Thursday, October 14, 2021

Umno tak mampu tangkis ‘serang balas’ penyandang, kata penganalisis




Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam dilema sama ada memilih untuk dilihat lemah mengambil tindakan atau terpaksa kekalkan kestabilan partinya, menurut penganalisis.

PETALING JAYA: Umno tidak mampu menangkis “serangan balas” penyandang kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada sekiranya Ahmad Zahid Hamidi, selaku presiden parti, berkeras enggan memberi watikah pencalonan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Situasi berkenaan didorong kebimbangan bahawa penyandang kerusi berisiko mencari tempat dalam parti lain, termasuk parti seteru seperti Bersatu, PKR atau memilih PAS.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Jayum Jawan berkata, situasi berkenaan meletakkan Umno dan kepemimpinannya dalam dilema, jika penyandang tidak dicalonkan.

“Mereka akan mencari tempat dalam parti lawan. Jika penyandang dicalonkan pula, ia dilihat sebagai tanda kelemahan kepimpinan Umno. Ibarat pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapak,” katanya kepada FMT.
Jayum Jawan.
Pada PRU14, Umno menang 54 kerusi Parlimen, namun angka itu berkurangan selepas 15 daripada mereka melompat parti dan menyertai Bersatu.

Ketika krisis sokongan terhadap Perdana Menteri ketika itu Muhyiddin Yassin memuncak pada Julai, 25 Ahli Parlimen Umno enggan menarik sokongan terhadap kepemimpinan kerajaan diterajui beliau, walaupun Zahid mengarahkan semua Ahli Parlimennya menurut arahan parti.

Zahid ketika itu, hanya mampu menyakinkan 13 Ahli Parlimen, termasuk dirinya untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Ismail Sabri Yaakob, dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Dalam pada itu Jayum berkata, bagaimanapun penyandang kerusi sedia ada berkemungkinan menolak tawaran pencalonan semula kerana mahu memilih platform baharu dengan peluang menang lebih cerah kerana enggan dikaitkan dengan parti yang mengalami kekalahan teruk pada PRU14.

“Justeru, Umno dan Zahid tidak mempunyai “upper hand” (kelebihan) dalam soal ini,” katanya.

Mengulas pendirian Umno yang mahu bertanding bersendirian menggunakan platform Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka tanpa membabitkan Muafakat Nasional (MN) dan PAS, Jayum berkata, parti berkenaan tidak bersedia untuk berkongsi kuasa di negeri itu.

Katanya, Umno dijangka turut bersendirian menjelang PRU15 kerana berpandangan kos bersama PAS adalah agak tinggi, terutama melepaskan sejumlah kerusi untuk ditandingi PAS.

“Pemimpin utama Umno percaya parti tersebut masih kuat dan berpotensi kembali ke kancah politik negara seperti sebelum ini.

“Hanya dengan cara itu sahaja Umno akan tahu sama ada peranan dan zaman keagungannya sebagai parti politik utama orang Melayu di Semenanjung dan di seluruh negara masih relevan atau tidak dalam politik negara,” katanya.
freemalaysiatoday.com
Amirul Faiz
-October 14, 2021 9:30 AM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-