Showing posts with label Muhyiddin. Show all posts
Showing posts with label Muhyiddin. Show all posts

Friday, November 25, 2022

PN sah jadi pembangkang, tapi mahu rintis kerjasama lain

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 25, 2022 4:36 PM
Selepas menyatakan keputusan enggan menyertai kerajaan perpaduan Perikatan Nasional (PN) petang ini menyatakan kesanggupan mereka bekerjasama dengan pendekatan lain.

Pengerusinya Muhyiddin Yassin berkata PN bagaimanapun terbuka untuk merintis kerjasama dalam bentuk lain dengan kerajaan.

Dalam kenyataan terbarunya ahli parlimen Pagoh itu berkata PN memang menghargai tawaran dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membawa mereka menyertai kerajaan.

Namun, katanya, atas semangat untuk menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak-imbang yang berkesan di parlimen PN berpendirian untuk tidak menyertai kerajaan.

"PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke parlimen," katanya.

Tambah bekas perdana menteri itu lagi PN juga akan memastikan perjalanan urus tadbir yang baik serta berintegriti selaras dengan dasar mereka iaitu prihatin, bersih dan stabil.

"Demi untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia untuk merintis bentuk-bentuk kerjasama yang lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan kerajaan dan pembangkang," katanya.

Kenyataan itu memberi gambaran bahawa PN bersedia mencari persefahaman dengan Putrajaya melalui kaedah perjanjian berbentuk persefahaman yang pernah dimeterai Pakatan Harapan (PH) bersama perdana menteri terdahulu, Ismail Sabri Yaakob.

Memorandum persefahaman tersebut ditandatangani PH dan Ismail Sabri sebagai langkah memberikan kestabilan kepada kerajaan pusat selepas Malaysia menyaksikan berlaku tiga kali pertukaran perdana menteri selepas PRU ke-14.

Satu lagi cara kerjasama yang biasa dicapai di antara blok kerajaan dan pembangkang dalam negara demokrasi ialah perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA).

Semalam Muhyiddin masih lagi bertegas untuk mencabar keabsahan Anwar selepas pengerusi PH itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Muhyiddin yang sebelum ini mengumumkan PN memiliki sokongan majoriti ahli parlimen di sebalik kedudukan parti itu menjadi blok kedua terbesar selepas PH juga mahu Anwar membuktikan sokongan yang diperolehinya.

Anwar kemudian mengumumkan sidang Dewan Rakyat akan diadakan pada 19 Dis ini dengan agenda penting selepas majlis angkat sumpah ialah usul undi percaya kepadanya.

Menurut Anwar usul itu akan dibawa sendiri oleh kerajaan.

Isu kestabilan dalam kerajaan menjadi antara aspek utama yang ditekankan Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan kerajaan baru selepas PRU pada 19 Nov lalu.

Monday, November 14, 2022

Muhyiddin: Anwar tak akan dapat jadi PM selagi bersama DAP

malaysiakini.com
Isabelle Leong & Ng Xiang Yi
Diterbitkan: Nov 14, 2022 2:43 PM
Usaha Pengerusi PH Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri tidak akan menjadi kenyataan selagi dia bekerjasama dengan DAP, menurut bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Bercakap di depan kira-kira 600 hadirin dalam program Jelajah PN Best di Tambun, Perak semalam, Muhyiddin berkata Anwar tidak akan dapat mencapai matlamat itu memandangkan orang Melayu akan terus menolak DAP.

Katanya lagi, dia sudah menyatakan perkara itu kepada Anwar ketika dia memimpin kerajaan.

"Saya cakap 'sorry Anwar, saya perdana menteri (sekarang)'. Saya beritahu dia yang dia tak akan jadi perdana menteri selagi bersama DAP.

"Saya cakap (kepada Anwar) terus-terang," kata pengerusi PN itu.

DAP telah menyokong Anwar sebagai perdana menteri sejak PRU 1999.

Memandangkan asas sokongan utama DAP adalah pengundi Cina dan India, para pemimpin PN berulang-kali membangkitkan perkara itu untuk memaparkan PH sebagai sebuah gabungan yang didominasi orang bukan Melayu.
Muhyiddin pula adalah calon perdana menteri PN. Kedua-dua Muhyiddin dan Anwar berusia 75 tahun.

Bagi menunjukkan kelayakannya, Muhyiddin berkata dia menerima sokongan Anwar sejak 1998 ketika presiden PKR itu masih timbalan perdana menteri.

Ketika itu, Anwar dilihat sebagai pengganti kepada Dr Mahathir Mohamad. Dia bagaimanapun dipecat dari kerajaan dan Umno pada September 1998.

"Anwar beritahu saya "Mahathir cakap tak lama lagi dia berhenti. Saya akan jadi perdana menteri dan anda akan jadi timbalan saya'," dakwa Muhyiddin.
Membandingkan dirinya dengan Anwar, Muhyiddin yang menjadi perdana menteri selama 17 bulan - antara 2020 hingga 2021 - berkata dia memiliki kemahiran mentadbir yang diperlukan untuk menguruskan negara, sementara Anwar sudah lama berada di luar kerajaan, iaitu 23 tahun.

"Bukan nak burukkan Anwar, dia kawan saya.

"Tapi kalau sudah (lebih) 20 tahun tinggalkan kerajaan, nak kembali jadi perdana menteri saya fikir agak sukar. Kerana (dia perlu) fahamai dasar dan tindakan (yang perlu diambil).

"Kita akan berdepan risiko besar jika dalam keadaan begitu. Masalah utama rakyat tak mungkin dapat selesai secepat yang rakyat mahu, dan rakyat tak boleh tunggu lagi," katanya.

Peja bukan giant killer, tapi giant

Muhyiddin kemudian menyuarakan sokongan kepada Ahmad Faizal Azumu, timbalan presiden Bersatu yang akan berdepan dengan Anwar di kerusi Parlimen Tambun.

"Insya-Allah Peja menang, dan menang besar.

"Anda (Peja) bukan giant killer. Anda adalah giant untuk musnahkan dia (Anwar)," katanya lagi.

Sementara itu, Faizal dalam ucapannya berkata dia yakin Anwar kini ketinggalan dalam saingan di Tambun.

"Jika dia begitu yakin, saya fikir dia tidak akan buat poster sebesar itu," katanya merujuk sejumlah poster dan papan iklan kempen Anwar di situ.

"Saya fikir rakyat perlu lihat rekod dia dan apa yang telah dia lakukan selama ini - jika dia benar-benar bermoral untuk diangkat sebagai pemimpin utama negara," katanya lagi.

Thursday, November 3, 2022

PRU-15 mandat rakyat kembalikan kerajaan bersih, prihatin, berintegriti

agendaily.com
03/11/2022
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada program Jelajah Prihatin Perikatan Nasional Parlimen Hulu Terengganu, malam tadi (2 November 2022).

Pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan 19 November ini, mempunyai hikmah tersendiri, walaupun pada awalnya Perikatan Nasional (PN) menolak pilihan raya yang diadakan pada musim tengkujuh.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata hikmah PRU kali ini adalah bagi membolehkan rakyat memilih semula sebuah kerajaan yang belum selesai melaksanakan tanggungjawabnya dalam membantu mereka, dan memulihkan kembali ekonomi negara.

Beliau berkata pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang amat besar kepada kehidupan rakyat dan negara yang sehingga sekarang belum dapat diselesaikan lagi, khususnya dalam soal untuk mengembalikan semula kehidupan, pekerjaan dan pendapatan.

“Covid-19, jika kita tidak jaga dan pelihara diri kita… mungkin akan menghadapi masalah dan mungkin juga akan membawa maut kepada kita… dan itu adalah kesan pada masalah berkenaan.

“Kesan keduanya ialah kerana kita sekat pergerakan rakyat dan tak boleh keluar ke mana-mana (untuk menghalang jangkitan) sehingga kita tak boleh menjalankan urusan harian seperti biasa.

“Berniaga tak boleh… buka kilang lagi tak boleh… buat apa urusan-urusan di luar, tak dibenarkan. Dan kesannya kepada kehidupan kita adalah amat besar sekali… antaranya ialah soal nak kembalikan semula kehidupan kita… ada pekerjaan, ada pendapatan… semua perniagaan boleh diteruskan dan sebagainya sebagaimana yang telah pun kita lihat pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Prihatin Perikatan Nasional Parlimen Hulu Terengganu, malam tadi (2 November 2022).

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata segala usaha dan tugas yang dimulakan oleh kerajaan PN dalam menangani pandemik Covid-19 sebenarnya belum selesai, walaupun kehidupan rakyat sudah mula kembali pulih sedikit demi sedikit.

“Walaupun saya telah mulakan (usaha membantu rakyat dan negara)… dalam tempoh dua tahun lepas itu beralih sedikit kepimpinan kepada Perdana Menteri selepas saya yang tidak dapat membuktikan keupayaan untuk meneruskan usaha-usaha yang kita telah mulakan sebelum ini.

“Maka sewajarnya bila kita berhadapan dengan pilihan raya ini, ada juga hikmah iaitu pilihan raya ini berupaya untuk memberikan balik kuasa kepada rakyat melalui undi yang ada untuk memilih parti yang boleh membentuk sebuah kerajaan yang boleh meneruskan agenda yang tak selesai iaitu untuk memulihkan ekonomi negara.

“Nak pulihkan pendidikan negara… nak pulihkan kehidupan rakyat kita. Ini memerlukan suatu kerajaan yang bertanggungjawab, yang beramanah, yang tidak korup, yang tidak bobrok, yang tidak melanggar undang-undang dan mereka yang terjebak dengan masalah undang-undang seperti rasuah dan sebagainya,” katanya.

Bekas Perdana Menteri kelapan itu berkata beliau berasakan PRU-15 ini adalah antara pilihan raya yang terpenting serta paling mustahak diberi perhatian oleh setiap pengundi yang wajib untuk keluar memilih sebuah kerajaan yang baik.

Katanya pengundi hanya mempunyai tiga pilihan iaitu memilih Perikatan Nasional, Barisan Nasional atau Pakatan Harapan, namun jika tersalah pilih maka musibahnya amat besar yang boleh menyebabkan rakyat serta negara jatuh ke dalam jurang yang amat dalam.

“Setiap pengundi yang ada di negara ini wajib keluar mengundi. Kerana kalau saudara dan saudari tidak mengundi, bermakna saudara saudari memberi hak kepada pihak yang tidak berhak untuk mentadbir negara. Bahaya musibahnya adalah amat besar sekali.

“Jika semua keluar mengundi… insya-Allah akan terbentuk sebuah kerajaan PN yang bersih dan stabil. Bersih daripada segala amalan-amalan yang tak betul… menyalahgunakan kuasa. Ini suatu yang kita tak akan lakukan.

“Tengok pada hari ini tak ada suatu pemimpin dalam PAS ataupun Bersatu dan Gerakan yang menghadapi apa-apa tuduhan di mahkamah,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata keadaan i ni menunjukkan bahawa PN berpegang pada prinsip baharu iaitu menentang segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta perkara-perkara yang bertentangan dengan Akta Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Kita sebutkan kita juga kerajaan yang hendak membentuk kestabilan jangan ada gangguan-gangguan yang boleh mengacau ganggu kehidupan kita. Jangan ada ancaman kepada nyawa dan keselamatan kita. Kita nakkan situasi negara kita stabil.

“Dan kalau negara kita stabil bermakna pelaburan akan masuk, banyak peluang pekerjaan yang akan disediakan dan negara kita akan lebih maju dan makmur, maju ke depan dan capai tahap sebuah negara yang telah berjaya dalam tempoh yang tidak berapa lama nanti,” katanya.

Sunday, October 2, 2022

Zahid dedah isi pertemuan dengan Hadi: Umno beri tiga syarat

malaysiakini.com

Diterbitkan: Oct 2, 2022 5:00 PM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ketika bertemu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang baru-baru ini, dia telah mengemukakan tiga syarat sekiranya PAS mahu menjalin semula kerjasama politik dengan parti itu.

Zahid hari ini dipetik Utusan Online berkata tiga syarat itu ialah PAS keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ (berpisah) seratus peratus daripada PN dan Bersatu.

Kata Zahid lagi, jika tiga tuntutan ini dipenuhi maka rundingan kerjasama dengan PAS boleh dibuat khususnya dalam menghadapi PRU15.

“Selagi PAS tidak penuhi tiga tuntutan itu, kita (Umno) tidak dapat merungkai apa juga isu dan perkara yang menjadi perbezaan antara kedua-dua parti. Mereka mengetahuinya (tiga syarat).
“Tiga syarat itu saya maklumkan ketika mengadakan pertemuan dengan presiden PAS.

“Bukan saya hendak jumpa dia, tetapi dia yang hendak jumpa saya,” kata Zahid.

Mengenai kerjasama dengan PAS, Zahid juga dilaporkan berkata Umno tidak mahu melihat pisang berbuah dua kali.

“Dulu kita bersangka baik dengan PAS selepas menandatangani piagam (MN) tersebut yang menyaksikan hasil gabungan itu, kita menang tujuh pilihan raya kecil. Tetapi selepas itu lain yang terjadi,” katanya seperti dipetik Utusan Online.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan sumber dalaman Umno menjelaskan pertemuan presiden Umno dan presiden PAS berkenaan hanya berlangsung di sebuah restoran di Bangi, Selangor.

Kata sumber itu, antara isu yang dibangkitkan Ahmad Zahid ialah tegurannya terhadap sikap PAS 'bermain dua kolam' dalam langkah politik mereka.

Bersatu kini merupakan salah satu musuh utama Umno. Untuk rekod Bersatu ditubuhkan oleh sekumpulan bekas pemimpin kanan Umno yang keluar dari parti itu - sama ada atas kemahuan sendiri, digantung keahlian atau dipecat - menjelang pilihan raya umum (PRU14) lalu.

Pertemuan Abdul Hadi dengan Ahmad Zahid itu menjadi perhatian ramai selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyatakan dia akan meminta penjelasan daripada PAS.
Abdul Hadi kemudian mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin pula. Bagaimanapun menurut Muhyiddin, presiden PAS memaklumkan tiada sebarang ketetapan atau keputusan dicapai dalam pertemuannya dengan Ahmad Zahid.

Muhyiddin turut memaklumkan PAS memberi bayangan bahawa mereka akan membuat keputusan mengenai hala tuju parti terbabit bersama PN dalam masa terdekat.

Ia berlaku ketika wujud pertentangan pendirian di antara Bersatu dan PAS - walaupun kedua-duanya menjadi parti utama PN - berhubung sikap mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Muhyiddin sudah mengisytiharkan bahawa musuh utama PN dalam PRU ke-15 ialah BN, namun ia disanggah secara terbuka dan berkali-kali oleh PAS.

Untuk rekod Umno-BN pula sebelum ini turut menegaskan pendirian mereka untuk bergerak secara sendirian di sebalik piagam MN yang dimeterai dengan PAS pada 14 Sept 2019.

Tuesday, September 27, 2022

Tolak BN: Takiyuddin tak perlu beri 'amaran' pada Bersatu, kata Razali

malaysiakini.com
Yasmin Ramlan
Diterbitkan: Sep 27, 2022 

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Razali Idris berkata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan tidak perlu memberi amaran berhubung perbezaan pendirian kedua-dua parti itu dalam hubungan dengan Umno-BN.

Razali berkata ini kerana Bersatu tidak pernah memberi sebarang amaran kepada PAS untuk mengadakan perbincangan dengan Umno.

“Saya rasa Takiyuddin tak perlu beri amaran kepada Bersatu supaya tidak mengatakan BN ini musuh politik. Dan kita (Bersatu) pun meraikan keputusan dia (PAS), meraikan PAS bersama-sama dengan Umno, berbincang dengan Umno pun kita tak pernah bagi apa-apa amaran pun kepada dia.

“Jadi dalam hal sebegini, kalau pun ada sedikit kurang senang, saya fikir ada platform (melalui) Majlis Tertinggi PN. Mungkin di situ tempat yang terbaik untuk diperbincangkan," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Takiyuddin berkata PAS tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan pertubuhan Melayu dan Islam lain sebagai musuh utama mereka.
Takiyuddin Hassan
Walaupun tidak merujuk mana-mana pihak, kenyataan yang dikeluarkan beberapa hari selepas Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menegaskan BN adalah musuh utama gabungan itu dalam PRU15.

Semalam juga Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan menurut Muhyiddin, banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan PN dalam menghadapi PRU15.

Sementara itu, Razali menyifatkan perbezaan pendirian antara dua parti itu bukanlah isu yang perlu diperbesarkan.

“Kita raikan (perbezaan pendapat dengan) PAS...PAS (juga) ada perjumpaan dengan Zahid Hamidi. (Jadi) Umno dan PAS pun kena meraikan kenyataan kita (Bersatu) pasal BN.

“Walaupun ada sedikit krisis di antara kita, biasalah...mana-mana pun memang ada krisis. Tapi kedua-dua (PAS-Bersatu) ini solid dalam mengatakan kita akan berlawan dalam PRU15 atas nama PN,” katanya lagi.

Ditanya mengenai perkembangan dan intipati pertemuan antara pemimpin kanan Bersatu dan PAS semalam, Razali berkata MPT belum dimaklumkan lagi berhubung perkara tersebut.

“Saya tak tahu pun intipatinya. Mungkin kita dapat nota daripada Tan Sri (Muhyiddin) ketika perjumpaan pada 3 Oktober nanti,” jawabnya ringkas.

Monday, September 26, 2022

‘Muhyiddin kata lain, PAS kata lain’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 26, 2022 9:21 AM
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi menyindir Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa BN adalah musuh utama mereka pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.

Dalam satu hantaran di Facebook, Puad berkata, Muhyiddin tidak perlu mengumumkan bahawa BN, khususnya Umno adalah musuh utama PN kerana sudah lama dia memusuhi gabungan itu.

“PAS pula malukan dia kerana umum secara terbuka, PH adalah musuh PN bukan BN.

“Sebenarnya dia benci Umno. Dia kowtim dengan Tun M (Dr Mahathir Mohamad) tubuh parti Bersatu. Tujuannya untuk bunuh Umno di PRU ke-14.

“Sebab itu apa yang mahu dihairankan. Rasa benci Muhyiddin kepada Umno cukup jelas di pilihan raya negeri Sabah, Melaka dan Johor,” katanya.

Puad mengulas dakwaan Muhyiddin pada 24 September lalu yang mendakwat semua parti komponen PN - Bersatu, PAS, Gerakan, Star dan SAPP - bersetuju bahawa BN adalah musuh mereka.

Menurutnya, Bersatu adalah musuh yang tidak ada harga diri.

“Bukan sahaja didokong oleh ramai katak, tetapi takut tekan butang. Bersatu melukut di tepi gantang. Tumpang ihsan PAS.

“Bersatu berani memusuhi Umno kerana ada PAS. Beranikah Bersatu memusuhi BN tanpa PAS sepertimana BN sanggup berlawan secara solo. Elok Muhyiddin kowtim semula Tun M yang memang memusuhi Umno,” katanya lagi.

Tuesday, August 30, 2022

Ini keputusan PH, bukan ‘sekadar pandangan peribadi’ saya, Rafizi bidas Muhyiddin

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 30, 2022 2:45 PM
Rafizi Ramli mengingatkan Muhyiddin Yassin agar tidak memandang rendah pemimpin yang lebih muda sepertinya.

PETALING JAYA: Rafizi Ramli membidas kenyataan Muhyiddin Yassin yang menyifatkan kenyataannya tiada kerjasama antara Pakatan Harapan dengan Perikatan Nasional sebagai pandangan peribadi.

Rafizi berkata pengerusi PN itu meremehkan kenyataan beliau sebagai timbalan presiden PKR dan ahli dalam Majlis Presiden PH.

“Katanya (Muhyiddin) itu pendapat peribadi saya, bukan keputusan PH. Yang jadi timbalan presiden dan duduk dalam Majlis Presiden PH adalah saya. Yang tahu apa keputusan PH dia,” kata Rafizi dalam kenyataan.

Rafizi turut mengingatkan Muhyiddin agar tidak memandang rendah pemimpin yang lebih muda sepertinya.

“Mereka (Perikatan Nasional) memandang rendah mereka yang lebih muda. Walaupun saya sudah berusia 45 tahun, telah berada dalam barisan kepimpinan sejak berusia awal 20an, di mata Muhyiddin saya hanya budak hingusan.

“Sebab dalam PN, orang muda ini fungsinya bukan untuk membuat keputusan. Fungsi pimpinan berumur 40an ke bawah dalam PN hanyalah mengikut telunjuk mereka yang dua atau tiga dekad lebih tua,” katanya.

Selain itu, Rafizi juga turut mengingatkan Muhyiddin bahawa keputusan PH untuk tidak bekerjasama dengan PN adalah muktamad dan menolak sebarang rundingan belakang tabir yang membelakangi keputusan yang sudah dibuat parti.

“Keputusan untuk memberi noktah kepada sebarang perbincangan bekerjasama dengan PN ini ialah keputusan Majlis Presiden PH yang terakhir.


“Keputusannya ialah PH akan menguatkan gabungan ini dan masuk PRU15 sebagai PH. Noktah,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menyifatkan kenyataan Rafizi menolak sebarang bentuk kerjasama dengan gabungan itu sebagai “sekadar pandangan peribadi”.

Rafizi sebelum ini berkata, PH menegaskan, keputusan mereka untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15 adalah muktamad.

Katanya, ia sudah pun diputuskan menerusi mesyuarat PH, pada Rabu lalu.

Monday, August 8, 2022

Permohonan injunksi Zahid terhadap Muhyiddin ditolak

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
-August 8, 2022 1:05 PM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (kiri) telah menyaman bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin kerana mendakwa beliau meminta bantuannya untuk menyelesaikan kes jenayahnya.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak cubaan Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan perintah injunksi interim (sementara) terhadap Muhyiddin Yassin sementara menunggu keputusan saman fitnahnya.

Peguam Zahid, Baharudeen Mohamed Ariff berkata, Hakim Rozana Ali Yusoff memutuskan bahawa isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua pihak adalah perkara yang boleh ditentukan dan diselesaikan semasa perbicaraan.

Rozana turut menganugerahkan kos RM5,000 kepada Muhyiddin, yang diwakili peguam DP Naban, Rosli Dahlan, Amiratu Al Amirat, Chetan Jethwani dan Ivy Shu semasa prosiding dalam talian.

“Mahkamah menetapkan 3 Okt untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak bersiap sedia untuk perbicaraan,” kata Baharudeen yang hadir bersama Shahrul Fazli Kamarulzaman dan Aina Dalila Daman Huri.

Rosli berkata, hakim menolak permohonan itu kerana Zahid tidak dapat menunjukkan bahawa dakwaan yang dibuat terhadapnya oleh Muhyiddin adalah palsu.

Zahid yang juga presiden Umno dan Ahli Parlimen Bagan Datuk telah memfailkan saman pada 14 April lalu selepas Muhyiddin mendedahkan kepada umum bahawa beliau telah memintanya campur tangan dalam kes mahkamah yang sedang berjalan.

Muhyiddin yang merupakan defendan tunggal, didakwa membuat dakwaan itu semasa kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Muhyiddin adalah perdana menteri antara Mac 2020 dan Ogos tahun lalu.

Dalam penyataan tuntutan Zahid berkata, kenyataan fitnah yang dikatakan oleh Muhyiddin membayangkan beliau tidak layak menjadi presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN).

Beliau mendakwa kenyataan itu bermakna beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan kes jenayahnya bagi kepentingan peribadi.

Zahid sedang dibicarakan atas 80 tuduhan rasuah di sini dan Shah Alam.

Bulan lalu, Rozana turut menolak permohonan Zahid untuk mendapatkan perintah sama terhadap Dr Mahathir Mohamad sementara menunggu penyelesaian samannya terhadap bekas perdana menteri itu.

Zahid menyaman Mahathir pada April atas dakwaan sama bahawa beliau telah meminta bantuan bekas perdana menteri itu untuk menggugurkan pertuduhan rasuahnya.

Tuesday, June 28, 2022

Tajuddin sahkan Muhyiddin tak masuk campur kes mahkamah Zahid

agendaily.com
28/06/2022
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak masuk campur dalam kes mahkamah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sidang media khas Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam secara tidak langsung mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak masuk campur dalam urusan kes mahkamah melibatkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu mendedahkan semasa dalam perbualan telefon, Zahid mengadu kepadanya Muhyiddin ketika itu masih Perdana Menteri (PM) tidak mahu membantunya dalam urusan kes mahkamah yang dihadapinya.

Untuk rekod, Zahid juga sebelum menyaman Muhyiddin bersama seorang lagi mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas didakwa memfitnahnya berhubung permintaan pertolongan untuk menyelesaikan kes mahkamah dihadapinya.

Zahid memfailkan saman tersebut pada April, bagaimanapun dalam afidavit balas Muhyiddin berkata Zahid menunjukkan sejumlah fail yang banyak berkaitan kes jenayahnya dan meminta bantuan beliau untuk campur tangan dalam prosiding mahkamah.

“Selepas saya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, satu mesyuarat diadakan di kediaman saya bagi membincangkan, antara lain, pembentukan Kabinet baharu.

“Beberapa individu menghadiri mesyuarat itu termasuk plaintif, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Hadi Awang. Selepas mesyuarat berakhir, plaintif meminta untuk bercakap dengan saya secara peribadi dan saya meminta Azmin untuk turut serta.

“Ketika perbincangan, beliau menunjukkan sejumlah besar fail yang dibawa ke mesyuarat itu. Apabila saya tanya mengapa dia bawa fail itu, dia kata fail itu ada kaitan dengan kes jenayah terhadapnya yang didakwa mempunyai motif politik, dia kata dia tak bersalah dan minta bantuan saya,” kata Muhyiddin dalam afidavit tersebut.

Semalam, Tajuddin berkata Zahid sebenarnya terdesak dalam kes mahkamah yang sedang dihadapinya, malah mengadu kepadanya dalam satu perbualan telefon selepas Muhyiddin tidak mahu menolongnya dalam kes mahkamah beliau.

“Dia (Zahid) sangat terdesak, dia ingat dengan menyertai Mahathir dan kemudiaannya Muhyiddin, diaorang boleh tolong dia.

“Bossku (Datuk Seri Najib Razak) ingat dia boleh ditolong, Zahid pun begitu… sekali dah masuk tak dapat pertolongan itu yang mula marah, itu yang nak tarik sokongan.

“Saya tak boleh lupa Datuk Zahid pernah cakap dengan saya dalam telefon, Din dia kata (Tajuddin) dorang (Muhyiddin, Mahathir) ini pun tak gunalah, tak ada nak menolong (kes mahkamah),” katanya semasa sidang media semalam.

Semasa krisis tahun lalu yang menyaksikan Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai PM, Zahid bersama-sama 14 Ahli Parlimen (MP) UMNO menyertainya menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Zahid ketika itu bersama-sama cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang bersama langkah untuk menjatuhkan kerajaan ditadbir Muhyiddin.

Susulan itu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi PM baharu menggantikan Muhyiddin selepas namanya dicadangkan Bersatu, PAS dan GPS.

Saturday, June 18, 2022

MP UMNO didakwa terima wang UKSB dicabar buat penafian seperti Muhyiddin

satuberita.my
By SatuBerita
-June 18, 2022

AHLI Parlimen (MP) UMNO yang nama mereka turut disebut menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, digesa tampil membuat penafian sebagaimana dilakukan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Gesaan itu dibuat Bersatu Negeri Kedah sambil meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berdasarkan kenyataan saksi ke-17 kes rasuah Presiden UMNO itu di mahkamah semalam.

Pada masa sama, Bersatu Kedah akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan itu.

Ketua Penerangan Bersatu Kedah Khairul Anuar Ramli berkata pihaknya menerima baik penafian dibuat Muhyiddin serta menyokong semangat keterbukaan beliau yang bersedia disiasat SPRM.

“Sehubungan itu, Bersatu Kedah berharap nama-nama mereka yang disebut yang terdiri dari Ahli Parlimen dan bekas Ahli Parlimen UMNO iaitu Khairy Jamaluddin; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Datuk Seri Hishammuddin Hussein; dan dan Datuk Seri Anifah Aman, turut membuat penafian yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya Bersatu Kedah akan membuat satu laporan kepada SPRM terhadap empat nama yang disebut oleh saksi perbicaraan terbabit di Pejabat SPRM Negeri, Ahad ini.

Bersatu Kedah bersedia membuat laporan kepada SPRM bagi memohon siasatan telus dan adil dibuat ke atas kenyataan saksi berkenaan, katanya.

“Saya juga menyeru untuk kita sama-sama membuat laporan SPRM ke atas bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun agar pihak SPRM dapat menyiasat sama ada dia membuat kenyataan saksi itu atas sogokan mana-mana pihak atau tidak.

“Bersatu adalah satu-satunya parti yang meletakkan perjuangan menentang rasuah dan salah guna kuasa di dalam perlembagaan parti. Hal ini menunjukkan bahawa Bersatu tegas dan serius dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Semalam, Muhyiddin menyifatkan keterangan mahkamah yang mendakwa kononnya beliau turut menerima wang tunai RM1.3 juta daripada UKSB, adalah pernyataan palsu.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan pada tarikh yang disebut oleh saksi pendakwaan itu, beliau menjalani pembedahan kanser dan mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.

“Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh Perdana Menteri (ketika itu) Tun Dr Mahathir Mohamad dan mendapat liputan meluas media massa,” kata Muhyiddin.

Terdahulu David Tan mendakwa lima lagi ahli politik yang menerima dana daripada UKSB ialah Khairy; Reezal Merican; Hishammuddin; Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; dan Anifah Aman.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata:

“Saya setuju projek UKSB di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sumbangan diserahkan untuk kerajaan pada masa itu. Muhyiddin adalah Menteri Dalam Negeri selepas Ahmad Zahid pegang jawatan berkenaan.”

Zahid, 69, kini berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Zahid didakwa melakukan semua kesalahan itu di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Tuesday, February 22, 2022

Dakwaan bawa fail bertimbun: Sumpah laknat cara ‘segera’ pertahankan diri, Zahid beritahu Muhyiddin

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-February 22, 2022 9:54 PM
Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata sekiranya Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bercakap benar, beliau sepatutnya tidak perlu takut bersumpah laknat.

PETALING JAYA: Cabaran bersumpah laknat terhadap Muhyiddin Yassin dibuat sebagai cara ‘segera’ untuk mempertahankan diri, kata Presiden Umno Zahid Hamidi, merujuk kepada dakwaan membawa lambakan fail kepada bekas Perdana Menteri itu meminta kes mahkamahnya digugurkan.

Zahid berkata, beliau bukanlah taksub kepada sumpah laknat, namun tuduhan berhubung perkara berkenaan keterlaluan, sekali gus memaksa seruan itu dilakukan.

“Jika membawanya ke mahkamah pasti panjang prosesnya dan hanya terbukti sesudah pilihan raya negeri (PRN) Johor telah lama berakhir.

“Bersumpah bukan perkara main-main jika implikasinya mungkin tidak di dunia, tetapi di akhirat nanti,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Pada 17 Februari lalu, Muhyiddin mendakwa Zahid berkunjung ke kediamannya ketika sedang berbincang dengan Abdul Hadi Awang dengan membawa satu fail bertimbun-timbun.

“Fail itu rupanya fail kes dia, kes mahkamah dia. Dia bawa pada saya dan kata Tan Sri ini fail saya. Saya tanya dia buat apa bawa dan dia kata Tan Sri tolonglah, saya tidak buat apa-apa (kesalahan).

“Saya kata pada dia, kalau tak buat apa yang dituduh buat apa nak takut, pergilah ke mahkamah, kalau tidak bersalah akan dibebaskan,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata sekiranya Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bercakap benar, beliau sepatutnya tidak perlu takut bersumpah laknat.

“Kalau dia bercakap benar, kenapa takut untuk bersumpah laknat? Mungkin dia sebagai anak ulama sudah tahu akibatnya jika dia laksanakan sumpah laknat. Dan apakah tindakan saya cuba mempertahankan diri dengan menyeru kepada sumpah laknat memalukan?” katanya.

Zahid turut menegaskan apa-apa keputusan PRN Johor nanti tidak akan memberi kesan terhadap kesnya di mahkamah.

Katanya, sebaliknya memberi kesan kepada golongan yang dikatakan pernah menipu rakyat.

“Memberi kesan kepada mereka yang mengkhianati perjuangan BN kerana takut didakwa atau terpesona dengan tawaran,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said membidas dakwaan mengatakan pimpinan Umno digelar “kluster mahkamah” tidak lagi berdepan tuduhan, jika BN menang pada PRN Johor, bulan depan.

Dalam puisi berjudul Kluster dan Koloni, yang dimuat naik di Twitter, bekas Menteri Undang-undang itu berkata, prosiding mahkamah terhadap mereka yang berada dalam “kluster mahkamah” akan bersambung walaupun selepas PRN itu.

Friday, November 12, 2021

Muhyiddin masih jaja cerita dongeng, kata Najib

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 12, 2021 12:20 PM


Najib Razak menyelar Muhyiddin Yassin kerana masih “menjaja” dakwaan dipecat daripada Umno dan sebagai timbalan perdana menteri kerana mempersoalkan isu 1MDB.

“Mengarut,” kata Najib yang menyifatkan kenyataan itu sebagai cerita dongeng.

Menulis di media sosial, Najib berkata Muhyiddin sudah berkomplot dengan Mahathir sejak 2014 untuk menjatuhkannya.

Katanya, perkara itu diakui anak Mahathir, Muhkriz, di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Julai 2017, seperti dilaporkan media.

Laporan itu menyebut Mukhriz bersetuju bahawa Mahathir berusaha menjatuhkan Najib dan rancangan itu bermula pada tahun 2014.

Najib juga berkata Muhyiddin “bukan tak biasa dengan perkara khianat” kerana pernah melakukannya terhadap bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, Mahathir dan dia sendiri.

Berkaitan pemecatannya dalam Umno, Najib berkata ia keputusan sebulat suara Majlis Tertinggi selepas dia berkempen bersama DAP, PKR dan Mahathir dalam acara "Selamatkan Malaysia" pada Mac 2016.

Perkara itu katanya boleh disahkan oleh anggota majlis tertinggi Umno ketika itu, termasuk Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Annuar Musa.

“Jika dia masih lupa kenapa dia dipecat dari parti, boleh tanya Hisham, Khairy atau Annuar Musa yang turut terlibat dalam keputusan memecatnya dari Umno,” katanya.

Monday, August 9, 2021

Penganalisis: PM masih ada jalan, boleh capai persetujuan dengan 'kluster mahkamah'

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan 9 Aug 2021, 10:07 am
Dikemaskini 10:12 am

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih memiliki beberapa pilihan untuk menyelamatkan kedudukannya, menurut penganalisis politik.

Antaranya adalah mencapai persetujuan dengan pemimpin Umno yang kini berdepan pendakwaan jenayah di mahkamah.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, Muhyiddin juga kini memiliki lebih banyak perkara untuk ditawarkan kepada ahli parlimen agar menyokongnya, susulan peletakan jawatan sejumlah pemimpin Umno untuk pelbagai jawatan, termasuk dua menteri kabinet.

"Apa yang perlu diingat, tak kira sejauh mana mereka (PN dan Umno) bergaduh, persetujuan masih tidak mustahil.

"Muhyiddin masih boleh menukar pendirian dan kata dia akan campur tangan dalam kes mahkamah mereka, dan buat persetujuan untuk membolehkannya kekal setahun lagi.

"Dengan berbuat demikian, ahli parlimen Umno (yang berdepan dakwaan) masih boleh bertanding dalam PRU akan datang. Jika tidak, kalau mereka didapati bersalah di mahkamah, ahli parlimen ini bukan saja kehilangan kerusi tetapi peluang untuk bertanding lagi.

"Jadi mereka akan hilang satu setengah penggal. Inilah yang mereka lawan. Mereka lawan untuk masa depan sebagai wakil rakyat," katanya kepada Malaysiakini.
Muhyiddin kini berdepan laluan sukar untuk mengekalkan pentadbirannya susulan keputusan Umno untuk menarik balik sokongan terhadap PN.

Terdahulu, dia menegaskan masih memiliki sokongan majoriti dan berkata akan membuktikannya menerusi undi percaya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.

Dia juga mendakwa ada pihak yang mendesaknya untuk campur tangan dalam urusan mahkamah bagi membebaskan beberapa individu yang kini sedang dibicarakan.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama secara khusus, dia dipercayai merujuk kepada sejumlah pemimpin Umno yang didakwa dengan kes rasuah.

Ditanya jika Muhyiddin mampu menarik cukup sokongan menjelang sidang bulan depan, Chin berkata dia tidak dapat menyatakannya secara pasti.

"Anda perlu andakan yang jika anda perdana menteri, ia seperti anda ada kad kredit tanpa had. Anda boleh beli apa saja," katanya lagi.

Bertentangan dengan tanggapan umum, katanya lagi, peletakan jawatan sejumlah pemimpin Umno mutakhir ini bukanlah tanda kelemahan pada perdana menteri, tetapi sebenarnya memberi lebih kuasa kepadanya.
Chin berkata, Muhyiddin kini memiliki lebih banyak yang boleh ditawarkan, yang boleh digunakan untuk mendapatkan sokongan ahli parlimen lain.

"Itu juga sebab dia melantik bekas menteri besar Perak (Ahmad Faizal Azumu) sebagai penasihat khas bertaraf menteri.

"Dia menghantar isyarat yang jika anda setia kepadanya, anda boleh jadi menteri, walaupun tidak secara langsung.

"Dan dengan peletakan jawatan dua menteri Umno, dia boleh tawarkan jawatan itu kepada orang lain," katanya lagi.

Chin berkata lagi, akan timbul satu lagi isu jika Muhyiddin tewas dalam undi percaya nanti.

Dia membangkitkan pembangkang yang masih tidak mencapai persetujuan dalam soal calon perdana menteri untuk menggantikan Muhyiddin.

"Apabila Muhyiddin tewas, speaker akan minta calon pengganti, sesiapa saja di Dewan Rakyat boleh mencalonkannya.

"Malah Dr Mahathir Mohamad, atau anaknya boleh mencalonkannya, atau ada yang kata Tengku Razaleigh Hamzah. Ia terbuka kepada sesiapa saja," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Wednesday, August 4, 2021

PM tiba di Istana Negara untuk menghadap Agong

FMT Reporters
-August 4, 2021 11:16 AM


PETALING JAYA:
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pagi ini.

Bernama TV melaporkan kenderaan yang membawa perdana menteri dilihat memasuki Pintu 1, Istana Negara pada pukul 10:53 pagi tadi.

BERITA LANJUT MENYUSUL

Tuesday, August 3, 2021

TPM, menteri kanan berkumpul di rumah Muhyiddin

malaysiakini.com
Diterbitkan 3 Aug 2021, 10:16 pm

Beberapa jam selepas sejumlah ahli parlimen Umno menyatakan pendirian mereka untuk tidak lagi menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, kediaman presiden Bersatu itu dikunjungi sejumlah tokoh berprofil tinggi.

Terletak di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, tinjauan Malaysiakini mendapati antara individu yang datang ke situ termasuklah Naib Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Turut dilihat ialah kenderaan membawa Peguam Negara Idrus Harun.

Pemimpin lain ialah Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Tidak ketinggalan Menteri Pendidikan merangkap Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita Bersatu Rina Harun, Presiden MIC SA Vignewswaran and Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Pertemuan lewat malam itu diadakan selepas Presiden Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan dia sudah menyerahkan bukti kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai kedudukan Muhyiddin yang didakwanya tidak lagi mendapat sokongan majoriti di parlimen.

Petang tadi Ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah, menjadi anggota kabinet pertama menyahut gesaan Umno agar melepaskan jawatan daripada kerajaan seperti diputuskan parti.

[Laporan lanjut menyusul]

Monday, August 2, 2021

ULASAN | Dilema yang terus menekan Umno

malaysiakini.com

Haspaizi Zain
Diterbitkan 2 Aug 2021, 8:24 am
Dikemaskini 8:24 am


ULASAN | Umno berada dalam situasai sukar ketika ini. Situasai yang mungkin tidak pernah berlaku dalam sejarah parti itu menunjangi kerajaan lebih 60 tahun, sehinggalah BN tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Menjadi sejarah apabila Umno dipimpin oleh presiden yang tidak mempunyai kuasa dalam kerajaan ataupun dengan kata lain presiden Umno bukan perdana menteri.

Berbanding situasai sebelum ini, Umno mudah membuat keputusan dan segala keputusan yang diumumkan presiden pasti akan diikuti tanpa bantahan oleh kepimpinan lain sehingga ke akar umbi.

Pemimpin veteran Umno, Shahrir Samad sendiri mengakui Umno kini berada dalam krisis kepimpinan yang menggocang parti.

Dalam satu hantaran di Facebooknya, Shahrir berkata perpecahan dalam Umno, BN tidak dapat diselindung lagi, bahkan perkara itu tidak dapat dibaiki dalam masa terdekat ini, melainkan Umno, BN kembali berkuasa.

Ya, perpecahan dalam Umno, BN tidak boleh dinafikan lagi. Ia bukan lagi rahsia, bahkan diketahui umum.

Apa yang dibangkitkan Shahrir itu ada asasnya. Sudah beberapa kali keputusan yang diumumkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sekadar angin lalu dan "dilanggar" begitu saja panglima politik 'derhaka' dalam Umno.

Suara presiden Umno bagaikan tiada nilai apabila keputusan parti yang diumumkannya tidak diendahkan sesetengah pemimpin Umno lain.

Misalnya, keputusan Umno menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, tiada seorang pun pemimpin Umno dalam kerajaan yang menyahut seruan berkenaan.

Bahkan "kluster menteri" terus kekal menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri. Tiada seorang pun yang menarik sokongan selaras dengan arah parti.

Begitu juga ketika 'konflik' Istana Negara dengan Putrajaya berhubung isu pembatalan ordinan darurat. Zahid mengarahkan pemimpin parti supaya berpegang dengan ketetapan parti menolak Muhyiddin, namun semua itu tidak berlaku.

Jangan pandang sepi langkah Muhyiddin

Bukan saja keputusan parti tidak diendahkan dengan alasan setiap ahli parlimen BN berhak buat keputusan sendiri, bahkan lebih daripada itu rakaman suara mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang hangat juga tular sehingga ia bukan lagi menjadi kerahsiaan parti.

Kepimpinan Zahid dicabar secara tidak langsung oleh segelintir pemimpin BN. Bahkan keputusan besar Umno yang diumumkan Zahid bagaikan tiada apa-apa makna.

Keputusan Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin tidak memberi kesan kepada kerajaan dan Muhyiddin terus kekal menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Usaha Umno untuk "checkmate" Muhyiddin masih belum berhasil sehingga kini. Kepimpinan Umno dlihat agak berkecamuk bahkan kadang kala ada dua keputusan dan pendirian berbeza.

Pun begitu, dalam keghairahan Umno mengatur strategi, keupayaan Muhyiddin dan jenteranya tidak harus dipandang sepi.

Keupayaan Muhyiddin dan gerombolannya menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus dijadikan teladan. Bagaimana mereka berupaya menarik "katak" melompat parti harus diberi perhatian.

Tidak mustahil ketika mana kerajaan PN dikatakan goyang dan bakal tumbang, Muhyiddin berjaya memperkukuhkan kembali kedudukannya dalam tempoh penangguhan sidang Parlimen ini.

HASPAIZI ZAIN merupakan pengamal media.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Monday, January 25, 2021

Hishammuddin bakal ambil alih kepimpinan UMNO?

mykmu.net
January 25, 2021


MENTERI Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memang kelihatan tidak banyak bercakap soal parti yang beliau masih menjadi ahli iaitu UMNO.

Melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden, dan tidak bertanding apa-apa jawatan pada pemilihan UMNO yang lalu, pada satu ketika Ahli Parlimen Sembrong itu dilihat mahu mengorak langkah menyeberang ke PKR.

Selepas itu, beliau dikatakan akan menyertai Bersatu kerana kebetulan dilantik sebagai menteri dalam kerajaan pimpinan Bersatu diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiap kali khabar angin seperti bertiup Hishammuddin tampil menjelaskan bahawa beliau akan tetap kekal dengan UMNO.

Namun kebelakangan ini beliau mula menyuarakan pandangan tentang UMNO. Pada 6 Januari lalu, Ketua Bahagian UMNO bahagian Sembrong itu melontarkan pertanyaan kepada pucuk pimpinan parti mengenai apa sebenarnya hala tuju dan kemahuan parti itu susulan polemik politik terbaru yang timbul kebelakangan ini.

Pada beliau dalam membentuk kerjasama politik, UMNO harus mempunyai hala tuju, objektif dan sebab yang jelas dalam merancang jalan ke hadapan parti.

Katanya, apa juga pertimbangan yang dibuat tidak boleh bersandarkan emosi dan kesan jangka pendek. Keputusan yang bakal dibuat parti akan menentukan jatuh bangunnya UMNO dan bakal memberi kesan kepada nilai dan asas perjuangan serta kedudukan parti dalam pilihan raya yang akan datang.

Adakah ini menunjukkan bahawa Hishammuddin sudah berani untuk menetapkan hala tuju parti yang membawa UMNO kepada satu arah yang baharu.

Ramai tahu dan bukan lagi rahsia bahawa UMNO kini berpecah kepada sekurang-kurangnya tiga kumpulan.

Iaitu kumpulan yang berada dalam kerajaan bersama Bersatu, kumpulan yang menentang kerjasama dengan Bersatu dan kumpulan atas pagar.

Dikatakan bahawa Hishammuddin kini sudah bersedia untuk memimpin kumpulan yang kini berada dalam kerajaan bersama Bersatu untuk memimpin UMNO ke level seterusnya sebagai persediaannya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

Ada angin-angin bertiup mengatakan bekas Naib Presiden UMNO itu akan bertanding kerusi presiden pada pemilihan akan datang. Jika itu menjadi kenyataan ia bukan satu masalah kerana UMNO kini berada di peringkat paling lemah dalam sejarah kewujudannya.

Apabila parti lemah ia sudah tentu menuntut perubahan pucuk pimpinan dan salah seorang yang dikatakan akan mencabar kedudukan itu ialah Hishammuddin.

Persoalannya ialah siapa yang bakal menjadi gandingan beliau?

Sudah tentulah mereka yang berada dalam kerajaan sekarang dan yang berada dalam senarai teratas ialah Datuk Seri Ismail, Sabri Yaakob, Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Annuar Musa.

Adakah nama-nama ini bakal membentuk gandingan baharu untuk memimpin UMNO dengan diketuai Hishammuddin? Kenapa tidak? Ini bukan sesuatu yang mustahil. Dalam keadaan lemau sekarang UMNO sudah tentu memerlukan gandingan kepimimpinan yang baharu.

Mungkin Hishammuddin adalah jawapannya. 

SM

Sunday, January 24, 2021

Grand Design rancang Annuar Musa presiden Bersatu, Hishammudin presiden Umno?

Oleh MALAYSIA DATELINE
January 24, 2021
Annuar disusun agar menjadi presiden Bersatu manakala Hishammudin pula presiden Umno.

Percayakah anda kalau dikatakan usaha sedang dibuat agar Tan Sri Annuar Musa boleh mengambilalih jawatan presiden Bersatu dari Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kumpulan yang sama juga dikatakan sedang mengusahakan agar Datuk Seri Hishammudin Husein mengambilalih jawatan presiden Umno dari Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut satu dokumen grand design yang kini tersebar, Annuar Musa menjadi pilihan untuk menjadi presiden Umno kerana hanya beliau mampu mengawal ‘middle ground’ dalam parti itu.

Bagaimanapun belum ada mana-mana pihak yang mengesahkan dokumen ini. Menurut satu sumber, inilah plan awal yang dibuat menjelang darurat. Namun setelah pelan ini terdedah, darurat telah dipohon.

“Azmin, Hamzah dan Feizal tidak boleh mengawal ‘mindle ground’ dalam Bersatu,” menurut dokumen itu.

Untuk membolehkan Hishammudin mengawal Umno pula, Tan Sri Muhyiddin dikatakan akan membantu usaha itu.

Ini termasuklah merancang agar Hishammuddin dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Selepas Annuar dan Hishammuddin mengawal Bersatu dan Umno, kedua-duanya akan mengawal pergerakan Pas pula, kata dokumen itu.

Dalam masa yang sama, kedua-dua mereka “akan memastikan keselamatan untuk Muhyiddin dan keluarganya.”

Percaya atau tidak inilah yang sedang diusahakan oleh apa yang dinamakan Geng C5 yang dianggotai oleh lima tokoh utama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut dokumen itu, darurat yang bermula bulan ini (Januari) adalah sebahagian dari grand design itu.

Dokumen itu menjelaskan, darurat bertujuan untuk mengelakkan sidang Parlimen yang boleh menjatuhkan kerajaan PN.

Dalam bulan Januari juga, telah dirancang serangan dibuat ke atas Zahid.

Ia akan dilakukan oleh Annuar Musa dan juga Datuk Seri Azmin Ali, bekas timbalan Presiden PKR yang belot.

Ia termasuklah mengeluarkan ’30 dalil kenapa Zahid perlu meletakkan jawatan sebagai presiden Umno’.

“Bermula bulan Februari ini, grand desing ini merancang untuk mengawal Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan seterusnya mengeluarkan Zahid dari Presiden Umno.

Bermula April pula, ketika Umno mengadakan pemilihan parti, tokoh-tokoh penting akan dilantik untuk memegang jawatan parti itu.

Friday, January 22, 2021

Cuma segelintir ahli PKR Gombak masuk Bersatu - Nik Nazmi

malaysiakini.com
Martin Vengadesan
Diterbitkan 22 Jan 2021, 10:16 am

Pemimpin PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berpendapat tindakan beberapa anggota PKR Gombak menyertai Bersatu sebagai hanya membabitkan kumplan minoriti.

Merujuk kepada hantaran Facebook Hilman Idham, Ahli Parlimen Setiawangsa itu bahkan berkata keanggotaan PKR menunjukkan pertambahan ketara sejak insiden Langkah Sheraton berlaku pada akhir Feb tahun lalu.

Untuk rekod Gombak merupakan kawasan parlimen yang diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali. Sebelum Langkah Sheraton Azmin merupakan timbalan presiden PKR, manakala Hilman dianggap penyokong setianya.

Kedua-dua mereka kemudian meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu.

Bercakap kepada Malaysiakini Nik Nazmi berkata semua ahli parti PKR yang percaya dengan konsep berbilang kaum dan mahukan pembaharuan akan tetap setia dengan parti itu.

"Ini berlaku terutama untuk anggota bukan Melayu yang tidak boleh menerima Bersatu," katanya.

Semalam, Hilman mengumumkan naib ketua cabang PKR Gombak Dave Lee Kean Aun serta beberapa pimpinan kaum Cina meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu.

“Saudara Dave Lee Kean Aun, naib ketua cabang PKR Gombak bersama pimpinan masyarakat Cina malam ini bertekad melakukan langkah kanan menyertai Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) Gombak.

“Bersatu dan PN Gombak juga mengalu-alukan penyertaan saudara Dave Lee dan rakan-rakan untuk memperkukuhkan gerak kerja menyantuni rakyat di Parlimen Gombak.

“Semoga khidmat kepada masyarakat akan terus digembleng dengan lebih utuh dan progresif,” kata Adun Gombak Setia itu.

Bersatu awalnya ditubuhkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bersama Muhyiddin Yassin dengan keanggotaannya hanya untuk orang Melayu dan bumiputera.

Ia kemudian membuka keahlian untuk kaum lain selepas berlakunya Langkah Sheraton. Sejak itu ia disertai oleh Ahli Parlimen Segamat, Edmund Sathara, sebagai ahli bersekutu.

Santhara juga dilantik menjadi timbalan menteri Wilayah Persekutuan oleh Muhyiddin.

Dua bulan lalu, pada perhimpunan agung tahunan yang ketiganya, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin mengumumkan bahawa parti itu sebulat suara meluluskan cadangan melebarkan sayap baru - ahli bersekutu untuk bukan Melayu dan bukan Bumiputera.

Sementara itu Ahli Parlimen Tan Yee Kew juga enggan memberikan perhatian besar kepada pengumuman dibuat Hilman itu.

"Siapa Dave Lee tu? Saya tak pernah dengar nama dia sebelum ini," katanya.

Ahli parlimen PKR itu juga berkata dalam politik memang ada ramai yang suka mengambil kesempatan.

"Justeru lebih cepat mereka meninggalkan parti, lebih baik. Sekarang PKR Gombak boleh beri perhatian untuk kembali mengukuhkan parti di situ," katanya.

Najib perlu nafi terlibat agenda nak jatuhkan PM - Pemimpin Bersatu

malaysiakini.com
Diterbitkan 21 Jan 2021, 10:49 pm

Bekas perdana menteri Najib Razak "perlu berlaku jujur" apabila mempersoalkan kenapa darurat di Malaysia melibatkan penggantungan Parlimen, bidas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu Hashim Suboh.

"Berhentilah berpura-pura tidak tahu, terus membaling batu sambil menyembunyikan tangan.

"Beri tahu rakyat Malaysia di negara manakah ada ahli-ahli parlimen yang 'gila' nak menjatuhkan PM dan kerajaan sendiri 'segila' sebilangan ahli-ahli parlimen di Malaysia tanpa mengira waktu," soal Hashim pada hantaran di media sosial hari ini.

Hashim mengulas 'cabaran' Najib kepada Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam yang meminta menteri kewangan menamakan sebuah negara dalam dunia yang menggantung parlimen atas alasan mahu menghadapi Covid-19.

"Perlu jujur, bro. Rugilah negara-negara lain tak gantung parlimen jika benar bahawa langkah ini boleh kuatkan ekonomi," kata Najib.

Dalam pada itu, Hashim menyoal sekiranya Najib terbabit dalam usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu itu.
"Sejujurnya, bolehkah Dato Seri (Najib Razak) menafikan penglibatan Dato Seri dalam sebahagian agenda untuk menjatuhkan perdana menteri ketika kerajaan sedang fokus berdepan dengan pandemik Covid-19 ini?

"Apakah rasional untuk memaksa peralihan kerajaan atau pilihan raya umum diadakan ketika Covid-19 ini sedang menggila?

"Saya yakin Dato Seri juga tidak berlaku jujur kepada rakyat dan negara pada ketika ini," dakwa pemimpin Bersatu itu.

Pada 12 Jan lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung pandemik Covid-19 di negara ini.

Kata Najib semalam, Malaysia satu-satunya negara dalam dunia menggunakan alasan Covid untuk gantung parlimen.

"Senang sahaja, Tengku Zafrul. Namakan satu negara lain dalam dunia yang gantung parlimen (bukan tunda sesi parlimen) selama tujuj bulan," kata bekas perdana menteri lagi.

Sebelum darurat, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 9 Jan mengesahkan majlis tertinggi (MT) parti itu baru-baru ini bersetuju pada dasarnya untuk menamatkan kerjasama mereka dengan Bersatu.
Pendirian itu, kata Zahid akan dimuktamadkan dalam perhimpunan agung Umno (PAU) pada 31 Jan ini.

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 189 daripada 191 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU ke-15 dan usul ini bakal dibahas pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang mana sebelum proklamasi darurat dijadual bakal berlangsung hujung Jan ini.

Setiausaha agung BN yang disingkir, Annuar Musa kemudian menyangkal angka itu dan mendakwa berdasarkan maklumat yang diterimanya, hanya 99 bahagian yang membuat keputusan itu.

Bagaimanapun, dengan pelaksanaan darurat dan PKP, PAU ditunda ke satu tarikh lain dan ini menangguhkan pendirian Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

Pada 12 Jan lalu, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Nazri Aziz menjadi ahli parlimen terbaru menarik sokongannya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Nazri mengikut jejak langkah dua ahli parlimen Umno MP Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, dan MP Machang Ahmad Jazlan Yakob yang dilapor menarik sokongan terhadap PN.

Nazri hari ini mempertahankan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang mengutus surat menggesa ahli parlimen parti itu mendesak agar sidang khas parlimen diadakan.

Kata Nazri ketika ini negara ditadbir oleh kerajaan minoriti. Justeru katanya segala keputusan yang dibuat parti perlu dipatuhi semua ahli parlimen Umno dan BN.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-