Thursday, August 11, 2022

‘Pengundi muda menyampah tengok muka lama’, veteran Umno sokong Nur Jazlan

ferrmalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 11, 2022 6:52 PM
Kejayaan ‘eksperimen’ Umno dengan meletakkan 70% muka baharu pada PRN Melaka dan Johor perlu diteruskan pada PRU15.

PETALING JAYA: Veteran Umno menyifatkan pengundi muda “menyampah” melihat Ahli Parlimen sudah lama menjadi wakil rakyat terutama yang terpalit isu rasuah, kata setiausaha agungnya, Mustapha Yaakob, sebagai menyokong kenyataan merehatkan “kuda lama”.

Semalam, Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, berkata Umno akan mati dalam hati orang muda dalam tempoh sedekad jika tidak berubah mengikut trend merehatkan “kuda-kuda lama”.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, wakil rakyat yang menjadi Ahli Parlimen empat hingga lima penggal diminta berlapang dada bersara bagi memberi laluan kepada calon muda, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, walaupun mereka popular dalam kalangan pengundi setempat, namun daripada persepsi rakyat mereka merupakan liabiliti.

“Dalam kalangan pengundi muda ada yang menyampah tengok muka lama ini antaranya kerana berkelahi di Parlimen, terpalit dengan isu rasuah dan kroni.

“Mereka memang popular dalam kalangan pengundi setempat sebab jaga kawasan tapi mereka tidak disukai rakyat (secara umum) dan daripada persepsi rakyat, mereka adalah liabiliti,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau turut menggelarkan wakil rakyat yang mempunyai ciri itu sebagai “kuda tua” yang didakwa ramai bilangannya.

“Mereka ini yang saya gelarkan ‘kuda tua’, ramai juga bilangannya, boleh tahanlah, mereka wajar berlapang dada mengundurkan diri, cukuplah jadi menteri dan wakil rakyat berpenggal-penggal,” katanya.

Katanya, kejayaan “eksperimen” Umno dengan meletakkan 70% muka baharu pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor perlu diteruskan pada PRU15 seperti mana disuarakan presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii, berkata kenyataan Nur Jazlan disifatkan hanya pandangan peribadi kerana hakikatnya Umno adalah parti paling banyak melalui perubahan daripada sudut kepimpinan.

Beliau berkata, PRN Melaka dan Johor menjadi bukti bahawa Umno sudah melakukan peremajaan parti dengan meletakkan ramai muka baharu dan “resipi” itu akan diteruskan melalui PRU15.

“Umno sudah banyak perubahan dari segi kepimpinan baharu dan muda berbanding parti lain termasuk DAP, maka mengapa ada momokan seperti ini yang akan melemahkan pandangan orang luar kepada parti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-