Wednesday, August 17, 2022

Padam beberapa fakta laporan LCS tak jejas fakta keseluruhan, kata PAC

freemalaysiatoday.vom
FMT Reporters
-August 17, 2022 6:02 PM
Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata pemadaman maklumat terbabit tidak perlu kerana ia sememangnya maklumat terbuka dan boleh didapati dengan suatu carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh, berkata pemadaman beberapa fakta dalam laporan berhubung isu kapal tempur pesisir (LCS) tidak menjejaskan fakta keseluruhannya.

Katanya, PAC mendapati beberapa fakta dalam laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang telah dinyahklasifikasikan itu telah dipadamkan.

Beliau berkata, pemadaman maklumat terbabit adalah tidak perlu kerana ia sememangnya maklumat terbuka dan boleh didapati dengan suatu carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“PAC tetap berpendirian bahawa pemadaman maklumat-maklumat tersebut adalah tidak perlu kerana maklumat-maklumat berkenaan dengan pengarah dan pemegang saham Boustead Holdings Bhd, Boustead Naval Shipyard dan Perstim Industries Sdn Bhd yang dipadamkan sememangnya merupakan maklumat terbuka dan boleh didapati dengan suatu carian SSM,” katanya dalam kenyataan.

Wong berkata, PAC juga masih menunggu laporan pengauditan forensik dibuat oleh syarikat (BNS) untuk dinyahklasifikasikan selaras keputusan Kabinet.

Terdahulu, beliau berkata PAC telah menerima laporan JKSTUPKK berhubung perolehan enam second generation patrol vessel (SGPV), berkeupayaan LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dinyahklasifikasikan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Katanya, ia sejajar dengan keputusan Kabinet pada 10 Ogos yang mengarahkan JPM menyahklasifikasikan laporan berkenaan selaras syor PAC dalam laporannya mengenai perolehan LCS yang dibentangkan di Parlimen pada 4 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Sollehuddin Alyubi Zakaria memaklumkan kepada PAC, beberapa bahagian daripada laporan itu dipadam atas nasihat Jabatan Peguam Negara.

Bahagian yang dipadam dalam laporan itu ialah pada perenggan 2.39.1, 2.39.2, 2.39.4, Jadual 9, Jadual 10, Jadual 11 dan Jadual 18.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-