Monday, August 8, 2022

Permohonan injunksi Zahid terhadap Muhyiddin ditolak

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
-August 8, 2022 1:05 PM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (kiri) telah menyaman bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin kerana mendakwa beliau meminta bantuannya untuk menyelesaikan kes jenayahnya.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak cubaan Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan perintah injunksi interim (sementara) terhadap Muhyiddin Yassin sementara menunggu keputusan saman fitnahnya.

Peguam Zahid, Baharudeen Mohamed Ariff berkata, Hakim Rozana Ali Yusoff memutuskan bahawa isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua pihak adalah perkara yang boleh ditentukan dan diselesaikan semasa perbicaraan.

Rozana turut menganugerahkan kos RM5,000 kepada Muhyiddin, yang diwakili peguam DP Naban, Rosli Dahlan, Amiratu Al Amirat, Chetan Jethwani dan Ivy Shu semasa prosiding dalam talian.

“Mahkamah menetapkan 3 Okt untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak bersiap sedia untuk perbicaraan,” kata Baharudeen yang hadir bersama Shahrul Fazli Kamarulzaman dan Aina Dalila Daman Huri.

Rosli berkata, hakim menolak permohonan itu kerana Zahid tidak dapat menunjukkan bahawa dakwaan yang dibuat terhadapnya oleh Muhyiddin adalah palsu.

Zahid yang juga presiden Umno dan Ahli Parlimen Bagan Datuk telah memfailkan saman pada 14 April lalu selepas Muhyiddin mendedahkan kepada umum bahawa beliau telah memintanya campur tangan dalam kes mahkamah yang sedang berjalan.

Muhyiddin yang merupakan defendan tunggal, didakwa membuat dakwaan itu semasa kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Muhyiddin adalah perdana menteri antara Mac 2020 dan Ogos tahun lalu.

Dalam penyataan tuntutan Zahid berkata, kenyataan fitnah yang dikatakan oleh Muhyiddin membayangkan beliau tidak layak menjadi presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN).

Beliau mendakwa kenyataan itu bermakna beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan kes jenayahnya bagi kepentingan peribadi.

Zahid sedang dibicarakan atas 80 tuduhan rasuah di sini dan Shah Alam.

Bulan lalu, Rozana turut menolak permohonan Zahid untuk mendapatkan perintah sama terhadap Dr Mahathir Mohamad sementara menunggu penyelesaian samannya terhadap bekas perdana menteri itu.

Zahid menyaman Mahathir pada April atas dakwaan sama bahawa beliau telah meminta bantuan bekas perdana menteri itu untuk menggugurkan pertuduhan rasuahnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-