Sunday, August 14, 2022

Menjelang perbicaraan terakhir esok, Najib istiqamah dengan keputusan bakal dihadapi

agendaily.com
14/08/2022
Esok perbicaraan terakhir kes SRC International yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Esok bermulanya perbicaraan terakhir yang akan dihadapi Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan kes rasuah dana, SRC International Sdn Bhd selepas dua peringkat mahkamah sebelum ini di Mahkamah Tinggi dan Rayuan tidak memihak kepada bekas Perdana Menteri (PM) itu.

Najib mengetahui perbicaraan terakhir di Mahkamah Persekutuan adalah satu-satunya satu peluang yang dimilikinya jika tidak mahu menghabiskan masa lapangnya di dalam penjara, bagaimanapun beliau kekal istiqamah dengan sebarang keputusan yang bakal dihadapinya.

“Hari esok, penting untuk saya sebab esok rayuan terakhir saya (didengar) di Mahkamah Persekutuan. Walaupun hari ini saya patut sibuk dengan peguam saya, saya pilih untuk bersama Wanita.

“Saya mahu Wanita memahami, saya tetap bersama berjuang dengan Wanita. Biar apa pun kezaliman kepada saya, isteri dan keluarga, saya tetapi istiqamah.

“Saya tidak akan undur walau seinci pun. Saya tetap akan berjuang bersama Wanita Barisan Nasional (BN). Kita pastikan PRU-15 (pilihan raya umum ke-15) milik BN,” katanya ketika berucap pada sesi Bicara Tokoh Konvensyen Wanita BN hari ini.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari mulai esok, bagi mendengar rayuan terakhir Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara atas penyelewengan RM42 juta dana SRC.

Pada Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapatinya bersalah menyalahgunakan RM42 juta daripada dana SRC.

Kes itu di peringkat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan pada tahun lalu, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan beliau.

Rayuan akhir yang ditetapkan selama sembilan hari itu menarik perhatian seluruh dunia dan sehingga kini, 114 pemberita, jurugambar dan juruvideo media tempatan dan antarabangsa sudah mendaftar untuk mengikuti prosiding berkenaan.

Surat daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 28 Julai lalu kepada firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) yang baru dilantik Najib, menyatakan mahkamah akan mendengar rayuan berkenaan mengikut tarikh ditetapkan sebelum ini.

Melalui surat itu, Mahkamah Persekutuan menegaskan tiada penangguhan akan dibenarkan dan pihak berkaitan dikehendaki mengambil langkah sewajarnya serta bersedia bagi pendengaran rayuan akhir terbabit.

Bagaimanapun, peguam Najib difahamkan akan mengemukakan permohonan lisan untuk menangguhkan rayuan selepas panel hakim Mahkamah Persekutuan selesai mendengar hujahan berhubung permohonan notis usul bagi memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir berkenaan.

Pada 7 Jun lalu, Najib melalui notis usul memohon mahkamah menimbangkan supaya diadakan perbicaraan semula berikutan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendengar perbicaraan dan mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan, didakwa sengaja gagal mendedahkan peranannya dalam Maybank Investment melalui Bina Fikir Sdn Bhd berkaitan penubuhan SRC.

Melalui afidavitnya, Najib berkata, keterangan dan perkara baharu itu adalah relevan bagi mahkamah menimbangkan isu undang-undang serius yang dibangkitkan dan beliau turut mencabar pihak pendakwaan atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan afidavit daripada pegawai berkaitan untuk menafikan dakwaan itu.

Najib tidak meletakkan penegasan itu dengan ringan kerana ia dibuat berdasarkan dokumen yang baru ditemui dan beliau bersama peguam sudah menelitinya dengan berhati-hati.

Pada 25 Julai lalu, Najib memberhentikan khidmat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan firma Tetuan Shafee & Co dan melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) serta barisan peguam baharu diketuai Hisyam Teh Poh Teik dan Liew Teck Huat serta Rueben Mathiaravanam, sebagai peguam bersama.

Dalam prosiding rayuan akhir kelak, pendakwaan diwakili barisan timbalan pendakwa raya diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk V Sithambaram.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-