Friday, November 26, 2021

Kalau PAS enggan kerjasama, Umno tak paksa, kata pemimpin BN Selangor

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 26, 2021

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil berkata, Umno tidak akan menghalang PAS, jika ia ingin meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

PETALING JAYA: Umno tidak akan memaksa PAS meneruskan kerjasama dengannya, jika parti itu enggan berbuat demikian, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Beliau berkata, terpulang kepada PAS untuk memilih parti mana yang mereka mahu menjalin kerjasama dan begitu juga sebaliknya.

“Tiada paksaan dalam Islam. Jika PAS ingin teruskan kerjasama mereka dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15), itu keputusan mereka dan kita tidak akan halang,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Isham berkata, Umno tidak akan menerima sebarang syarat kerjasama yang memaksa parti itu menyerahkan “kerusi-kerusi lompat” kepada Bersatu.

Ini kerana, katanya, akar umbi dan pemimpin parti telah membuat keputusan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

“Sebab jika kita terima dan bekerjasama dengan mereka, rakyat akan hukum kita pula dalam PRU15, sebagaimana rakyat telah menghukum pelompat parti di pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini.

“Sekiranya kita (BN) terpaksa pergi solo lagi, maka kita terima hakikat itu dan akan teruskan kecekalan dan usaha untuk mencapai kejayaan di atas kaki dan kekuatan sendiri, dan kita tidak perlu was-was, kurang keyakinan atau lemah semangat.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-