Friday, August 19, 2022

UMNO negeri tiada kuasa autonomi bekerjasama dengan PAS, Bersatu

agendaily.com
19/08/2022
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

UMNO tidak membenarkan mana-mana bahagiannya atau badan perhubungan negeri untuk mengadakan sebarang kerjasama politik dengan PAS mahupun Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau memberitahu UMNO negeri dan pemimpin akar umbi bahwa mereka tidak mempunyai kuasa autonomi berbuat demikian, sebaliknya perlu merujuk kepada keputusan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada Mac.

“Setakat ini kami berpegang kepada keputusan perhimpunan agung pada Mac lalu. Keputusan adalah untuk seluruh parti dan tidak terkecuali. Keputusan itu tidak diubah dan ia adalah keputusan tertinggi.

“Perhimpunan itu tidak menyebut pengecualian di mana-mana negeri,” Ahli Parlimen Pontian itu dipetik sebagai berkata dalam laporan Utusan hari ini.

UMNO, PAS dan Bersatu membentuk pakatan lemah untuk menggulingkan gabungan Pakatan Harapan (PH) namun perpecahan menyebabkan ketiga-tiga parti itu bertanding sesama sendiri dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini yang telah mengukuhkan kedudukan UMNO sebagai ketua daripada gabungan itu.

Namun, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dilaporkan menyokong untuk meneruskan kerjasama politik antara partinya dan PAS di bawah panji-panji Muafakat Nasional (MN) untuk pilihan raya umum akan datang, yang ramai percaya akan diadakan sebelum tahun ini berakhir.

Bahagian UMNO negeri lain, termasuk Pulau Pinang, dilaporkan berminat untuk menggunakan pendekatan yang sama, mengadakan kerjasama dengan PAS melalui MN.

Mengulas lanjut, Ahmad bagaimanapun percaya Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO mampu untuk menang pada PRU-15 tanpa perlu bekerjasama dengan parti lain.

Beliau memberi contoh kemenangan besar BN pada PRN Melaka dan Johor untuk menyokong dakwaannya.

Ditanya sejauh mana keyakinannya terhadap peluang BN pada PRU-15, Ahmad berkata pengundi di kedua-dua negeri itu kembali menerima BN.

“Jadi saya harap kemenangan dapat diberikan di Selangor dan juga beberapa negeri lain.

“Mengenai MN, kami langsung tidak menyentuhnya semasa PAU Mac lalu. Kami hanya berkata BN akan pergi secara solo,” katanya.

17 Ogos lalu, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Mohd Zuhdi Marzuki berkata PAS dan akar umbi UMNO untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri di 27 kerusi Parlimen pada PRU-15.

Menurutnya PAS dan akar umbi UMNO telah membincangkan perkara membabitkan kerusi berkenaan dan cadangan itu akan dimajukan kepada pucuk pimpinan kedua-dua parti, bagi mengelak kemenangan Pakatan Harapan (PH).

Katanya PAS dan UMNO perlu mencapai kata sepakat untuk mengelak pertembungan di 27 kerusi Parlimen di Semenanjung yang digelar “kerusi Muafakat Nasional (MN)”, dan jika gagal, ianya boleh menyebabkan PH kembali berkuasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-