Thursday, August 11, 2022

Skandal LCS: Mat Maslan kata tak rasa UMNO akan kalah dalam PRU-15

agendaily.com
11/08/2022
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Walaupun nama beberapa pemimpin utama UMNO sekali lagi terpalit dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS), Datuk Seri Ahmad Maslan tidak merasakan ia akan dapat menumbangkan UMNO pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) depan.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata penjelasan sudah diberikan oleh pemimpin parti itu yang sebelum ini dikaitkan dalam skandal kapal tak siap bernilai RM9.1 bilion dan yakin rakyat akan percaya dengan penerangan yang sudah diberikan berhubung isu tersebut.

“Isu LCS tidak akan menumbangkan BN kerana sudah ada penjelasan dibuat dan akan terus dibuat oleh pelbagai pihak berkaitan.

“Kita juga menyokong cadangan Pemuda UMNO supaya tubuhkan RCI, ia perlu disegerakan,” katanya dipetik laporan BH.

Skandal LCS membabitkan dana wang awam disamakan dengan skandal kewangan terbesar dunia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Malah, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga sudah dihadapkan ke mahkamah melibatkan perbicaraan rasuah berkait 1MDB dan sudah didapati bersalah atas kecurian dana SRC International Sdn Bhd.

Dalam isu LCS ini, nama Najib bersama bekas timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memegang portfolio Menteri Pertahanan sekali lagi dikaitkan dalam skandal tersebut.

Najib dan Zahid diserang pembangkang bertubi-tubi sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan mempertahankan kelulusan projek kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9.1 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menamakan Najib dan Zahid sebagai dalang dalam skandal LCS tersebut dan bakal membuat pendedahan berhubung isu tersebut satu persatu.

Rafizi mendakwa skandal LCS mempunyai persamaan dengan penyelewengan 1MDB yang pernah berlaku sebelum ini.

Dalam pada itu, laporan PAC juga mendedahkan bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar mengakui kecewa apabila segala teguran dan pendiriannya mengenai tatacara perolehan projek pembinaan LCSkepada pimpinan tertinggi sebelum ini tidak diendahkan.

Menurut Abdul Aziz, teguran melalui surat rasmi itu diberikan kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha Negara dan Perdana Menteri yang memegang jawatan pada ketika itu.

“Untuk makluman, saya telah majukan sekurang-kurangnya 10 surat teguran. Surat tidak puas hati, surat untuk memaklumkan pendirian TLDM kepada KSU sebanyak 10 surat, kepada Yang Berhormat Menteri lima surat, kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan satu surat, kepada Ketua Setiausaha Negara satu surat, dan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dua surat.

“Jadi surat-suratnya telah pun di-archive (direkodkan). It was archived (ia telah direkodkan). We archived to ensure that it will be available for reference (kami rekod untuk pastikan ia boleh dijadikan sebagai rujukan),” katanya dalam laporan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-