Saturday, December 4, 2021

Zahid kata pengundi muda pasti sokong BN jika tak lupa jasa BN

malaysiamerdeka.com
December 4, 2021


PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyakini pengundi muda pasti bersama Barisan Nasional (BN) sekiranya golongan itu cakna terhadap beberapa perkara penting termasuk sumbangan parti itu kepada negara.

Ahmad Zahid berkata, pengundi muda akan memihak kepada BN jika mereka mengetahui sumbangan dan jasa besar Kerajaan BN kepada rakyat dan negara.

Katanya lagi, golongan itu pasti meyakini BN andai mereka sedar kerajaan BN adalah ‘arkitek’ kepada segala kemudahan yang sedang mereka nikmati termasuk pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

“Pengundi muda pasti mempercayai BN sekiranya mereka diperlihatkan tentang rekod gemilang kerajaan BN dalam memakmurkan dan mensejahterakan tanah air.

“Pengundi muda pasti menyokong BN jika mereka difahamkan tentang kerajaan BN yang tertewas PRU-14 adalah angkara fitnah dan manipulasi politik.

“Mereka pasti mahu BN kembali sebagai teras kerajaan Malaysia kerana golongan itu yang dilengkapi teknologi maklumat memiliki daya fikir yang tinggi,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, Ahmad Zahid menggesa seluruh pemimpin, ahli dan penyokong BN berusaha memastikan golongan muda negara cakna mengenai fakta-fakta penting ini demi masa depan semua.

“Jangan bersangka sebaliknya terhadap mereka, malah seharusnya meyakini orang muda mempunyai fikiran yang rasional dan mampu menilai dengan baik.

“Apa yang pengundi muda perlukan adalah sedikit dorongan agar mereka dapat membuat penilaian yang jujur tentang kemampuan kerajaan BN,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, golongan muda masa kini merupakan generasi berpengetahuan mampu menilai sama ada dakwaan itu berasas atau sekadar pembohongan.

“Begitu juga dalam isu terkini berkaitan kenaikan harga barang yang konon disebabkan BN menang besar PRN Melaka.

“Secara literal tiada logik ekonomi bagaimana kemenangan BN di sebuah negeri boleh dikaitkan dengan kenaikan harga barang.

“Walhal ia merupakan permasalahan global berikutan peningkatan kos serta kesan permintaan dan penawaran,” katanya.

Jelas Ahmad Zahid, isu kenaikan harga barang menjadi semakin berat disebabkan ketiadaan dasar kontingensi kerajaan 22 bulan dan 17 bulan.

“Justeru, sematkan keyakinan bahawa pengundi muda tidak semudah itu dipermainkan dan teruskan usaha mendekati serta memperlihatkan kebenaran kepada mereka,” katanya, menurut laporan Malaysiapost.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-