Rahman, hatta Ismail Sabri Yaakob sekali pun untuk berwayang lagi kononnya UMNO memerlukan kerjasama Bersatu dan PN jika mahu menang PRN Melaka atau PRU.

Dengar dan ikutlah cakap Presiden anda yang begitu yakin UMNO akan menang besar dalam PRN Melaka dan PRU akan datang.

Lagipun, anda hanya Naib Presiden, bekas Setiausaha Agung, bekas Ketua Penerangan, bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) sahaja, semuanya adalah ‘bekas’ – seperti timun – sedangkan Zahid dan kumpulannya dalam MT lebih berkuasa ibarat durian.

Sekarang ini, suara Zahid adalah suara UMNO. Usahlah memujuk diri mengatakan “itu adalah pandangan peribadi Zahid”, sedang semua orang tahu kata-kata Zahid tidak boleh dibantah.

Usahlah memberi harapan kepada rakyat bahawa UMNO akan bekerjasama dengan Bersatu, malah dengan PAS yang menjadi sekutu di dalam Muafakat Nasional (MN) sekali pun, hubungan sudah retak menunggu belah.

Usahlah PAS terhegeh-hegeh merayu menjadi orang tengah antara UMNO dan Bersatu sedang mereka sendiri tidak dilayan oleh Zahid yang telah memberi kata putus. Kata-kata Zahid sekarang mewakili UMNO, bukan dirinya lagi, kerana dia adalah presiden parti Melayu terbesar di dunia.

Bukan kita ingin melihat perpecahan, tetapi jika di satu pihak enggan bersatu, menunjukkan keangkuhan, maka biarkan lah ‘si luncai terjun dengan labu-labunya’.

Apa yang menjadi misteri sekarang ini ialah pemimpin UMNO di peringkat Kerajaan Pusat – kerajaan Keluarga Malaysia yang mendapat dukungan daripada Bersatu, PAS dan PN.

Siapakah yang akan mereka bantu berkempen pada PRN Melaka? Sejarah membuktikan mana-mana ahli UMNO berkempen bagi pihak lawan akan dikenakan tindakan tegas.

Rakyat hendak melihat jika UMNO meletakkan calon misalnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, demikian juga PN (tidak kira sama ada Bersatu atau PAS) meletak calon mereka di situ, selain calon Pakatan Harapan (PH), sekali gus menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Adakah Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri atau menteri-menteri UMNO yang lain tidak turut serta berkempen di DUN Sungai Udang atau kawasan lain? Jika turun berkempen, calon mana yang akan mereka sokong? UMNO atau PN?

Jika berkempen untuk UMNO – sekali gus ia akan memperlecehlkan calon Bersatu atau PAS – bagaimana Ismail Sabri akan berdepan dengan pemimpin parti lain yang menganggotai barisan Kabinetnya?

Rasanya mereka akan tertekan kerana pada peringkat Pusat, Ismail Sabri mendapat sokongan lebih 50 Ahli Parlimen PN dan sekutu untuk membentuk kerajaan Keluarga Malaysia.

Kita juga melihat keputusan Zahid itu adalah satu bentuk tekanan yang dilakukan terhadap Ismail Sabri serta pemimpin UMNO yang menyokong PN, terutama Bersatu.

Oleh itu, tak perlulah Shahidan, Annuar, Nazri Aziz, Hishammuddin dan pemimpin UMNO lain dalam Kabinet Ismail Sabri, beria-ia menyatakan kepentingan kerjasama dengan Bersatu dan PN. Zahid telah buat keputusan ‘No Way’.. Noktah!

Tidak perlulah lagi mengibar bendera, bersuara mendesak UMNO bekerjasama dengan PN, khususnya Bersatu, semata-mata untuk mengambil hati Muhyiddin Yassin. Siapa anda berbanding Zahid?

Kita wajar memuji pendirian tegas Zahid setelah dua kali menyatakan ‘No Way’ dan ‘Noktah’ kepada persoalan sama ada akan bekerjasama dengan Bersatu dan PN. Lagipun seperti alasan diberi oleh Zahid ‘keputusan itu adalah suara Perhimpunan Agung UMNO’.

Akhir kalam, sudah dua kali Zahid tolak dan semua pihak patut hormatinya.

Tok Akhi
Pemerhati politik kampung

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-