Thursday, October 21, 2021

PH setuju tidak namakan Norhizam sebagai calon

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 21, 2021 6:22 PM


PRN MELAKA | Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk tidak akan menamakan Norhizam Hassan Baktee sebagai salah seorang calon mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan bulan depan.

Menurut Majlis Presiden PH, gabungan itu menerima pelbagai pandangan daripada pihak yang berkaitan mengenai empat bekas Adun Melaka yang bertindak membatalkan sokongan mereka kepada Sulaiman Md Ali selaku ketua menteri pada 3 Okt lalu.

Kata mereka PH meletakkan kepentingan rakyat melebihi mana-mana individu.

Disebabkan keempat-empat Adun terbabit kini tidak menganggotai mana-mana parti dalam PH, soal pencalonan mereka tidak dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan mereka.

"Walau bagaimanapun, Majlis Presiden PH memutuskan bahawa Norhizam Hassan Baktee tidak akan dijadikan calon dalam PRN Melaka," kata kenyataan tersebut.

Ia ditandatangani Presiden PRK merangkap Pengerusi PH Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Wilfred Madius Tangau.

Walaupun bertanggungjawab menyebabkan kerajaan BN-Perikatan Nasional (PN) Melaka jatuh, sesetengah pemimpih PH menunjukkan rasa kurang senang mereka terhadap empat bekas Adun terbabit iaitu Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam (Pengkalan Batu).

DAP sendiri secara tegas menyatakan tidak akan menerima jika Norhizam dinamakan semula sebagai calon PH.

Ia menjadi lebih tegang apabila ada pula pemimpin dalam PH dilihat meraikan mereka kerana peranan mereka menjatuhkan BN-PN di Melaka.

Untuk rekod dua daripada bekas Adun terbabit - termasuk Norhizam - memenangi kerusi masing-masing pada 2018 melalui tiket PH namun berpaling tadah sehingga menjatuhkan kerajaan gabungan berkenaan pada tahun lalu.

Norhizam sebelum ini merupakan anggota DAP dan dilantik menjadi exco Melaka di bawah kerajaan PH, selain diberi tempat juga dalam kabinet kerajaan BN-PN selepas itu.

Majlis Presiden PH juga berkata gabungan tersebut bersetuju melantik bekas ketua menteri Adly Zahari - yang juga pengerusi PH Melaka - mengetuai jentera pilihan raya bagi menghadapi PRN berkenaan.

PH juga kata kenyataan tersebut akan menghantar wakil untuk bertemu serta berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai prosedur operasi standard PRN Melaka.

"Ini bagi menyampaikan pandangan PH serta memastikan prinsip demokrasi dijunjung, hak parti-parti politik bertemu pengundi tidak terjejas, dan perjalanan pilihan raya adalah adil kepada semua terutama ketika Melaka berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-