Diterbitkan: Aug 15, 2022 7:04 PM
Permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mengemukakan bukti baharu dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd adalah taktik untuk melengahkan perjalanan dan pengakhiran kes itu, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Ad Hoc Datuk VSithambaram berhujah bahawa permohonan itu difailkan untuk memanjangkan prosiding kes SRC bagi tujuan kolateral kerana bukti kumulatif yang ingin dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu boleh didapati oleh beliau semasa perbicaraan dan dalam apa jua keadaan, adalah tidak relevan dengan rayuan di hadapan Mahkamah Persekutuan.
“Selain itu, tiada bukti konflik kepentingan di pihak Hakim Mohd Nazlan pada perbicaraan SRC seperti yang didakwa oleh pemohon (Najib). Pemohon telah membuat dakwaan berniat jahat dan semberono terhadap hakim itu, yang tidak dapat membela dirinya secara peribadi daripada kesemua dakwaan palsu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membantah usul Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC agar ia dibicarakan semula pada pendengaran rayuan terakhir kes itu di hadapan panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Sithambaram juga berkata permohonan Najib adalah berdasarkan apa yang didakwa dimaklumkan oleh beberapa individu tertentu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), justeru Mahkamah Persekutuan harus menolaknya kerana afidavit sokongan Ahli Parlimen Pekan itu adalah berdasarkan keterangan dengar cakap.
“Afidavit Najib menunjukkan bahawa individu terbabit tidak memberitahu beliau secara peribadi apa yang mereka maklum kepada SPRM. Kenyataan mereka adalah semata-mata dengar cakap.

Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan, yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan), menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap pertuduhan pecah amanah jenayah (tiga pertuduhan) serta pengubahan wang haram (tiga pertuduhan) dan 12 tahun penjara serta denda RM210 juta bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan beliau.
Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun kerana hakim itu memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

- Bernama

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.