Wednesday, August 10, 2022

Rehatkan ‘kuda lama’ atau Umno ‘mati’ dalam 10 tahun, kata Nur Jazlan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 10, 2022 1:59 PM
Nur Jazlan Mohamed berkata, Umno tidak boleh terlalu bergantung harap kepada pengundi matang sedia ada, sedangkan peluang untuk meraih sokongan pengundi muda terbuka luas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno Johor berkata, parti itu harus berani merehatkan “kuda-kuda” lama, jika ia mahu kekal relevan.

Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed berkata, jika Umno tidak berubah mengikut trend semasa, ia akan “mati” dalam hati orang muda dalam tempoh 10 tahun lagi.

“Rehatkanlah lebih ramai kuda-kuda tua atau pemimpin veteran parti, terutamanya mereka yang tiada lagi hati untuk berjuang atau bersama ketetapan parti.

“Berilah pula peluang kepada calon-calon muda untuk meneruskan legasi perjuangan Umno,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mungkin ramai akan terkejut dengan kenyataannya, tetapi itulah realiti pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16) dan berharap Umno tidak dibuai cara pemikiran lama.

“Hakikatnya dunia dan lanskap politik sudah banyak berubah.

“Pengundi muda bakal mendominasi cita rasa dan pilihan selepas PRU15 dan bermula PRU16 pula, pengundi matang Umno hanya tinggal berapa kerat saja lagi,” katanya.

Nur Jazlan juga mempersoalkan sampai bila Umno mahu melihat parti lain seperti DAP, PKR dan Muda mempengaruhi golongan muda.

Katanya, Umno tidak boleh terlalu bergantung harap kepada pengundi matang sedia ada saja, sedangkan peluang untuk meraih sokongan pengundi muda terbuka luas.

“Saya menyokong penuh kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada Konvensyen Barisan Nasional Selangor bulan lalu, yang minta kepimpinan BN negeri memberi peluang kepada muka baharu dan golongan profesional sebagai calon dalam usaha merampas kembali Selangor daripada Pakatan Harapan.

“Kata Zahid, golongan ‘warlord’ BN sebagai orang politik perlu berjiwa besar untuk menerima kelompok profesional dan orang muda sebagai calon PRU15 nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-