Wednesday, November 24, 2021

Pandangan terhadap tabiat Zahid berbelanja mewah sangat prejudis, kata peguam

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 24, 2021 9:00 PM

Peguam Hamidi Mohd Noh, phaknya membantah sekeras-kerasnya penggunaan fakta tidak relevan yang dinyatakan pendakwaan kerana ia sangat prejudis terhadap Ahmad Zahid Hamidi.

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu tidak relevan bagi pihak pendakwaan memberikan pandangan berhubung tabiat berbelanja Ahmad Zahid Hamidi dan isterinya dalam perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Presiden Umno itu.

Peguam Zahid, Hamidi Mohd Noh yang mengemukakan hujahan pada akhir kes pendakwaan, berkata pihak pendakwaan tidak sepatutnya membangkitkan isu berkenaan kerana ia tidak perlu.

Katanya, pihak pembelaan membantah sekeras-kerasnya penggunaan fakta tidak relevan yang dinyatakan pendakwaan kerana ia sangat prejudis terhadap anak guamnya.

“Kami memohon mahkamah tidak menimbang pandangan pendakwaan berhubung tabiat berbelanja yang tidak relevan sama sekali. Kami sangat tersinggung dengan kenyataan yang penuh prejudis dan tidak relevan dengan fakta dalam kes ini,” katanya dipetik Berita Harian.

Hamidi merujuk hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran bahawa Zahid dan isteri, Hamidah Khamis menjelaskan bil kad kredit melebihi RM1.3 juta menggunakan wang Yayasan Akalbudi, selepas membeli-belah di gedung mewah seperti Giorgio Armani, Louis Vuitton dan Hermes dalam tempoh dua tahun.

Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 dakwaan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Raja Rozela dalam hujahannya berkata: “Walaupun diakui tabiat berbelanja tertuduh dan isteri mungkin tidak menjadi masalah dalam kes ini, seseorang akan tertanya-tanya sama ada mereka memikirkan golongan miskin di negara ini ketika membeli-belah di gedung berjenama dan mewah.”

Sementara itu, Hamidi berhujah anak guamnya tidak sepatutnya didakwa kerana pihak yang melakukan kesalahan ialah bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mazlina Mazlan.

Beliau berkata, Mazlina bukan kambing hitam dalam kes terbabit, sebaliknya saksi pendakwaan ke-90 itu ialah penyebab anak guamnya didakwa.

Katanya, pendakwaan tersilap apabila beranggapan Zahid berhasrat menjadikan Mazlina sebagai kambing hitam atas kesalahan yang dilakukannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-