Wednesday, August 10, 2022

Bekas Panglima TLDM kata upacara namakan kapal tak siap adalah tradisi

bharian.com.my
Oleh Nor Azizah Mokhtar 
bhnews@bh.com.my
 Ogos 10, 2022
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim (dua dari kanan) ketika hadir bagi menyempurnakan upacara penamaan dan pelancaran Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) TLDM di dermaga Boustead Naval Shipyard di Pangkalan TLDM Lumut, pada 24 Ogos 2017. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Panglima Tentera Laut tampil menjelaskan bahawa pelancaran dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum ia siap sepenuhnya adalah tradisi dan praktis Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekian lama.

Tan Sri Dr Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin yang juga Panglima Tentera Laut ke-16 dalam satu kenyataan hari ini berkata tradisi itu bukan sahaja diamalkan oleh TLDM, malah ia juga amalan biasa di negara-negara lain.

Beliau berkata demikian bagi menjawab tuduhan sesetengah pihak bahawa upacara penamaan dan pelancaran Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) TLDM di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada 2017 membuktikan berlaku penipuan.

Mengulas lanjut, Ahmad Kamarulzaman berkata beliau terpanggil untuk menjawab tuduhan itu bagi membetulkan persepsi semua pihak bagi melindungi maruah dan nama baik TLDM.

"Saya tahu visual pelancaran kapal LCS di Lumut pada tahun 2017 menjadi perhatian semula sejak akhir-akhir ini. Saya sebagai Panglima TLDM turut hadir pada upacara itu.

"Maklum balas orang awam tentang di mana kapal, kenapa lancar kalau masih tidak siap, ini saya boleh faham dan hormati.

"Penting untuk saya beritahu fakta sebenar supaya orang awam tidak terus keliru akibat kenyataan sesetengah pihak yang bersifat populis dan politiking," katanya.

Tambah beliau, pelancaran dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum siap sepenuhnya adalah tradisi serta praktis TLDM sejak sekian lama.

"Bukan kali pertama di Lumut pada tahun 2017. Malah, ini juga amalan biasa di negara-negara lain.

"Sebab itu, perkara ini juga disebut oleh Kapten (B) Ir Azhar Jumaat (Pengarah Projek LCS) dalam sesi menghadap Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 11 Disember 2021 lalu," katanya.

Menurut Ahmad Kamarulzaman lagi, pelancaran kapal LCS yang dibina oleh Naval Group untuk Kerajaan UAE di Perancis juga menggunakan kapal yang belum siap sepenuhnya.

"Jadi tuduhan kononnya pelancaran LCS di Lumut pada tahun 2017 dilaksanakan untuk tipu dan kelirukan orang ramai, adalah tidak benar.

"Kapal yang dilancarkan di Lumut ketika itu ialah kapal LCS 1 sebenar yang sedang dalam proses pembinaan, bukan 'dummy' (tiruan) . Ini termasuk 'mast' (tiang) yang yang dikhabarkan palsu," katanya.

Tambahnya, semua perkara itu sudah dijelaskan semasa sesi bersama PAC sebelum ini dan beliau berharap tidak ada pihak sengaja menimbulkan isu demi kepentingan sendiri sehingga sanggup mengelirukan orang ramai.

Laporan PAC sebelum ini mendedahkan LCS yang pernah dilancarkan pada 2017 sebenarnya dalam keadaan tidak siap.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, dipetik berkata berdasarkan prosiding dijalankan, pihaknya mendapati LCS 1 disahkan siap tidak sampai 44 peratus.

Justeru, beliau merumuskan bahawa upacara penamaan dan pelancaran LCS terbabit seperti dinyatakan saksi hanya memberi persepsi kepada umum bahawa kapal berkenaan sudah siap.

Berikutan itu, beberapa pihak termasuk Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mendakwa pendedahan oleh PAC itu membuktikan bahawa berlaku penipuan bagi menjayakan acara berkenaan.

Perkara itu juga didakwa mencemarkan imej Institusi Diraja Perak kerana majlis itu disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Dalam majlis penamaan itu, LCS pertama milik TLDM dinamakan kapal Maharaja Lela.

Ends

From: Jupiter


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-