Saturday, December 4, 2021

PAS buat keputusan tolak MN kerana UMNO mungkir janji

agendaily.com
4/12/2021

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata parti itu menolak gagasan MN kerana UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui.

PAS hari ini membuat kenyataan terbuka yang menolak Muafakat Nasional (MN) kerana mendakwa UMNO tidak menepati janji yang termaktub dalam piagam gagasan yang dibentuk.

Setelah menolak kerjasama bersyarat yang dihulurkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu, parti Islam itu berpegang kepada janji untuk membawa parti lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai MN.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata parti itu menolak gagasan MN kerana UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.

Memetik laporan Utusan hari ini beliau berkata, berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan NGO.

Menurutnya, namun malangnya apabila sampai peringkat pelaksanaan, kepimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan PAS (sahaja) dalam MN.

“Bermakna ini sudah lari daripada perjanjian, ini tak betul sedangkan kita berpegang pada perjanjian. UMNO mahu PAS dan parti mereka sahaja dalam MN.

“UMNO tak boleh mengarahkan PAS kerana PAS parti tersendiri. Nak suruh PAS dengan UMNO sahaja (dalam MN) tak boleh, sebab kita dah berjanji dengan parti-parti lain, kita sudah tetapkan tarikh nak berjumpa dengan Bersatu dan parti lain, bahkan nak terima Bersatu masuk MN.

“PAS terbuka tetapi malangnya dia (pimpinan UMNO) nak PAS dengan UMNO sahaja, jadi tak bolehlah, PAS tak boleh diarah, PAS parti tersendiri, PAS bukan di bawah BN (Barisan Nasional),” katanya dipetik daripada laporan itu.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Mahabbah Rasulullah SAW sempena Maulidur Rasul di Dewan Majlis Daerah Selama, Sungai Bayor dekat Larut, Perak, hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sementara itu, dalam ucapannya di majlis tersebut, Abdul Hadi berkata, PAS akan melawan sesiapa sahaja jika ada pihak yang degil walaupun pihak berkenaan mempunyai kekuatan.

“Siapa pihak yang degil itu? Kita akan lihat nanti, tapi satu contoh sudah berlaku di Melaka (PRN) apabila UMNO degil kita lawanlah.

“Dalam PRU15 nanti tak tahu lagi. Boleh jadi UMNO kena fikir balik kerana dalam PRN Melaka undi kepada UMNO tak naik, undi ditakuk lama, bagaimana kalau semua keluar habis mengundi? Jadi dia (UMNO) kena fikir baliklah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-