By SatuBerita
-July 7, 2022
PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin diadakan pada November ini jika tiada banjir besar di Pantai Timur.
Memetik laporan Malaysiakini, maklumat itu didedahkan oleh sumber Pejabat Perdana Menteri (PMO), semalam.
Namun, jika banjir besar berlaku, PRU-15 mungkin ditunda ke Mac tahun depan.
“Buat masa ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) telah memilih dua waktu sebagai tarikh sesuai untuk PRU. Bulan November atau Mac pada 2023.
“Bulan November dipilih selepas mengambil kira pembentangan belanjawan tahun 2023.
“Namun, ia tertakluk kepada keadaan cuaca khususnya negeri-negeri Pantai Timur yang sering dilanda banjir pada penghujung tahun.
“Sekiranya, bencananya teruk, maka November tak jadi,” kata sumber itu.
Ismail Sabri sebelum ini memberi bayangan PRU-15 mungkin diadakan lebih awal, setelah beliau mendapat desakan berbuat demikian daripada pemimpin UMNO, khususnya Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO sebelum ini berkata pilihan raya paling lewat boleh diadakan pada Julai (2023), apabila tamat tempoh (penggal) bagi pilihan raya umum yang lalu.
Sementara itu, satu lagi sumber berkata bahawa bulan Mac tahun depan mungkin dipilih kerana ia satu-satunya slot yang ada pada suku pertama tahun depan.
“Bulan Februari merupakan Perayaan Tahun Baru Cina. Sementara, April bermula bulan puasa.
“Jadi, hanya Mac slot yang tinggal untuk PRU,” katanya.
Bagaimanapun, kedua-dua sumber tidak menolak kemungkinan tarikh ini mungkin berubah mengikut keadaan politik semasa.
“Betul, mungkin juga akan ada tarikh lain. Perlu lihat scenario politik ketika itu,” katanya.
Pada masa ini, Ismail Sabri berdepan tekanan yang amat dahsyat daripada partinya sendiri agar membubarkan Parlimen segera bagi membolehkan PRU-15 diadakan secepat mungkin.
Tekanan semakin kuat selepas Barisan Nasional (BN) yang didominasi UMNO memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Ketika ini, rakyat sedang terbeban dengan krisis ekonomi akibat inflasi dan UMNO dijangka menerima padah sekiranya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.
Selain itu, UMNO masih dihantui skandal rasuah dan penyelewengan yang melibatkan kluster mahkamah dalam parti itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.