Thursday, January 13, 2022

Anwar akui bimbang kalah PRN lagi jika DUN Johor dibubar

agendaily.com
13/1/2022

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anak muridnya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya bakal kalah teruk sekali lagi dengan lebih memalukan jika satu lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Anwar yang juga cikgu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas sebarang usaha untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor bagi memberi laluan PRN dijalankan seperti yang berlaku di Melaka dan Sarawak.

Serik selepas dimalukan dengan kekalahan teruk dalam PRN Melaka dan Sarawak, Anwar mempersoalkan kewajaran satu lagi PRN diadakan di Johor dengan memberi alasan rakyat ketika ini sedang terjejas terus akibat kesan penularan Covid-19 dan bencana banjir besar baru-baru ini.

“[…] apa kewajarannya? Kes Covid-19 bertambah, sekatan perlu (diadakan) dan perjalanan kempen itu akan memihak kepada kerajaan… itu semua kita tahu,” katanya dipetik portal Malaysiakini hari ini.

Menurut Anwar, walaupun banjir sudah reda dan kes Covid-19 semakin menurun, ia tidak wajar diadakan alasan untuk mengadakan satu lagi PRN memandangkan rakyat ketika ini masih bergelut untuk membina semula kehidupan mereka.

“Banjir surut tidak bermakna dah selesai masalah. Rakyat masih susah, kadang-kadang mereka (pemimpin kerajaan) ini tak faham, tak pernah turun ke bawah, turun begitu-begitu sahaja, ‘main wayang’ sikit,” tambahnya.

Pada 25 Dis lalu, kerajaan Johor yang diketuai UMNO memaklumkan akan memantau keadaan semasa termasuk keperluan untuk mengadakan PRN berikutan hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di DUN.

Desas-desus pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN Johor dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan sejak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar, meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan seorang ADUN dari blok kerajaan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN juga bertiup kencang.

Namun Ahad lalu, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, menafikan khabar angin bahawa beliau individu yang dikaitkan dengan dakwaan itu.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan agihan terkini adalah UMNO dan DAP masing-masing menyandang 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (2), PAS (1), Amanah (6) dan PKR (7).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang berikutan kematian ADUN Kempas.

Untuk rekod, dua PRN lalu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) tersungkur dan ditolak rakyat di Melaka dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-