Sunday, August 14, 2022

BN berdepan laluan sukar jika PRU-15 tahun depan - Ahmad Zahid

hmetro.com.my
BERNAMA


AHMAD Zahid berucap pada Konvensyen Wanita BN. FOTO Aswadi Alias

Kuala Lumpur: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun depan, gabungan BN bakal berdepan laluan yang lebih sukar susulan faktor ekonomi dan kadar inflasi yang mungkin meningkat.

"Saya fikir tahun ini adalah paling sesuai untuk kita adakan (PRU15)," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesiapsiagaan BN untuk menghadapi PRU-15 telah dimulakan di semua peringkat dengan rancangan untuk bersaing dengan semangat 'underdog' bagi memastikan jentera parti berusaha sebaiknya untuk memperoleh sokongan pengundi.

"Kita mesti mengusahakan lebih daripada apa yang kita perolehi terdahulu. Kita berusaha ke arah untuk dominan pada (PRU-15) kali ini, walaupun kita parti underdog yang diserang daripada pelbagai sudut terutama dengan isu-isu yang banyak ditujukan kepada kita," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, BN perlu tangkas menangkis tohmahan pembangkang, terutamanya di media sosial dalam isu-isu berbangkit seperti isu kapal tempur pesisir (LCS) bagi mengelak ia daripada "membunuh" BN.

Ahmad Zhid, yang juga Presiden Umno berkata, jentera BN tidak boleh menunggu sehingga tempoh berkempen untuk menjawab isu berkenaan.

"Tugas media sosial Wanita BN, Pemuda, Puteri dan media sosial komunikasi BN (BN Comms) adalah jawab dengan segera semua isu-isu yang dibangkitkan. Jangan tunggu. Kita kena menjangkakan terlebih dulu," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kepimpinan parti bersedia untuk membawa resolusi dibentang Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di konvensyen itu hari ini sebagai manifesto BN untuk PRU-15.

Resolusi itu antaranya merangkumi penubuhan bank wanita dan universiti wanita, kelonggaran bekerja dari rumah untuk ibu yang mempunyai anak berusia dua tahun dan pindaan dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan anak daripada ibu warga negara dan bapa warga asing.

Turut hadir pada penutup konvensyen BN ialah Naib Pengerusinya, merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SVigneswaran serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-