Saturday, August 27, 2022

Perhimpunan akar umbi jadi referendum Zahid kepada PM supaya PRU-15 segera

agendaily.com
27/08/2022
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus mendesak Naib Presidennya yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengadakan segera Pilihan Raya Umum.

Hari ini akan berlangsung satu perhimpunan khas yang diadakan UMNO dengan memanggil segenap peringkat pemimpin akar umbi untuk berkumpul bagi mendengar taklimat yang bakal disampaikan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ironinya, perhimpunan tersebut yang akan diadakan ini hampir sama dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang kebiasaannya diadakan setahun sekali, tetapi kali jika dikira perhimpunan raksasa sebegini sudah diadakan beberapa kali, ia termasuk Perhimpunan Agung Khas yang diadakan pada Mei lalu.

Tidak sampai beberapa bulan, satu lagi perhimpunan diadakan UMNO dan berbeza dengan himpunan terdahulu ia diadakan dengan keadaan tergesa-gesa apabila jemputan dibuat pada saat-saat akhir.

Sudah pastinya perhimpunan kali ini yang diadakan secara tergesa-gesa ini mempunyai kaitan dengan hukuman yang dijatuhkan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sudah meringkuk dalam penjara.

Perhimpunan kali ini amat penting bagi segelintir pemimpin UMNO, khususnya kumpulan yang berdepan pendakwaan di mahkamah atas puluhan pertuduhan jenayah.

Melihat nasib yang menimpa Najib apabila gagal dalam rayuan terakhirnya, sudah semestinya individu dalam UMNO yang memegang jawatan tertinggi tidak dapat duduk diam dan mula terasa bahang.

Hukuman penjara dan terasing daripada dunia luar adalah sesuatu yang tidak diinginkan pemimpin UMNO yang kebiasaannya hidup ibarat kayangan, menghisap cerut dan bersantai di kedai kopi mahal.

Kemewahan di dunia dan memiliki wang yang banyak tidak ada gunanya jika sebahagian sisa hidup terpaksa dihabiskan dalam penjara.

Ia sesuatu realiti yang pahit untuk ditelan tetapi itu adalah balasan kepada sikap angkuh dan mencuri wang rakyat.

Najib sudah menjalani hukuman penjara, tetapi berderet senarai pemimpin UMNO yang sedang menanti keputusan di mahkamah dan jika tidak ada langkah segera diambil pasti nasib sama akan dihadapi mereka.

Seperti diramalkan sebelum ini, satu-satunya jalan adalah dengan mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dengan segera dan jika lambat sesaat sekalipun ia pastinya akan mengundang musibah khususnya kepada kumpulan Kluster Mahkamah.

Kemenangan mutlak dan dominan UMNO akan memastikan pemimpin UMNO terselamat daripada menghadapi nasib sama seperti Najib.

Perhimpunan kali ini bukan sahaja memberi taklimat berhubung persediaan PRU-15 tetapi ia bakal menjadi satu referendum yang akan digunakan oleh Zahid bagi menjustifikasikan mengapa ia perlu diadakan segera.

Akar umbi UMNO akan disajikan dengan cerita dan ceramah berdegar-degar daripada pemimpin mereka, sudah pastinya akan ditanamkan semangat dan kepercayaan dalam setiap ahli UMNO bahawa kali ini kemenangan besar seperti di Melaka dan Johor akan menjadi milik UMNO.

Pada hujung perhimpunan nanti petang itu, semua pemimpin akar umbi pastinya akan menyokong cadangan Zahid yang berulang kali membangkitkan isu supaya PRU-15 disegerakan.

Malah, semalam Zahid secara terbuka dalam akaun Facebooknya sudah memberi isyarat naratif yang bakal dibawanya semasa perhimpunan hari ini.

Mungkin esok pendekatan Zahid agak berbeza dengan sebelum ini yang dilihat lebih berlembut terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberinya peluang untuk menentukan sendiri tarikh PRU-15.

Hasil daripada perhimpunan tersebut kemudiaan akan dibawa ke dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang akan berlangsung pada malam ini nanti.

Semasa Mesyuarat MT malam ini, kesimpulan daripada perhimpunan sebelah siang akan dibentang di hadapan semua ahli-ahli MT dan dianggap sebagai satu referendum kepada Ismail Sabri daripada akar umbi yang menuntutnya supaya PRU-15 disegerakan.

Difahamkan mesyuarat MT sebelah malam sudah dimaklumkan kepada semua ahli-ahli dan kehadiran adalah wajib, ia termasuk juga kepada Ismail Sabri.

Kehadiran Ismail Sabri adalah penting pada mesyuarat malam ini kerana beliau perlu mendengar dan menerima referendum yang dibawa Zahid sebagai menguatkan alasannya untuk menyegerakan PRU-15.

Bagaimanapun, adakah Ismail Sabri akan tunduk kepada referendum tersebut?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-