Tuesday, January 25, 2022

Kerjasama dengan PH, PN sentiasa terbuka dengan pandangan: Muhyiddin

agendaily.com
25/1/2022

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perikatan Nasional (PN) sentiasa terbuka dengan sebarang pandangan dan tidak mudah menolak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan beberapa pemimpin Parti Amanah yang mahu pintu rundingan Pakatan Harapan (PH) dibuka dengan PN dan Bersatu.

Bagaimanapun, Muhyiddin memberitahu setakat ini tidak ada sebarang perbincangan atau jemputan rasmi dibuat PH berhubung sebarang bentuk rundingan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Setakat ini belum ada apa-apa lagi. Saya tak tahu apa tujuan mereka. Biasa sikap kita terbuka dengan pandangan orang. Kita tak mudah nak tolak,” katanya semasa ditemui media sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu hari ini.

Mengulas berhubung gesaan akar umbi Bersatu agar cadangan berunding kerusi dengan PH dipertimbangkan, Muhyiddin berkata itu hanya pendirian mereka dan PN kekal dengan ketetapan yang sudah diputuskan iaitu bertanding semua kerusi pada PRN Johor.

“Itu hanya dakwaan mereka. Saya kata, kita belum ada mesyuarat apa-apa setakat ini.

“Pendirian kita hanya PN saja, kalau ada pihak tertentu katakan sesuatu, itu pendirian mereka. Kita setakat hari ini PN,” katanya lagi.

Muhyiddin menjelaskan PN bakal bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor nanti, ia selepas mengadakan perbincangan dengan rakan dalam parti gabungan termasuk PAS serta Gerakan.

“Kalau setakat hari ini begitulah (tanding semua kerusi DUN Johor).

“Kita belum berjumpa PN secara semua tapi pandangan pimpinan parti gabungan begitulah,” katanya lagi,

Awal hari ini, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya membuka pintu rundingan dengan Bersatu bagi mengelak episod PRN Melaka berulang lagi.

Kedua-dua pemimpin tersebut berpandangan langkah tersebut penting jika tidak mahu senario di Melaka dan Sarawak berulang.

Sementara itu, seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Naaman turut menyokong kerjasama antara PN dengan blok pembangkang dalam menghadapi keangkuhan dan kegopohan UMNO/BN dalam PRN Johor.

Beliau berkata, fokus seluruh rakyat khususnya para pengundi di Johor wajar disatukan bagi membenam Kluster mahkamah serta pihak yang mendukung golongan itu dalam UMNO.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-