Monday, August 8, 2022

Isu 1MDB dahulu Najib juga nafikan, akhirnya didakwa di mahkamah

agendaily.com
08/08/2022
Kapal LCS untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia yang dalam pembinaan.
- Gambar Defence Security Asia
Bukan sesuatu yang luar biasa bagi Datuk Seri Najib Razak untuk membuat penafian, malah alasan “tidak tahu” atau “tidak kenal” terlalu sinonim dengan bekas Perdana Menteri (PM) yang sudah dihadapkan ke mahkamah atas puluhan pertuduhan rasuah dan jenayah.

Najib sebelum ditendang keluar daripada kerajaan sebelum ini juga menafikan mengenali ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terlibat dalam kehilangan ratusan juta wang negara; malahan Najib juga menafikan penglibatannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rakyat tidak lupa bagaimana Najib semasa memegang kuasa memanipulasi maklumat menyembunyikan kegiatan jenayahnya berhubung kes kecurian wang 1MDB, malahan sebelum ini Najib menafikan mengenali Jho Low tetapi semasa perbicaraan di mahkamah saksi-saksi yang dibawa memberi keterangan mendedahkan sebaliknya.

Hubungan Najib dengan Jho Low sangat rapat, malah bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Azmi Tahir mendedahkan sebarang arahan Jho Low sebelum ini adalah mendapat mandat Najib sendiri bagi menunjukkan betapa akrabnya kedua-dua mereka dalam merompak duit rakyat.

Semasa menjadi PM, Najib bersungguh-sungguh menafikan mengenali Jho Low, malah gambar tular atas sebuah kapal mewah juga dikatakan palsu bagi mengelirukan rakyat.

Mujurlah selepas 2018, Najib berjaya ditendang keluar dan UMNO-Barisan Nasional (BN) kalah buat kali pertama dalam sejarah, akhirnya pelbagai bukti keluar dalam perbicaraan di mahkamah bagaimana Najib bersekongkol dengan Jho Low dalam melarikan duit negara.

Sepanjang menjadi PM, Najib juga tidak mengambil langkah pencegahan untuk menangani masalah kehilangan dana 1MDB walaupun pelbagai pihak ketika itu membangkitkan keraguan berhubung urusan perniagaan yang dijalankan syarikat pelaburan tersebut.

Najib juga tidak menghentikan sebarang operasi 1MDB, malah mempertahankan setiap keputusan dibuat yang didalangi oleh Jhow Low sehingga menjadi punca kewangan negara tenat kerana terpaksa menanggung hutang akibat perbuatan dan penyelewengan yang berlaku.

Hasilnya kini, kerajaan terpaksa menanggung hutang 1MDB yang bernilai lebih RM30 bilion, ia semuanya angkara Najib dan kerajaan ditadbirnya.

Najib tetap adalah Najib, insan yang tidak tahu malu dan ada rasa malu dengan perbuatan jenayahnya, jadi tidak hairanlah Najib ke sana ke sini dengan laungan slogannya “Malu Apa Bossku”.

Bagi Najib, tidak perlu malu dengan perbuatannya.

Kini, muncul pula satu lagi skandal perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang menyaksikan wang rakyat sudah digunakan sebanyak RM6 bilion tetapi satu kapal pun tidak nampak bayangnya.

Sama seperti isu 1MDB, Najib juga tidak mahu projek tersebut dihentikan atas alasan kononnya ia akan menyebabkan banyak pihak terkesan akibat langkah tersebut walhal ratusan juta duit rakyat sudah hangus tidak tahu ke mana.

Najib hanya memikirkan perut vendor dan kontraktor tetapi bukan perut rakyat yang semakin hari terbeban dengan kos sara hidup, sudah lah harga barang naik dan inflasi seakan tiada penghujung.

Najib tidak pernah belajar daripada kesilapan sebelum ini, belum ada keinsafan dalam diri untuk membetulkan kesilapan yang dilakukannya sebelum ini.

Jika dahulu Najib mengambil langkah lebih awal menghentikan operasi 1MDB, mungkin ratusan juta wang rakyat dapat diselamatkan daripada hangus begitu sahaja hilang tidak tahu kemana.

Dalam skandal kapal tak siap ini, Najib mengambil pendirian seakan sama dalam skandal 1MDB dengan mahu juga meneruskan pembinaan LCS walaupun Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah mendedahkan pelbagai kepincangan membabitkan dalam projek tersebut.

PAC sebelum ini menyenaraikan sembilan rumusan punca yang antaranya ialah kerajaan gagal mengesan masalah kewangan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) ketika melakukan penilaian terhadap syarikat berkenaan.

Malah, wang kerajaan terpaksa didahulukan kepada BNS dan kemudiaannya digunakan untuk membayar hutang mereka yang mencecah ratusan juta.

Laporan PAC juga mendedahkan, kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah LCS yang disiapkan.

Najib juga sudah kepanasan apabila diserang Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung skandal LCS sehingga tentera sibernya yang berpengkalan di sebuah rumah atas bukit di Bangsar dikerahkan kerja lebih masa bagi membela bos mereka.

Maka, pelbagai senarai dan kenyataan Najib dimuat naik dalam akaun media sosial bagi menjawab serangan Rafizi dan pelbagai pihak yang mendesak agar tindakan segera diambil terhadap pesalah dalam skandal LCS tersebut.

Seperti biasa, Najib dengan sindrom penafiannya memang tidak dapat dipisahkan dan beliau boleh membuat beratus kali penafikan sekalipun, tetapi akhirnya lihat apa yang berlaku dalam skandal 1MDB.

Akhirnya Najib yang menjadi pakar penafian kini sudah disabitkan bersalah dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd dan menunggu masa sahaja untuk menghuni tirai besi.

Rayuan terakhirnya pada bulan ini semakin dekat, semoga Najib kekal tabah dan terus dengan sindrom penafiannya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-