Friday, January 14, 2022

Zahid sahkan PRN Johor mungkin dalam masa terdekat, enggan layan rayuan Anwar

agendaily.com
14/1/2022

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu agar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak diadakan dalam masa terdekat, namun Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan melayan permintaan tersebut.

Zahid nampaknya sudah tidak lagi mahu bekerjasama dengan Ketua Pembangkang itu apabila memberi bayangan kemungkinan PRN Johor mungkin diadakan dalam masa terdekat dan UMNO sudah bersiap-sedia sepenuhnya sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan nanti.

Katanya, jentera pilihan raya UMNO di Johor juga bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku PRN Johor jika desas-desus mengenainya menjadi kenyataan.

“Kesiapsiagaan jentera kita adalah dengan melakukan pendekatan operasi di beberapa tempat serta dilihat menerusi kejayaan beberapa PRN lalu.

“Bukan sesuatu di luar kebiasaan PRN Johor untuk kami menyertainya,” katanya dipetik laporan BH.

Anwar sebelum ini membantah sebarang langkah untuk mengadakan PRN Johor ketika rakyat baharu sahaja berdepan bencana banjir dan masih bergelut dengan penularan Covid-19.

Terdahulu, Zahid menerima memorandum ‘Notice of Liability’, bantahan terhadap Akta 342 daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memberi lampu hijau kepada parti itu untuk bersiap sedia menghadapi PRN Johor bagi mencari mandat baharu mendirikan kerajaan lebih stabil berbanding majoriti satu kerusi ketika ini.

Kerajaan Johor ketika ini memiliki majoriti tipis satu kerusi menerusi 28 DUN berbanding 27 di blok pembangkang dan dianggap ‘goyah’ selepas kematian bekas Menteri Besar yang juga Ahli DUN (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian.

Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka November lalu memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus meyakinkan UMNO untuk menghadapi PRN Johor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-