Sunday, June 19, 2022

Bulan lalu kata mahu bincang letak jawatan, hari ini Zuraida harap kekal sebagai menteri

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-June 19, 2022 5:44 PM
Zuraida Kamaruddin akan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berhubung kedudukannya dalam Jemaah Menteri minggu ini

PETALING JAYA: Zuraida Kamaruddin berharap dapat mengekalkan jawatannya walaupun pada 26 Mei lalu menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu berkata akan membincangkan peletakan jawatan dengan perdana menteri, selepas mengumumkan keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Mengakui mengharapkan “khabar yang baik” dalam perjumpaan dijadualkan dengan Ismail Sabri Yaakob beberapa hari lagi, Ahli Parlimen Ampang itu, berkata harapannya adalah untuk menyelesaikan segala program dan perancangan kementerian diterajuinya.

Zuraida dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri, pada 27 Ogos 2021, ketika bersama Bersatu sebelum mengumumkan keluar parti itu, pada 26 Mei, untuk menyertai PBM dan kemudian diumumkan sebagai “pengganti presiden” atau bakal presiden PBM, pada 8 Jun.

“Perdana menteri sudah umumkan, satu dunia sudah tahu (mengenai perjumpaan), saya mengharapkan berita baik. Ya, kekal jawatan itu (menteri) untuk habiskan program atau perancangan yang telah saya mulakan dan untuk stabilkan negara,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Khamis lalu, media melaporkan Ismail akan bertemu Zuraida, minggu ini, bagi membincangkan kedudukan bekas ketua wanita PKR itu dalam Jemaah Menteri.

Menyusul kemudian, kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang beliau sudah berhubung dengan perdana menteri untuk membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Ampang berkenaan sebagai anggota Jemaah Menteri.

Muhyiddin berpandangan menteri berkenaan perlu diganti kerana jawatan disandangnya kini adalah atas kuota Bersatu, namun menyerahkan kepada Ismail untuk membuat keputusan kerana itu hak perdana menteri.

Terdahulu, Presiden PBM Larry Sng, meminta Ismail menimbang mengekalkan Zuraida memegang portfolionya kerana Ahli Parlimen Ampang itu menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang menjalankan tanggungjawabnya sebagai menteri.

Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida yang juga pengasas dan presiden majlis pimpinan politik wanita (Comwel), berkata, agenda pemberdayaan wanita dalam arena politik negara, khususnya di peringkat akar umbi sememangnya antara satu daripada enam tunjang perjuangan PBM.

“Secara keseluruhan kini, semua pihak yang berkecimpung dalam politik mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan sokongan, semua ada peluang. Ia berkaitan bagaimana kita merancang pendekatan politik kita dalam mendapatkan sokongan pengundi.

“Ia (politik) sekarang sudah menjadi pasaran terbuka, tinggal bagaimana kita menjual produknya sahaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-