Thursday, August 4, 2022

Zahid senarai sebab PRU15 perlu diadakan ‘seawal sedaya boleh’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 4, 2022 11:30 AM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyenaraikan tiga sebab mengapa pilihan raya umum (PRU) ke-15 mesti diadakan seawal yang mungkin.

Dia yang juga adalah pengerusi BN berkata antara sebab itu adalah kerana politik negara harus distabilkan.

“PRU perlu diadakan seawal sedaya boleh. Apabila politik stabil fokus kepada isu rakyat dapat diberikan keutamaan.

“Contoh, masih ada lagi parti Bersatu menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan walaupun tempoh pilihan raya kurang daripada setahun,” katanya dalam satu hantaran di Facebook BN hari ini.

Pemimpin Umno, khususnya mereka yang dilihat rapat dengan Zahid mula mendesak supaya pilihan raya segera diadakan selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan permohonan parti itu bagi meminda perlembagaannya untuk menangguhkan pemilihan parti itu selepas pilihan raya umum ke-15.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini membayangkan PRU15 mungkin diadakan lebih awal selepas berdepan tekanan daripada pemimpin Umno.

Dia yang juga naib residen Umno, sebelum ini berkata PRU boleh diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2023 iaitu apabila penggal ini tamat. Kerajaannya ditubuhkan dengan sokongan daripada Perikatan Nasional yang didukung oleh parti serpihan Umno, Bersatu dan PAS.

Isu perjanjian antara Bersatu dengan Ismail Sabri dijangka dibangkitkan dalam pertemuan hari ini susulan tindakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang menuntut lantikan jawatan baru termasuk jawatan timbalan perdana menteri.

Justeru, Zahid berkata Umno / BN harus dominan semula dalam kerajaan agar keputusan parti akan lebih ada tindakan segera dalam kerajaan.

“Isu pengeluaran wang KWSP adalah contoh diperlambatkan sedangkan parti sudah lama mendesak,” katanya.
Zahid juga memberi alasan bahawa PRU15 perlu segerakan bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi negara diperkasakan.

“Dasar dan tindakan lebih bersepadu diperlukan membawa negara keluar daripada ketidaktentuan ekonomi.

“Kesemua ini memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil,” katanya.

Dia berkata jika PRU15 dilambatkan, maka ini akan melambatkan ketiga-tiga perkara tersebut yang saling berkaitan antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-