Monday, January 17, 2022

Pilihan raya segera cara terbaik hapuskan katak-katak yang melompat

malaysiamerdeka.com
January 17, 2022 


KENYATAAN Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mendakwa tiada keperluan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam masa terdekat adalah bersifat dangkal.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mempersoalkan jika PRN boleh diadakan di Melaka dan Sarawak, mengapa tidak di Johor.

“Sekarang YB (Ahmad Faizal) kata tiada keperluan untuk adakan pilihan raya di Johor. Saya tidak bersetuju. Biarlah rakyat Johor dan kerajaan Johor yang menentukan.

“Jika di Sarawak dan Melaka boleh diadakan pilihan raya, apakah yang menghalang dan menjadi alasan untuk tidak mengadakan pilihan raya di Johor selepas musibah banjir ini reda?

“Mengapa di Melaka dan Sarawak boleh tetapi di negeri-negeri lain tidak boleh pula sedangkan di negeri tersebut keadaan majoriti amat tipis menyukarkan pentadbiran kerajaan untuk membantu rakyat?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Tambah memburukkan keadaan, Isham menjelaskan, selepas Langkah Sheraton ramai wakil rakyat ‘katak melompat’ berada dalam kerajaan yang sebenarnya mereka ini telah melanggar mandat rakyat dan bukan lagi memiliki majoriti sokongan pengundi seperti mana diperoleh pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Di kawasan YB sendiri iaitu Tambun, pada PRU14 lepas YB dapat 38,661 undi atas tiket PH. Tetapi lebih 21,000 daripada undi yang YB dapat ini adalah undi bukan Melayu yang telah undi PH.

“Jika ditolak sokongan mereka ini apabila YB lompat keluar PH, YB sebenarnya telah kalah kepada calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 17,000 undi kerana BN telah mendapat 33,341 undi.

“Oleh itu, secara jujurnya, adakah YB rasa YB masih layak untuk mewakili rakyat di kawasan Parlimen YB ini dan menggubal undang-undang dan dasar untuk mereka walaupun YB sebenarnya tiada sokongan majoriti di kawasan yang YB wakili?,” katanya.

Menurut Isham, senario politik menjadi lebih teruk jika pelompat parti dan pengkhianat dilantik menjadi menteri dan memegang portfolio pentadbiran kerajaan dan membuat dasar.

“Dasar-dasar dibuat tanpa kepercayaan rakyat terhadap legitimasi pembuat dasar (wakil rakyat yang mengkhianat atau melompat parti) sukar untuk diyakini, diterima dan dilaksana banyak pihak kerana dasar-dasar ini tidak lagi mewakili suara majoriti.

“Ia bukan sahaja melunturkan keyakinan rakyat dan penjawat awam yang perlu melaksanakan dasar-dasar ini, malah memberi kesan negatif kepada keyakinan pasaran dan pelabur.

“Lebih 80 peratus daripada 31 Ahli Parlimen dalam parti YB (Bersatu) adalah pelompat parti, sebahagian daripada mereka menjadi menteri.

“Keadaan politik yang tidak stabil akibat lompat-melompat parti oleh pengkhianat seperti yang dibuat oleh parti YB ini (Bersatu) menyukarkan pemulihan ekonomi negara dan rakyat,” katanya.

Justeru, Isham berkata masalah itu perlu diselesaikan dengan mengembalikan mandat kepada rakyat melalui pilihan raya untuk menentukan legitimasi wakil-wakil rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-