Showing posts with label PBM. Show all posts
Showing posts with label PBM. Show all posts

Sunday, November 20, 2022

Siapa akan jadi sekutu PN dan PH?

malaysiakini.com
Zikri Kamarulzaman
Diterbitkan: Nov 20, 2022 8:35 AM
Dua gabungan politik utama, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) kini saling berebut sokongan untuk membentuk kerajaan.

Bagi PN, kerjasama dengan GRS di Sabah dan GPS Sarawak akan menghasilkan 101 kerusi.

Sekiranya ditambah dengan jumlah anggota parlimen PBM, Warisan, dan calon bebas Sabah, bilangan ini boleh meningkat kepada 108 kerusi.

Bagaimanapun jumlah ini masih tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan - yang memerlukan 111 kerusi parlimen.

Memandangkan lompat parti bukan lagi merupakan satu pilihan, PN mesti mendapat sokongan BN untuk mendapat bilangan.

Antara pilihan yang ada ialah PN bersekutu dengan tujuh ahli parlimen BN Sabah - yang berada dalam kerajaan bersama GRS.

Ini akan membolehkan PN memperoleh 115 kerusi di parlimen.

BN Sabah mempunyai autonomi daripada rakannya di semenanjung dan menyokong perdana menteri daripada PN tidak melanggar undang-undang antilompat parti.

Umno tidak meminda peraturan partinya untuk menghalang ahli parlimennya daripada menentang parti itu - dengan menjadikan "peletakkan jawatan secara sukarela" sebagai satu kesalahan.

Ini juga membuka peluang PN untuk mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen BN yang tidak sehaluan dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan sokongan dalam membentuk kerajaan.

Bagi PH- yang mendakwa mempunyai bilangan - kerjasama dengan GPS, Warisan, enam calon bebas Sabah dan PBM akan menghasilkan 111 kerusi - hanya cukup untuk membentuk kerajaan persekutuan buat masa ini.

Bagaimanapun, PH perlu sama ada menang di Baram atau Padang Serai - yang pemilihannya telah ditangguhkan - untuk mendapat majoriti mudah 112 kerusi sebaik sahaja dua kerusi kosong itu telah diisi.

Padang Serai ialah kerusi campuran yang disandang PKR sejak 2008 - menjadikannya kerusi boleh menang jika PH dapat memastikan peratusan keluar mengundi yang tinggi.

Pilihan yang tidak menyenangkan untuk GPS

Untuk GPS, PH dan PN kedua-duanya adalah pilihan yang tidak sesuai untuk mereka bekerjasama.

GPS bersaing secara sengit dengan DAP di Sarawak - yang sehingga kemunculan PSB - merupakan parti pembangkang utama negeri itu.

Untuk GPS, PH dan PN kedua-duanya adalah pilihan yang tidak sesuai untuk bekerjasama.

GPS bersaing secara sengit dengan DAP di Sarawak - yang sehingga kemunculan PSB - merupakan parti pembangkang utama negeri itu.

Sementara itu, bekerjasama dengan PN bermakna GPS perlu bekerjasama lebih erat dengan PAS - yang merupakan rakan kongsi utama dalam PN.

Terdapat pemimpin PN yang sering mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan yang bertentangan dengan nilai budaya rakyat Sarawak di mana 63 peratus penduduknya beragama Kristian.

Terbaru, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mengaitkan agenda "Kristianisasi" jika PH mentadbir negara. Dia bagaimanapun mendakwa kenyataannya diambil di luar konteks.

Sementara itu, ada pemimpin BN tidak setuju gabungan itu bekerjasama dengan PN selepas timbul spekulasi rundingan antara Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein - yang berada dalam kumpulan yang menentang Zahid - secara terbuka berkata BN tidak sepatutnya bekerjasama dengan PH.

Sunday, October 30, 2022

Larry Sng masih Presiden PBM, bukan Zuraida, kata ROS

agendaily.com
30/10/2022
Datuk Larry Sng yang mendakwa masih menjadi Presiden PBM menggantung dua orang kuar Datuk Zuraida Kamaruddin berkuat kuas serta-merta pada 27 Oktober 2022.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan Datuk Larry Sng Wei Shien masih lagi Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) berdasarkan rekod yang ada di jabatan itu.

Ketua Pengarahnya Mohd Nawardi Saad berkata berdasarkan rekod, Larry masih Presiden dan jika ada pertikaian mengenai jawatan itu, ia perlu diselesaikan di peringkat parti.

Katanya, pertikaian mengenai jawatan Presiden itu adalah hal dalaman parti dan tidak membabitkan ROS.

“Itu hal dalaman parti mereka, jika ada pertikaian mereka kena selesaikan sendiri dan ini tidak membabitkan ROS,” katanya menurut laporan BH hari ini (30 Oktober 2022).

Beliau mengulas krisis dalam ‘dua presiden’ PBM selepas Larry yang juga penyandang kerusi Parlimen Julau mengisytiharkan dirinya masih Presiden parti itu.

Namun, Khamis lalu Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha mendakwa bekas Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai presiden PBM yang sah selepas diumumkan pada Persidangan Agung Tahunan Parti Bangsa Malaysia pada 7 Oktober lalu.

Larry pula mendakwa beliau tidak pernah meletak atau melepaskan jawatan sebagai presiden parti itu selain memaklumkan akan bertanding menggunakan lambang parti PBM pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Beliau menegaskan masih presiden parti yang sah seperti dalam rekod ROS yang mana beliau dipilih sebagai presiden pada mesyuarat khas persidangan agung parti itu bagi penggal 2021-2024 yang berlangsung di Sibu, Sarawak pada 8 Januari lalu.

Semalam, Larry turut menggantung 13 Ahli Majlis Tertinggi PBM iaitu Zuraida; Haniza; Dr Daroyah Alwi; Rahimah Majid; Dr Sathiskumar Govindaraju; Muhammad Saiful Bahari Sahari; Na’im Brundage; Abdul Aziz Abdul Kadir; Zakaria Abdul Rahim; Muniraa Abu Bakar; Datuk Chua Lian Chye; Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Khamis lalu, Larry mengumumkan penggantungan keahlian Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta.

Majlis Tertinggi parti itu bermesyuarat hari ini di Sarikei, Sarawak memandangkan perkara itu adalah mendesak, untuk membincangkan dan menyelesaikan isu itu dengan segera.

Saturday, October 8, 2022

Zuraida secara rasmi dilantik presiden baru PBM

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Oct 8, 2022 10:43 AM
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin kini menerajui Parti Bangsa Malaysia (PBM) setelah dilantik sebagai presiden baru parti itu semalam menggantikan Larry Sng Wei Shein.

Pelantikan ahli parlimen Ampang itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi PBM yang berlangsung semalam setelah mesyuarat berkenaan mengesahkan tujuh usul yang diluluskan semasa Persidangan Agung Tahunan (PAT) 2022 di Shah Alam pada 1 Oktober lepas, termasuk meletakkan Zuraida sebagai presiden PBM.

"Majlis Tertinggi yang bersidang semalam telah meneliti dan menjalankan proses yang wajar serta bersesuaian dengan garis panduan perlembagaan parti telah mengangkat Zuraida sebagai presiden,” kata Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad dalam kenyataan hari ini.

"Majlis Tertinggi dan seluruh ahli parti mengucapkan tahniah atas pelantikan ini dan mendoakan Zuraida terus diberi kekuatan bagi menerajui parti untuk terus cemerlang dalam memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya dan beliau turut berterima kasih kepada Sng yang juga ahli parlimen Julai kerana telah memimpin parti sebelum ini.

Pada 26 Mei lepas, Zuraida mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai PBM.

Zuraida dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.

Dia dilantik semula ke jawatan sama semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin sebelum bertukar ke portfolio Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di bawah Ismail Sabri Yaakob.

PBM didaftarkan pada 27 Okt 2021 dan diasaskan oleh Mohamad Sukri Yusri yang juga presiden pertamanya dan beberapa ahli politik lain selepas mengambil alih Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Sng mengambil alih jawatan presiden pada Jan 2022 dan ketika ini, termasuk Zuraida dan Sng, PBM mempunyai enam orang ahli parlimen termasuk Steven Choong (Tebrau); Mohammadin Ketapi (Lahad Datu); Datuk Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat) dan Dr Santhara Kumar (Segamat).

-Bernama

Saturday, August 20, 2022

PRU-15: Parti Zuraida intai tujuh kerusi Parlimen 7, DUN 7

agendaily.com
20/08/2022
Bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin sebelum mengesahkan masih menunggu keputusan permohonan daripada Barisan Nasional (BN).

Parti Bangsa Malaysia (PBM) merancang untuk bertanding di sejumlah tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin memberitahu sidang media petang ini bahawa rancangan parti pro-Barisan Nasional (BN) itu adalah untuk mempertahankan semua kerusi yang kini disandang ahlinya yang dimenangi di bawah bendera parti lain ketika PRU-14 pada 2018.

“Kami tidak meminta lebih daripada kerusi yang kami sedia ada. Kami akan memberi tumpuan kepada mereka (14 kerusi). Kami adalah pemimpin yang berpengalaman tetapi parti ini baharu dan sekarang kami mempunyai masa yang singkat sebelum menghadapi pilihan raya.

“Jadi kami hanya menumpukan kepada kerusi yang sudah ada… tujuh kerusi DUN dan tujuh kerusi Parlimen,” katanya selepas memulakan jelajah politik parti bertemu pengundi di Pangsapuri Seri Intan di Ampang, Selangor, hari ini.

Zuraida berkata PBM telah memulakan jelajah ke seluruh negara di tiga negeri – Perak, Selangor dan Johor – untuk meningkatkan sokongan pengundi di kawasan di mana mereka adalah penyandang.

Parti itu kini diketahui hanya menguasai tiga kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN pada masa ini.

Zuraida ialah penyandang kerusi Parlimen Ampang manakala Presiden PBM Larry S’ng adalah penyandang bagi Julau, dan Steven Choong untuk Tebrau. Ketiga-tiga mereka sebelum ini memenangi kerusi Parlimen itu atas tiket PKR.

Lima kerusi DUN di bawah PBM ialah tiga di Perak dan dua di Selangor.

Bagi Selangor, kerusi itu disandang oleh Haniza Talha (Lembah Jaya), dan Dr Daroyah Alwi (Sementa) yang memenanginya atas tiket PKR pada PRU-14.

Di Perak, kerusi PBM dimiliki A. Sivasubramaniam (Buntong), Leong Cheok Keng (Malim Nawar) dan Paul Yong (Tronoh). Sivasubramaniam dan Yong sebelumnya menang atas tiket DAP sedangkan Leong dulu dari PKR.

Zuraida bagaimanapun tidak menyatakan empat lagi kawasan Parlimen dan dua DUN yang diintai PBM.

PBM pada asalnya adalah Parti Pekerja Sarawak sebelum Pendaftar Pertubuhan meluluskan pertukaran nama pada Oktober lalu.

Parti itu baru-baru ini memohon menyertai gabungan BN sebagai komponen baharu, bersama lima parti lain tetapi masih belum diluluskan.

Zuraida berkata beliau menerima keputusan BN untuk mengkaji permohonan mereka dengan lebih terperinci.

Sunday, June 19, 2022

Bulan lalu kata mahu bincang letak jawatan, hari ini Zuraida harap kekal sebagai menteri

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-June 19, 2022 5:44 PM
Zuraida Kamaruddin akan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berhubung kedudukannya dalam Jemaah Menteri minggu ini

PETALING JAYA: Zuraida Kamaruddin berharap dapat mengekalkan jawatannya walaupun pada 26 Mei lalu menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu berkata akan membincangkan peletakan jawatan dengan perdana menteri, selepas mengumumkan keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Mengakui mengharapkan “khabar yang baik” dalam perjumpaan dijadualkan dengan Ismail Sabri Yaakob beberapa hari lagi, Ahli Parlimen Ampang itu, berkata harapannya adalah untuk menyelesaikan segala program dan perancangan kementerian diterajuinya.

Zuraida dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri, pada 27 Ogos 2021, ketika bersama Bersatu sebelum mengumumkan keluar parti itu, pada 26 Mei, untuk menyertai PBM dan kemudian diumumkan sebagai “pengganti presiden” atau bakal presiden PBM, pada 8 Jun.

“Perdana menteri sudah umumkan, satu dunia sudah tahu (mengenai perjumpaan), saya mengharapkan berita baik. Ya, kekal jawatan itu (menteri) untuk habiskan program atau perancangan yang telah saya mulakan dan untuk stabilkan negara,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Khamis lalu, media melaporkan Ismail akan bertemu Zuraida, minggu ini, bagi membincangkan kedudukan bekas ketua wanita PKR itu dalam Jemaah Menteri.

Menyusul kemudian, kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang beliau sudah berhubung dengan perdana menteri untuk membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Ampang berkenaan sebagai anggota Jemaah Menteri.

Muhyiddin berpandangan menteri berkenaan perlu diganti kerana jawatan disandangnya kini adalah atas kuota Bersatu, namun menyerahkan kepada Ismail untuk membuat keputusan kerana itu hak perdana menteri.

Terdahulu, Presiden PBM Larry Sng, meminta Ismail menimbang mengekalkan Zuraida memegang portfolionya kerana Ahli Parlimen Ampang itu menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang menjalankan tanggungjawabnya sebagai menteri.

Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida yang juga pengasas dan presiden majlis pimpinan politik wanita (Comwel), berkata, agenda pemberdayaan wanita dalam arena politik negara, khususnya di peringkat akar umbi sememangnya antara satu daripada enam tunjang perjuangan PBM.

“Secara keseluruhan kini, semua pihak yang berkecimpung dalam politik mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan sokongan, semua ada peluang. Ia berkaitan bagaimana kita merancang pendekatan politik kita dalam mendapatkan sokongan pengundi.

“Ia (politik) sekarang sudah menjadi pasaran terbuka, tinggal bagaimana kita menjual produknya sahaja,” katanya.

Thursday, May 26, 2022

Zuraida keluar Bersatu, sertai PBM

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-May 26, 2022 10:47 AM
Zuraida Kamaruddin berkata, pendirian beliau selaku ahli Parlimen Ampang menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob adalah selari dengan pendirian Parti Bangsa Malaysia.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar daripada Bersatu dan akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Katanya, beliau akan membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

Beliau bagaimanapun berpendirian akan terus menyokong kerajaan di bawah pimpinan Ismail, selaras dengan pendirian PBM.

Zuraida menyertai Bersatu selepas dipecat daripada PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020.

“Setelah membuat pertimbangan yang mendalam, saya memutuskan untuk menyertai PBM,” katanya alam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida turut berterima kasih kepada bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Ismail atas kepercayaan mereka melantik beliau sebagai menteri Kabinet.

“Sepanjang saya berkhidmat di kedua-dua kementerian, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka,” katanya.

Pada April lalu, FMT melaporkan Zuraida dijangka keluar Bersatu April lalu. Menurut sumber, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkongsi rancangannya dengan pimpinan PBM.

FMT mengesahkan Zuraida dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp pimpinan tertinggi Bersatu yang turut dianggotai presiden parti itu, Muhyiddin pada awal Feb lalu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-