Wednesday, December 15, 2021

‘Selepas cadangan PRU awal ditolak, Zahid bangun tinggal mesyuarat MT’

agendaily.com
15/12/2021

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Tidak seperti kebiasaan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden tidak membuat penggulungan semasa penghujung mesyuarat yang berlangsung pada 8 Disember lalu.

Zahid sebaliknya bingkas bangun meninggalkan mesyuarat selepas Ahli-ahli MT selesai menyuarakan pandangan masing-masing, jelas kelihatan kekecewaannya apabila gagal memujuk supaya pilihan raya umum diadakan dengan segera, kata sumber.

Mesyuarat pada malam selepas keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak itu sangat penting memandangkan bekas Presiden UMNO itu kalah dalam rayuannya dan kini tinggal peluang terakhir untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Sumber memberitahu riak muka Zahid nyata cemas dan panik semasa mesyuarat tersebut berlangsung, Najib boleh dianggap sebagai rakan karib kepada Zahid yang juga sedang berdepan pertuduhan di mahkamah ketika ini.

Matlamat asalnya adalah bagi membincangkan strategi seterusnya susulan keputusan mahkamah Najib, ia sepatutnya memberi fokus mencari jalan supaya PRU diadakan dengan segera.

Topik perbincangan semasa mesyuarat MT itu pada mulanya bagi membincangkan implikasi kes Najib kepada parti dan apakah pilihan yang masih ada untuk menyelamatkan bekas Perdana Menteri (PM) itu daripada menjalani hukumannya.

Namun, cadangan mengadakan PRU yang dibangkitkan oleh beberapa ahli MT dalam kem Zahid tidak mendapat sokongan majoriti, malah terdapat beberapa individu semasa mesyuarat itu menolak keras langkah tersebut.

Sebaliknya, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipertahankan beberapa Ahli MT lain untuk terus memimpin kerajaan sedia ada.

Satu-satunya Ahli MT yang beria-ria menyokong cadangan supaya PRU disegerakan adalah Datuk Puad Zarkashi yang diketahui umum merupakan orang kuat Zahid.

Malah, semasa Ismail Sabri menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika era kerajaan Perikatan Nasional (PN), Puad juga secara terbuka menyerang Ismail Sabri dan memberi amaran supaya mengikut telunjuk Presiden.

“Puad semasa mesyuarat menggesa supaya cadangan PRU awal yang dibuat Zahid dipatuhi, memberi isyarat kepada Ismail Sabri supaya mendengar arahan Presiden.

“Lebih menarik, seorang ahli MT yang agak senior bangun dan membidas Puad semasa mesyuarat supaya tidak berlagak kerana dirinya hanya sekadar MT lantikan, bukan menang pemilihan parti tetapi bercakap besar seolah-olah mewakili suara akar umbi,” kata sumber.

Kecaman tersebut menyebabkan Puad terkedu dan malu dengan diri sendiri, panglima yang diharapkan Zahid menjadi kucing kesipuan dalam mesyuarat tersebut.

Selain itu, seorang lagi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid juga tidak bersetuju sekiranya PRU dipercepatkan dan berhujah panjang lebar bagi menjelaskan pendiriannya.

Panglima yang diharapkan Zahid semasa mesyuarat MT pada malam tersebut tidak lagi gah seperti sebelum ini yang bertekad menjatuhkan kerajaan dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkemungkinan masing-masing sudah mendapat imbuhan atau jawatan yang dipinta.

Kecewa dan seakan tidak berpuas hati apabila matlamat yang dihajati tidak tercapai, pada penghujung mesyuarat Zahid bangun sekitar jam 12 malam lebih meninggalkan mesyuarat tanpa menggulungnya dan beredar pulang.

Malah, tiada kenyataan media sebaik berakhir mesyuarat MT seperti kebiasaannya dan hanya dikeluarkan keesokkan hari.

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan rasa tidak puas hati berhubung keputusan mahkamah melibatkan Najib disamping menyentuh persidangan peringkat akar umbi yang berlangsung minggu lepas.

Melihat kepada senario semasa, berkemungkinan satu-satunya jalan yang ada untuk Zahid bagi mendesak PRU awal adalah dengan merancang strategi sama seperti yang berlaku di Melaka.

Bagaimanapun, persoalannya kini adakah Zahid berani menarik sokongan terhadap PM daripada UMNO sendiri dan menumbangkan kerajaan sendiri seperti di Melaka?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-