Thursday, August 18, 2022

PAS hanya mahu menumpang kekuatan UMNO: Mustapha

agendaily.com
18/08/2022
Setiausaha Agung Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub.

Pemimpin veteran UMNO berpendapat kenyataan PAS bahawa kedua-dua parti bersetuju mengelakkan pertembungan sesama sendiri di 27 kerusi Parlimen, menunjukkan parti Islam itu hanya mahu menumpang kekuatan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub menggesa parti itu perlu menolak cadangan pemimpin PAS untuk mengelak pertembungan di kerusi berkenaan yang mungkin jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Veteran UMNO menolak cadangan pemimpin PAS untuk kedua-dua parti bekerjasama bagi mengelakkan pertembungan di 27 kerusi yang berisiko jatuh ke tangan PH pada PRU-15.

“Ini sandiwara PAS saja, UMNO tak perlu layan. Mereka sudah buat keputusan bersama Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu. Kita juga sudah buat keputusan akan bergerak solo… tak payah timbul lagi cerita nak kerjasama, runding dan sebagainya.

“Soal risiko hilang kerusi kepada PH, jika PAS-UMNO bertembung, kita hadap saja, tak kira dua penjuru, tiga penjuru, kita lawan sajalah.

“PAS sudah sedar kedudukan mereka dalam PN, ibarat melukut di tepi gantang saja, dulu mereka nak menumpang Bersatu, tapi ternyata Bersatu tumpang PAS, sekarang nak tumpang kekuatan jentera BN,” katanya memetik laporan FMT hari ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Mohd Zuhdi Marzuki berkata PAS dan akar umbi UMNO telah membincangkan perkara membabitkan kerusi ‘Muafakat Nasional’ (MN) dan cadangan itu akan dimajukan kepada pucuk pimpinan kedua-dua parti, bagi mengelak kemenangan PH.

“Realiti di lapangan, ahli akar umbi PAS dan UMNO khususnya di kawasan yang berisiko untuk PH menang amat berharap kerjasama ini dapat berlaku. Justeru, apabila saya bangkitkan minggu lepas, berhubung 27 kerusi itu, mereka menyambutnya.

“Saya sendiri telah pergi ke 27 kawasan yang disebutkan… bertemu pimpinan PAS serta UMNO dan mereka amat mengalu-alukan kerjasama politik.

“Setakat ini, saya telah mendapat persetujuan tiga kawasan Parlimen untuk mereka mengagihkan kerusi supaya tidak bertembung, ” kata Mohd Zuhdi.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata PAS seolah-olah meninggalkan MN, apabila bersetuju menubuhkan PN bersama Bersatu.

“Jadi, PAS tak perlu longgok kesalahan kepada UMNO, kononnya tak mahu bekerjasama,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-