Friday, August 26, 2022

Jika tewas lagi PRU, Umno jadi ‘tempat perkuburan,’ bukan wadah perjuangan, kata Zaid

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 26, 2022 6:35 PM
Zaid Ibrahim berkata, jika Umno tewas sekali lagi pada PRU15, parti itu akan jadi tempat perkuburan bukan lagi wadah perjuangan bangsa dan negara.

PETALING JAYA: Seorang bekas menteri Umno mengingatkan ahli parti itu bahawa kerajaan hari ini dikongkong musuh mereka walaupun ia dipimpin oleh orang Umno dan mendesak supaya PRU15 disegerakan untuk menyelamatkan parti dan negara.

Zaid Ibrahim, yang pernah bersama Umno sehinggalah 2008, memberi amaran bahawa padah menanti parti tonggak Barisan Nasional itu sekiranya PRU15 ditangguh.

“Kalau Umno tewas sekali lagi, Umno akan jadi tempat perkuburan bukan lagi wadah perjuangan bangsa dan negara,” katanya menerusi video di Facebook.

Video bekas menteri undang-undang itu muncul menjelang amanat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kepada ahli parti esok.

“Kita teruskan perjuangan ini, kita jangan selesa dengan mereka di Putrajaya.

“Kita mesti sama-sama mengukuhkan muafakat pemimpin Umno yang mahu menyelamatkan parti, muafakat yang ditunjukkan presiden, Ahmad Zahid Hamidi, anak kampung Bagan Datoh, yang pertahankan Umno sehingga ia masih hidup, sebab ada yang mahu Umno mati,” katanya.

Zaid mengingatkan bahawa pada 1946, ahli Umno di bandar dan kampung bangun pertahankan raja-raja Melayu daripada Malayan Union.

Tahun ini, katanya, Umno perlu menyelamatkan diri sendiri dan inilah yang perlu diingat oleh pemimpin dan ahli menjelang hari esok.

“Kerajaan yang ada hari ini mungkin dipimpin oleh Umno tapi ini bukan kerajaan campuran dengan erti kata sebenar.

“Ini kerajaan pimpinan Umno yang dikongkong, disokong oleh musuh pimpinan parti. Semakin lama kerajaan ini ada, selama itulah kepincangan, pengkhianatan terhadap Umno akan berterusan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-