Sunday, August 21, 2022

Pelan B UMNO untuk selamatkan Najib dengan desak PRU segera?

agendaily.com
21/08/2022
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan rakan karibnya, Datuk Seri Najib Razak kini hanya mahu menyelamatkan diri daripada kes mahkamah dihadapi mereka.

Perjalanan perbicaraan kes di Mahkamah Persekutuan yang sedang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meresahkan UMNO dan tidak hairan pemimpin parti itu sangat berani dalam menyerang badan kehakiman negara secara terbuka.

Jika rakyat biasa yang mengeluarkan kenyataan memperlekehkan undang-undang dan keputusan mahkamah, sudah pasti dengan cepat dan pantas tindakan diambil atas tuduhan menghina mahkamah, tetapi tidak bagi kes melibatkan pemimpin utama UMNO yang dilihat bebas bercakap apa sahaja.

Satu persatu kritikan dan kecaman dilontarkan pemimpin UMNO, bermula daripada Ketua Pemudanya sehingga kenyataan daripada Presidennya sehingga kepada budak suruhan seperti Datuk Lokman Noor Adam, semua dilihat bebas dan boleh bercakap apa sahaja sehingga mencalarkan imej badan kehakiman negara.

Satu perkara disini yang jelas adalah sesiapa sahaja yang menjadi ahli UMNO, mereka kebal daripada undang-undang dan boleh melakukan apa sahaja tanpa perlu takut berdepan tindakan undang-undang.

Betul lah cakap Tun Dr Mahathir Mohamad, UMNO sudah rosak daripada atas sehingga ke bawah apabila pemimpin atasan mengajar ahli dibawah supaya tidak menghormati sistem perundangan negara, jadi tidak hairan lah jika pemimpin mereka boleh mengambil dan meminta rasuah tanpa segan silu ada rasa kemaluan.

Perbicaraan kes Najib yang sedang berjalan dijadikan alasan kononnya tidak diberikan keadilan, walhal faktanya bekas Presiden UMNO sepatutnya sudah diberikan peluang dan ruang yang banyak untuk menjawab setiap pertuduhan dihadapinya di mahkamah.

Bukannya Ketua Hakim Negara yang memecat peguam bela Najib, tapi Najib yang memecat peguamnya sendiri. Bukannya peguam bela Najib tidak diberikan peluang untuk berhujah bagi mempertahankan anak guamnya, tapi peguam Najib yang memilih untuk tidak berhujah.

Tapi di luar sana, permainan persepsi diwujudkan oleh pemimpin UMNO kononnya Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil dan saksama. Pelbagai kecaman dan kritikan dibuat terhadap Ketua Hakim Negara sehingga isu peribadi pun dikorek oleh tentera siber upahan mereka.

Semua tersebut dilakukan semata-mata untuk mempertahankan Najib dalam kes dana RM42 juta melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Sepatutnya Najib menjawab pertuduhan dan berhujah di mahkamah bagi mempertahankan dirinya bukan dengan menggunakan UMNO sebagai perisai untuk melindungi dirinya daripada diheret ke penjara.

Langkah menggunakan parti demi kepentingan diri sendiri satu perjudian yang tidak wajar sama sekali kerana UMNO bukan hak seorang individu tetapi ia adalah hak bersama-sama orang Melayu.

UMNO sepatutnya digunakan untuk memartabatkan maruah dan meningkat taraf hidup orang Melayu, bukan digunakan untuk mempertahankan pemimpin yang korup dan terpalit dengan pelbagai pertuduhan jenayah.

Terkini, Lokman yang sebelum ini dipecat UMNO dan diambil semula Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi ahli, giat berceramah ke setiap pelosok cawangan dan bahagian bagi menyampaikan mesej agar pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) disegerakan.

Lokman bercakap mengenai Pelan B untuk menyelamatkan Najib yang jika kalah perbicaraannya akan serta-merta dihantar ke penjara.

Pelan B yang dimaksudkan oleh Lokman adalah sama ada mengadakan PRU segera atau UMNO mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan membuka kes ke Lembaga Disiplin parti.

Dalam satu video yang dikongsi di Facebook, Lokman secara terbuka menggesa UMNO supaya menimbang mengambil tindakan terhadap Ismail Sabri dengan menggunakan alasan perjanjian yang bocor sebelum ini sebagai asas tindakan boleh dikenakan terhadap Naib Presiden tersebut.

Terdapat beberapa perkara dalam perjanjian tersebut yang tidak didedahkan kepada umum dan Lokman mahu menggunakan alasan tersebut untuk mendesak UMNO memulakan Pelan B terhadap Ismail Sabri.

Jadi, Pelan B yang dimaksudkan tersebut adalah mendesak PRU segera dan sekiranya ia gagal, langkah seterusnya adalah dengan mengambil tindakan disiplin terhadap Ismail Sabri.

Lokman memandang mudah dengan tidak menjangka tiada tindak balas daripada Ismail Sabri, bagaimanapun Ismail Sabri dalam kenyataan terbaharu semalam dijangka tidak akan mudah tunduk dengan tekanan yang dihadapinya.

Pelan B sedang digerakkan untuk menyelamatkan Najib dan bukannya UMNO, disini UMNO sedang berjudi demi memastikan kelangsungan pemimpin utama Kluster Mahkamah terus kekal berkuasa dalam parti.

Ismail Sabri tidak akan mudah tunduk dan akan meneruskan kemaraannya sebagai Perdana Menteri, sekurang-kurangnya kekal sehingga tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-