Showing posts with label menteri. Show all posts
Showing posts with label menteri. Show all posts

Friday, September 22, 2023

Mansuh pencen ahli politik: Ada MP anggap pakar ekonomi hipokrit

malaysiakini.com
Isabelle Leong & Yasmin Ramlan
Diterbitkan: Sep 22, 2023 9:30 AM
Cadangan memansuhkan pencen untuk semua menteri dan ahli parlimen tidak disambut baik oleh sesetengah ahli parlimen dengan menganggap langkah tersebut tidak adil.

Malaysiakini cuba mendapatkan maklum balas dari 26 daripada 222 ahli parlimen dari blok pembangkang dan kerajaan, namun hanya dua daripada mereka - Teresa Kok (Seputeh) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) rela untuk mendedahkan identiti masing-masing.

Kok yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut berpendapat ahli parlimen juga berkhidmat sama seperti penjawat awam yang lain dan wajar mendapat pencen seperti mereka.

Dia memberi contoh pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang pernah berkhidmat sebagai ahli parlimen sejak 1969 - sebelum bersara pada 2022 - walaupun bukan secara berterusan.

Selain Lim, satu lagi contoh diberikan Kok ialah veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang memulakan khidmatnya sebagai wakil rakyat di Kelantan pada 1969.

“Kami (ahli parlimen) juga penjawat awam. Saya telah berkhidmat sebagai MP selama 23 tahun, sepenuh masa.

"Jika dibandingkan dengan kebanyakan penjawat awam, kami juga bekerja keras seperti mereka dan kebanyakan MP berkhidmat siang dan malam - termasuk pada hujung minggu.

"Ini semua adalah satu khidmat awam.

“Lainlah kalau kamu nak cadangkan supaya hapuskan skim pencen kepada semua (termasuk penjawat awam). Kalau tak kenapa nak sasarkan kepada ahli politik sahaja?” soalnya.
Teresa Kok
Bagaimanapun, bekas menteri itu memberi pengecualian buat ahli parlimen yang mempunyai lebih daripada satu skim pencen selepas menyandang beberapa jawatan.

“Saya tak setuju bagi mereka yang dapat banyak sangat pencen,” katanya.

Pada 20 Sept, bekas penasihat ekonomi perdana menteri, Muhammed Abdul Khalid menyarankan agar semua menteri dan ahli parlimen 'diajar' untuk merasai kesempitan hidup seperti dilalui orang kebanyakan dengan membatalkan pencen mereka.

Selepas pencen dimansuhkan, Muhammed berpendapat mereka wajar dimasukkan ke skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti orang lain.

Dia menjadikan langkah kerajaan sebelum ini membenarkan pencarum mengeluarkan wang masing-masing dari KWSP sebagai kesilapan terbesar dalam sejarah negara kerana menjerumuskan ramai orang ke kancah kemiskinan.

Anggap Muhammed tak adil

Pakar ekonomi itu berkata, walaupun begitu kesempitan hidup dihadapi rakyat tidak dirasai oleh menteri dan ahli parlimen kerana mereka mendapat banyak kelebihan.

Bahkan Muhammed menyarankan agar menteri kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Abdul Aziz, dihukum kerana membenarkan pengeluaran tersebut.

Sementara itu seorang ahli parlimen yang enggan didedahkan identitinya berkata dia tidak menyokong idea Muhammed memandangkan jawatan ahli parlimen bukanlah pekerjaan tetap dan berterusan.

“Jawatan MP bukan kerja tetap, tanpa jaminan pekerjaan (akan berterusan). Dan pencen bukannya akan dapat selepas seseorang itu tidak lagi menjadi MP, tetapi dia perlu menunggu sehingga berusia 55 tahun.

“Saya rasa dia (Muhammed) seorang yang hipokrit apabila mencadangkan idea sebegitu.

"Tanya dia berapa banyak yang negara dapat jimat dengan menggantikan KWSP dengan skim pencen?” soal ahli parlimen yang kini berkhidmat untuk penggal kedua itu.
Muhammed Abdul Khalid
Menurutnya, beban terbesar ditanggung kerajaan adalah pencen untuk penjawat awam tetapi Muhammed enggan menyentuh manfaat yang dinikmati oleh mereka kerana mendakwa ia hanya akan memakan diri sendiri.

“Habis tu kenapa dia (Muhammed) tak berikan nasihat sedemikian kepada perdana menteri terdahulu (Dr Mahathir Mohamad) ketika dia jadi penasihat ekonomi perdana menteri?” katanya.

Seorang lagi ahli parlimen dari blok kerajaan yang meminta untuk tidak dinamakan berkata perkara yang dihadapi ketika ini adalah jauh lebih kompleks berbanding membangkitkan isu pencen ahli politik.

Ahli parlimen penggal pertama itu juga menekankan tentang kepentingan kajian mengenai selok-belok dan kerumitan jawatan awam yang akan dijalankan.

“Ia bukan satu isu yang boleh ditangani dengan penyelesaian yang sama untuk semua,” katanya kepada Malaysiakini.

Pencen bertingkat-tingkat

Wan Ahmad Fayhsal pula secara peribadi bersetuju dengan cadangan Muhammed dan berpendapat ia wajar dibahaskan di parlimen untuk mendapatkan persetujuan semua pihak.

“Sebabnya, saya tak nafikan Dr Muhammed tu bagus tapi bukan semua ahli parlimen kaya.

"Ramai antara mereka datang daripada golongan guru, jadi mereka tinggalkan banyak pekerjaan asal mereka.

“Saya bukan kata tak setuju, saya secara peribadi setuju, tapi saya tak pasti macam mana rakan-rakan yang lain.

"Ia (keputusan ni) perlukan (persetujuan) kolektif - persetujuan daripada ahli parlimen lain. Kalau perlu, bawak untuk dibincang dan dibahaskan,” kata ketua Pemuda Bersatu itu lagi.

Cadangan Muhammed bagaimanapun disambut baik oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang memberitahu jumlah pencen yang diperolehi ahli politik jauh lebih banyak daripada penjawat awam yang telah berkhidmat berpuluh-puluh tahun.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
“Saya setuju 100 peratus dengan cadangan tiada pencen untuk ahli politik... termasuk (ke atas) saya.

“Sekarang ini pencen ahli politik lagi berganda (lebih besar) daripada penjawat awam yang berkhidmat puluhan tahun. Ahli politik masuk pejabat, terus dapat pencen seumur hidup.

“Pencen yang (dapat) bertingkat-tingkat pula. Menteri, MP, Adun... macam-macam jawatan. Wajar cadangan letak (ahli politik) di bawah KWSP sama seperti rakyat biasa,” tulisnya di media sosial.

Saturday, December 3, 2022

Tiada wakil BN Sabah dalam Jemaah Menteri, Bung Moktar luah rasa ‘terpinggir’

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-December 3, 2022 9:59 AM
Bung Moktar Radin berkata hanya dua menteri mewakili Sabah, berbanding Sarawak dengan lima portfolio termasuk jawatan timbalan perdana menteri kedua. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Sabah mengakui rasa “terpinggir” dalam pembentukan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan berikutan tiada seorang pun daripada tujuh Ahli Parlimennya dilantik sebagai menteri penuh.

Pengerusinya, Bung Moktar Radin, berkata hanya dua menteri yang mewakili negeri itu, iaitu masing-masing dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selaku komponen Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, jumlah itu adalah terlalu kecil dan tidak seimbang berbanding Sarawak yang diberi lima portfolio termasuk jawatan timbalan perdana menteri kedua.

“Pembentukan Kabinet baharu kerajaan perpaduan ini nampaknya menyaksikan Sabah dipinggirkan dalam pelantikan portfolio khususnya wakil BN Sabah yang memberikan komitmen awal bersama BN pusat untuk menyokong PH menjadi kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri

“Tiada seorang pun wakil dari BN Sabah dalam Kabinet baharu ini. Berbanding Sarawak, mereka ada lima menteri,” katanya dalam kenyataan berhubung pembentukan Jemaah Menteri kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

BN Sabah memenangi paling banyak kerusi Parlimen di Sabah, dengan tujuh kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), diikuti GRS (6), PH (5), Warisan (3), Bebas (2) serta masing-masing satu bagi Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Malah, BN Sabah turut menyumbang kerusi kedua terbanyak selepas BN Johor daripada 30 kerusi dimenangi BN di seluruh negara pada PRU15.

Bung Moktar yang juga timbalan ketua menteri Sabah, berharap “peminggiran” itu bukan petanda negeri itu akan kurang mendapat perhatian kerajaan persekutuan, khususnya dalam aspek pembangunan.

“Kita tidak mahu Sabah sekali lagi dipinggirkan dalam aspek pembangunan terutama pelaksanaan projek infrastruktur yang penting untuk kemudahan rakyat negeri ini.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah umpamanya mesti diteruskan dan dipercepatkan. Kita tidak mahu melihat projek ini sekali lagi tergendala seperti yang berlaku ketika PH menjadi kerajaan pada 2018,” katanya.

Katanya, Sabah juga memerlukan perhatian kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan isu bekalan air bersih yang menjejaskan rakyat di seluruh negeri ini, selain masalah bekalan elektrik dan jalan luar bandar.

Malam tadi, perdana menteri mengumumkan barisan Jemaah Menteri yang terdiri daripada 28 menteri termasuk dua timbalan perdana menteri yang masing-masing disandang Ahli Parlimen Bagan Datuk Ahmad Zahid Hamidi mewakili BN dan Ahli Parlimen Petra Jaya Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sabah hanya diwakili Ahli Parlimen Penampang Ewon Benedick (PH-UPKO) yang dilantik sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi dan Ahli Parlimen Papar Armizan Mohd Ali (GRS) yang memegang jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

Sunday, November 27, 2022

Ahli Kabinet perlu bebas pendakwaan mahkamah, kata naib presiden PKR

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 27, 2022 8:22 AM
Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, berpandangan individu belum ditentukan bersalah mahupun dalam proses rayuan tidak boleh dilantik menjadi ahli Kabinet.

PETALING JAYA: Jemaah Menteri dilantik kelak perlu bebas kes mahkamah, kata Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, mana-mana individu yang mempunyai kes mahkamah walaupun belum ditentukan bersalah tidak patut berada dalam Kabinet.

“Yang terbaik dan paling ideal, saya fikir tidak letakkan mereka (yang ada kes mahkamah) dalam Kabinet supaya tidak timbul isu kelak, selain rakyat sangat tekankan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu hingga kini adalah soal rasuah,” katanya menurut Sinar Harian.

Nik Nazmi ketika mengulas lanjut, berkata setiap parti politik mempunyai Ahli Parlimen yang mampu dan layak untuk memegang jawatan atau portfolio menteri, termasuk menteri kanan dan timbalan perdana menteri.

Katanya, pemilihan ahli Kabinet kelak perlu meneliti semua faktor memandangkan kerajaan yang ditubuhkan adalah berbentuk perpaduan.

Semalam, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyokong cadangan seorang pemimpin Umno yang mahu Ahmad Zahid Hamidi menjadi timbalan perdana menteri dalam kerajaan perpaduan.

Cadangan dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razlan Rafii itu merujuk hierarki Umno di mana Zahid merupakan presiden parti.

Presiden PBRS, Fredie Sua, berkata jawatan itu harus diberikan kepada Zahid kerana Barisan Nasional (BN) adalah rakan utama dalam kerajaan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Selain Zahid yang berdepan kes mahkamah, turut menghadapi pendakwaan adalah pemimpin Pakatan Harapan (PH) membabitkan Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kerajaan perpaduan diterajui Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) terbentuk dari sokongan pelbagai parti terutama BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Muda dan Ahli Parlimen bebas.

Sokongan berkenaan menjadikan Anwar menikmati sokongan dua pertiga di Parlimen seperti diumumkannya, pada Jumaat.

Sunday, June 19, 2022

Bulan lalu kata mahu bincang letak jawatan, hari ini Zuraida harap kekal sebagai menteri

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-June 19, 2022 5:44 PM
Zuraida Kamaruddin akan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berhubung kedudukannya dalam Jemaah Menteri minggu ini

PETALING JAYA: Zuraida Kamaruddin berharap dapat mengekalkan jawatannya walaupun pada 26 Mei lalu menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu berkata akan membincangkan peletakan jawatan dengan perdana menteri, selepas mengumumkan keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Mengakui mengharapkan “khabar yang baik” dalam perjumpaan dijadualkan dengan Ismail Sabri Yaakob beberapa hari lagi, Ahli Parlimen Ampang itu, berkata harapannya adalah untuk menyelesaikan segala program dan perancangan kementerian diterajuinya.

Zuraida dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri, pada 27 Ogos 2021, ketika bersama Bersatu sebelum mengumumkan keluar parti itu, pada 26 Mei, untuk menyertai PBM dan kemudian diumumkan sebagai “pengganti presiden” atau bakal presiden PBM, pada 8 Jun.

“Perdana menteri sudah umumkan, satu dunia sudah tahu (mengenai perjumpaan), saya mengharapkan berita baik. Ya, kekal jawatan itu (menteri) untuk habiskan program atau perancangan yang telah saya mulakan dan untuk stabilkan negara,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Khamis lalu, media melaporkan Ismail akan bertemu Zuraida, minggu ini, bagi membincangkan kedudukan bekas ketua wanita PKR itu dalam Jemaah Menteri.

Menyusul kemudian, kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang beliau sudah berhubung dengan perdana menteri untuk membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Ampang berkenaan sebagai anggota Jemaah Menteri.

Muhyiddin berpandangan menteri berkenaan perlu diganti kerana jawatan disandangnya kini adalah atas kuota Bersatu, namun menyerahkan kepada Ismail untuk membuat keputusan kerana itu hak perdana menteri.

Terdahulu, Presiden PBM Larry Sng, meminta Ismail menimbang mengekalkan Zuraida memegang portfolionya kerana Ahli Parlimen Ampang itu menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang menjalankan tanggungjawabnya sebagai menteri.

Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida yang juga pengasas dan presiden majlis pimpinan politik wanita (Comwel), berkata, agenda pemberdayaan wanita dalam arena politik negara, khususnya di peringkat akar umbi sememangnya antara satu daripada enam tunjang perjuangan PBM.

“Secara keseluruhan kini, semua pihak yang berkecimpung dalam politik mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan sokongan, semua ada peluang. Ia berkaitan bagaimana kita merancang pendekatan politik kita dalam mendapatkan sokongan pengundi.

“Ia (politik) sekarang sudah menjadi pasaran terbuka, tinggal bagaimana kita menjual produknya sahaja,” katanya.

Sunday, May 8, 2022

MP: Mansuh khidmat polis pengiring buat menteri, timb menteri

malaysiakini.com

Diterbitkan: May 8, 2022 11:10 AM
Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim menyarankan agar kerajaan memansuhkan khidmat polis pengiring kepada menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat.

Dia menyifatkan perkhidmatan itu sebagai pembaziran terhadap tenaga kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sudah tiba masanya kita mansuhkan khidmat outrider polis kepada menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat.

"Menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat, jauh lagi kaum kerabat mereka, semuanya bukan raja," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada satu laporan media yang mendakwa anak Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim menggunakan khidmat polis pengiring dalam kejadian di Pulau Pinang.

Pengguna media sosial berkongsi klip video yang dikatakan memaparkan insiden berkenaan.

Sementara itu Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam kenyataan media hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya satu rakaman video yang tular berdurasi 20 saat dikesan dimuat naik pemilik akaun Instagram ‘anwarazeez’.

"Rakaman video yang memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan dan diiringi dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik PDRM, di jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang.

"Pihak PDRM Kontinjen Pulau Pinang mengesahkan berkenaan kejadian yang berlaku. Satu kertas siasatan tatatertib telah dibuka dan siasatan terperinci akan dilakukan ke atas kedua-dua anggota yang terlibat.

"Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku berkenaan," jelasnya.

Sementara itu Sim yang juga setiausaha organisasi DAP berkata, tanpa mengira pihak mana yang menjadi kerajaan, khidmat polis pengiring kepada wakil rakyat itu perlu dimansuhkan.

"You nak kejar masa, you keluar awal, kalau tak, you selesaikan masalah kesesakan lalu lintas supaya semua pengguna jalan raya boleh sampai ke destinasi dengan selesa. Tak perlu outrider," katanya.

Monday, May 31, 2021

Menteri, timbalan menteri sumbang tiga bulan gaji bantu perangi Covid-19

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-May 31, 2021 9:45 PM

(Bernama pic)

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan gaji semua menteri dan timbalannya akan dipotong selama tiga bulan bermula Jun.

Katanya, jumlah itu akan dimasukan kedalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid.-19.

Katanya, sumbangan itu, kesinambungan yang diamalkan ketika pelaksanaan PKP 1.0 tahun lalu.

“Seperti yang telah diamalkan semasa PKP pertama tahun lalu, saya ingin memaklumkan tanda sokongan barisan menteri dan timbalan menteri dengan tidak mengambil gaji selama 3 bulan mulai Jun 2021.

“Gaji yang tidak diambil ini akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19,”
katanya ketika berucap pada pengumuman pakej Pemerkasa Plus, susulan pelaksanaan penuh PKP 3.0.

Ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun lalu, menteri dan timbalan menteri sudah memberikan dua bulan gaji kepada kerajaan untuk dimasukkan dalam dana Covid-19.

Semalam satu petisyen dilancarkan bagi meminta Muhyiddin, menteri, timbalan menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri untuk menyumbangka 50% daripada gaji bulanan mereka ke dalam dana Tabung Prihatin.

Petisyen itu kini sudah memperoleh hampir 40,000 tandatangan.Petisyen dilancarkan berikutan penutupan Parlimen dan
DUN akibat darurat, wakil rakyat tidak dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka untuk memenuhi keperluan rakyat semasa wabak Covid-19.

Muhyiddin mengakui, langkah melaksanakan sekatan pergerakan penuh kali ini adalah keputusan yang sukar, namun terpaksa dilakukan

Tegasnya, kejayaan atau kegagalan keputusan yang dibuat itu terletak kepada rakyat dan ketentuan Ilahi.

“Kerajaan sudah menutup hampir semua sektor ekonomi dan sosial untuk mengurangkan pergerakan rakyat dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Katanya, atas dasar keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, kerajaan akan berusaha sedaya-upaya bagi memastikan wujud keseimbangan antara kehidupan dan keperluan melindungi nyawa, di samping menjamin kesejahteraan rakyat sepanjang tempoh PKP penuh ini.

Friday, December 27, 2019

Tiba masa potong elaun menteri, pegawai tertinggi, kata penganalisis

Raziatul Hanum
-December 27, 2019 6:48 AM

Penganalisis Awang Azman Awang Pawi berkata, kerajaan tidak seharusnya hanya mengharapkan rakyat berkorban untuk negara. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan menilai semula kewajaran elaun yang diberi kepada menteri dan pegawai tertinggi sektor awam dalam keadaan ekonomi negara hari ini.

Penganalisis dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata, mana-mana elaun yang sudah tidak relevan wajar dipotong lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi negara yang tidak mengizinkan pembaziran.

“Selain pemansuhan elaun kritikal, kerajaan sepatutnya memikirkan bagaimana nak potong elaun menteri yang terlalu banyak. Sudah tiba masanya kerajaan menilai sama ada gaji dan elaun mereka sesuai atau tidak dalam keadaan ekonomi sekarang ini.

“Jadilah kerajaan yang mendengar suara rakyat yang sekarang ini mahu elaun menteri dipotong. Banyak lagi elaun lain yang boleh dikaji, yang tiada keperluan,” katanya kepada FMT ketika dihubungi baru-baru ini.

Rabu lepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengesahkan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada bakal penjawat awam baru yang dilantik bermula 1 Jan 2020.

Kenyataan itu menerima reaksi pelbagai pihak, termasuk Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membantah pemansuhan itu.

Malah di media sosial, rata-rata pengguna menuntut kerajaan memotong elaun menteri, bukannya elaun kakitangan awam terlibat.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, elaun pegawai tertinggi kerajaan seperti kategori Jusa dan Turus juga perlu dinilai dan mana-mana elaun yang sudah tidak wajar perlu dimansuhkan.

“Bukan sahaja golongan berpendapatan di bawah gred 54 diberi perhatian, tetapi perlu dilihat dalam kalangan pegawai Turus dan Jusa ini.

“Gaji ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga harus dinilai semula yang dilihat terlalu besar,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan tidak seharusnya hanya mengharapkan rakyat berkorban untuk negara.

“Bukan kerajaan sahaja meminta pengorbanan daripada rakyat, tapi rakyat juga ingin wakil rakyat berkorban daripada segi elaun diterima yang dilihat tidak munasabah. Sama-sama berkorban.

“Apabila berada di tampuk kuasa mereka seharusnya menjadi lebih sedar dan insaf dengan jurang kedudukan rakyat dan kedudukan mereka yang luas,” katanya.

Monday, July 22, 2019

Kalau Bukan Dia, Siapa?

oleh Ahmad Faiz

Ada seorang Menteri Jumaat lepas, mengadakan kenduri kesyukuran. Kebetulan atau apa, pada hari yang sama, sebuah akhbar meletakkan tajuk yang konon pengesahan dari pihak berkuasa, bukan dia yang “ditala” dalam video semburit itu.

Walhal setelah diteliti daripada isi kandungan berita berkenaan, takde pun Ketua Polis itu mengesahkan secara tuntas bukan Menteri berkenaan lelaki dalam video tersebut. Tak dapat juga dipastikan sama ada kenduri berkenaan dibuat berdasarkan tajuk berita itu atau tidak

Tapi, kalaupun betul bukan dia, persoalannya siapa?

Jika semua masih belum lupa, kes ini bukan tentang video itu saja, ada juga pengakuan dari salah seorang yang terlibat bahawa bahawa dia dan Menteri berkenaan yang beraksi dalam video tersebut. Dia yang “dibelakang” tu, takkan dia tak tahu siapa yang dia “balun”- fikir mudah sajalah ni.

Tak lupa juga dari segi alibi, kedua-dua mereka turut disahkan berada di lokasi berkenaan pada hari yang dikatakan berlaku kejadian memalukan itu. Selain setakat ini tidak ada tindakan saman dikenakan Menteri berkenaan terhadap lelaki yang mengaku meliwatnya dalam video itu.

Ini sudah tentu menimbulkan persoalan dan pastinya memerlukan penyiasatan lanjut oleh pihak yang berkenaan. Macam dua orang dirakam merompak kedai emas, satu orang mengaku dia dan si polan yang merompak, si polan nafi, takkan biar lepas macam itu saja, mesti disiasat kedua-duanya kan?

Sekarang, dah ada yang menanyakan – tak rasa awal sangat nak buat kenduri ke? Atau penyudahannya sudah diketahui lebih awal lagi sehingga confident betul berkenduri apa bagai?

Entahlah, yang pasti, dari 10 orang yang tengok video itu, semuanya kata lelaki yang kena itu adalah dia, atau kalau bukan, siapa?

Sunday, February 10, 2019

Zuraida: Saya tak pernah dakwa diri graduan NUS

News | Diterbitkan Hari ini 11:31 malam


Selain Mohamad Sabu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin turut menafikan kelayakan pendidikan yang dikaitkan dengannya sebelum ini.

Zuraida menafikan laporan beberapa media sebelum ini yang mengatakan beliau graduan National University of Singapore (NUS).

"Saya tidak pernah menyatakan atau mendakwa diri sebagai graduan NUS dan juga tidak pernah memberi kebenaran mana-mana individu untuk berbuat begitu bagi pihak saya.

"Saya juga tidak betanggungjawab kepada apa-apa kemasukan maklumat yang tidak benar dalam Wikipedia yang mendakwa (demikian)," katanya dalam kenyataan.

Susulan dakwaan ijazah palsu terhadap seorang timbalan menteri, kelayakan akademik beberapa menteri persekutuan dipersoalkan di media sosial termasuk Zuraida.

Ketika mula dilantik sebagai menteri, infografik Bernama menyatakannya sebagai seorang graduan NUS. Infografik itu dikongsi ramai pengguna media sosial.

Zuraida yang juga naib presiden PKR bagaimanapun memberitahu Malaysiakini bahawa Bernama tidak pernah mengesahkan maklumat itu dengannya.

Berhubung laman Wikipedia versi bahasa Inggeris dirinya, semakan Malaysiakini mendapati masukan yang mendakwa Zuraida "graduan Sains Sosial di salah satu institusi pengajian tinggi Singapura" dibuat oleh seorang pengguna anonymous pada 14 Januari ini.

Laman itu kemudian disunting lagi hari ini oleh pengguna bernama "pejuang Umno" yang menyebut Zuraida sebagai graduan Universiti Harvard.

Saturday, July 11, 2015

Rakyat sokong kenaikan harga? Menteri ini tentu gila!

oleh Jimmy Adit
SEKILAS PANDANG: Terdapat seorang menteri di Putrajaya yang mengambil jalan mudah dari penyelesaian masalah - tiada aduan bermaksud rakyat Malaysia menyokong kenaikan harga!

“Kami tidak menerima sebarang aduan. Orang ramai tidak membuat aduan, yang bermakna sokongan,” ujar menteri tersebut. Dia tidak layak disebut namanya kerana alasan yang diberikan begitu dangkal.

Tolonglah, rakyat mana di dunia ini yang menyokong kenaikan harga?

Apa yang menjadikan rakyat Malaysia berbeza? Kerana kita terlalu cintakan kerajaan? Kerana negara ditadbir oleh pemimpin bijaksana lalu rakyat Malaysia meraikan GST dilaksanakan?

Terdapat 1001 sebab mengapa rakyat tidak membuat aduan apabila terpaksa membayar lebih bagi minyak dan barangan keperluan, tetapi besar kemungkinan mereka sudah putus asa dengan kerajaan.

Kerajaan tidak mendengar. Ia gemar membuat tindakan sembrono. Kerajaan ini menaikkan harga barangan secara senyap-senyap.

Berapa kali harga petrol dinaikkan apabila rakyat sedang tidur atau sibuk mengemas rumah atau berehat selepas penat bekerja?
Apabila bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan perlu menurunkan kos berbanding menaikkan harga barangan, menteri ini, yang tidak perlu disebut namanya kerana kita mungkin termuntah, berkata dia hormati pandangan Mahathir tetapi tidak bersetuju.

“Kita mahukan sistem terbaik,” katanya, sambil menggambarkan telah melaksana sistem terbaik, jadi tiada sebab rakyat mengeluh. Mahathir juga tak perlu mengeluh.

Rakyat Malaysia gembira. Mereka gembira kerana punyai banyak wang, mungkin jutaan yang disimpan di akaun peribadi jadi mereka gembira harga dinaikkan.

Dalam negara bergelar Malaysia, pemimpin politik dan menteri seperti mamat ini boleh berbuat apa sahaja.

Mereka mampu songlap wang dari tabung pekerja, wang pencen, simpanan mak nenek, apa sahaja, dan selepas itu naikkan harga dan cukai kerana rakyat tidak mengeluh.

Tiada rakyat di dunia yang suka harga barangan dinaikkan, tetapi bagaimana pula rakyat Malaysia?

Menteri yang namanya membuatkan aku nak termuntah ini hampir berkata, rakyat Malaysia gembira dan selesa sehingga terlupa memuji kerajaan - kerana membawa kita semakin hampir kepada kiamat!

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Rakyat-sokong-kenaikan-harga-Menteri-ini-tentu-gila#sthash.HTPDYOan.dpuf

Wednesday, October 15, 2014

Dari menteri ayam....ke menteri cendol......



Mulai esok jangan panggil dia menteri ayam....kita tukar jadi MENTERI CENDOL....
Datuk Seri Hasan Malek meminta peniaga agar mencontohi pengusaha cendol di Kuala Selangor yang menurunkan harga sebanyak 20 sen selepas kerajaan...
WWW.THEMALAYSIANINSIDER.COM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-