Sunday, March 20, 2022

Taksub, guna pemimpin strategi ketinggalan zaman, rakyat tak bodoh, kata Rafizi

freemalaysiatoday.com
Yasmin Abdul Latif
-March 20, 2022 12:35 PM
Terdapat gesaan membawa masuk pemimpin tertentu untuk mencipta semula kemenangan seperti yang berlaku pada 2018 apabila PH menang dalam PRU14, menurut Rafizi Ramli.

PETALING JAYA: Strategi menggunakan tokoh pemimpin tertentu untuk menarik undi sudah ketinggalan zaman memandangkan pemikiran rakyat kini jauh lebih terbuka, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Memang ada juga segelintir pandangan dalam PH (Pakatan Harapan) bahawa politik ini adalah soal yang dipanggil ‘tsunami’. Politik ini adalah soal rakyat yang akan mengikut seorang batang tubuh pimpinan, kalau pemimpin itu datang ‘semua’ rakyat akan datang.

“Saya tak bersetuju sebab saya rasa rakyat tak bodoh, kalau kita nak ambil pandangan rakyat ini senang dicucuk hidung, datang seorang dia ikut semua ‘it’s very outdated’ (ketinggalan zaman),” katanya dalam program bual bicara Terpaling Terus Terang yang disiarkan secara langsung di Facebooknya.

Rentetan beberapa kekalahan dalam pilihan raya negeri, beliau berkata, terdapat gesaan membawa masuk pemimpin tertentu untuk mencipta semula kemenangan seperti yang berlaku pada 2018 apabila PH menang dalam PRU14.

Rafizi berkata, pandangan tersebut membuatkan PH terpisah daripada realiti sebenar rakyat, yang sebenarnya mahukan corak pimpinan yang mampu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.

“Dalam PH sebelum 2018 pandangan begitu yang memberi terlalu banyak kekuatan politik kepada watak seperti Tun Mahathir, ada segelintir pimpinan PH yang betul-betul taksub bahawa kalau tiada Tun M kita tak menang.

“Itu sebenarnya menunjukkan mereka agak terpisah daripada realiti sebenar rakyat, dia tidak sedar bahawa rakyat kalau dia nak berubah adalah berkenaan soal pekerjaan, soal gaji dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rafizi berpandangan dalam meraih sokongan rakyat PH tidak perlu bergabung dengan mana-mana parti termasuk Perikatan Nasional (PN) kerana ia akan mewujudkan kompromi khususnya dalam soal dasar dan jawatan.

Beliau berkata, jalan yang mudah untuk mendapatkan semula momentum adalah dengan kembali membawa isu-isu rakyat sebagai contoh harga barang keperluan seperti telur yang masih tiada penyelesaian.

“Kita kembali kepada formula yang bawa kita menang pada 2018 iaitu kita dekat dengan rakyat, ada benda yang sepatutnya kerajaan selesaikan, tak kisah kerajaan mana, ada ke harga telur pun tak boleh selesai,” tambahnya.

Pada Dis 2019, Rafizi mengumumkan bersara daripada politik kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha mendalami ilmu pengetahuan berkaitan teknologi terkini.

Namun, 15 Mac lalu, Rafizi memutuskan untuk kembali menyertai politik dan mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu akan datang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-