Friday, August 12, 2022

LCS: Jangan curah cuka ke luka, hukum mereka yang terbabit

 bharian.com.my

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri 
bhnews@bh.com.my
- Ogos 12, 2022 @ 8:24pm

LENGGONG: Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berharap isu kepincangan dalam projek kapal tempur pesisir (LCS), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak berpanjangan sehingga musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana akan mempengaruhi kepercayaan rakyat kepada parti itu.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak, berkata berdasarkan kenyataan dibuat beberapa individu berwibawa dalam isu itu, dapat dilihat bahawa UMNO tidak terbabit dengan isu berkenaan.

"Saya tengok kepada kecenderungan kenyataan orang-orang berwibawa (dalam isu) itu menunjukkan UMNO tidak terbabit, malahan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan Kabinet sudah membuat keputusan untuk bersifat 'transparent' (telus).

"(Iaitu) dengan membiarkan laporan (laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan Dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK)) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang untuk dibuka (disiarkan kepada umum)," katanya kepada pemberita pada program Hari Bertemu Pelanggan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan di Dataran Tasik Raban, di sini, petang tadi.

Saarani berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang memetik penganalisis politik menyifatkan isu skandal LCS turut berisiko 'menghukum' Barisan Nasional (BN) termasuk seluruh pemimpin UMNO yang berimej bersih khususnya dalam menghadapi PRU 15 kelak.

Kata Saarani lagi, sudah tentu isu itu dapat dijadikan sebagai 'peluru' untuk tujuan politik dan untuk berlaku adil, ia diharapkan tidak diheret berpanjangan sehingga PRU-15 kelak.

"Untuk berlaku adil kepada UMNO, janganlah mengheret isu ini berpanjangan sehingga pilihan raya. Kadang-kadang orang ramai menghukum UMNO (dalam) semua benda walaupun akhirnya didapati UMNO tidak bersalah.

"Jadi mengapa pula hendak diseretkan (UMNO)? Kena berlaku adil kalau hendak menghukum, jangan hukum UMNO (sebaliknya) kena hukum orang yang buat salah itulah," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata tiada keperluan untuk pihak bertanggungjawab terhadap skandal bersifat kegagalan itu meminta maaf kepada kerajaan negeri sebagai mana saranan segelintir pihak, memandangkan perkara itu di bawah Kerajaan Persekutuan yang tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

Beliau malah menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenangnya campur tangan dalam isu berkenaan yang dilihat akan memburukkan lagi keadaan.

"Jangan campur tangan, jangan campur aduk dan jangan 'tambah garam' atau 'mencurah cuka' ke dalam luka (mengenai LCS).

"Sebab pada saya beberapa pandangan yang sudah diberikan oleh mereka yang berwibawa termasuk bekas Panglima armada, semua itu kenyataan rasmi. Jadi saya tidak mahu terbabit," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-