Showing posts with label PRU. Show all posts
Showing posts with label PRU. Show all posts

Tuesday, February 18, 2025

PH-BN sukar menang di Malaysia Timur jika ada PRU mengejut, kata aktivis

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
17 Feb 2025, 10:03 PM

Johan Ariffin Samad berkata, rakyat Sabah dan Sarawak anggap kerajaan perpaduan melampaui batas dalam hal ehwal agama.
Ura-ura PRU mengejut timbul apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengarahkan jentera partinya digerakkan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan PRU akhir tahun ini.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mungkin berdepan cabaran di Sabah dan Sarawak jika PRU diadakan secara mengejut, kata aktivis dan pengulas politik Sabah Johan Ariffin Samad.

Beliau mengaitkan perkara ini dengan rasa tidak puas hati yang semakin menebal terhadap penglibatan kerajaan persekutuan dalam hal ehwal agama.

Menurutnya, rakyat Sabah dan Sarawak mempunyai ‘pendirian tegas’ tentang kebebasan beragama.

Perkara seperti Rang Undang-undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, contohnya, hanya menguatkan ketakutan terhadap Islamisasi, katanya.

“Umno mahu tuntut semula kerajaan bersama-sama PH, tetapi dasar agama mereka boleh menjejaskan sokongan di Sabah dan Sarawak, di mana kebebasan beragama sangat dilindungi,” katanya ahli kumpulan bekas penjawat awam kanan G25 itu dalam episod audiosiar TheGoodCastShow.

Beliau berkata, ramai rakyat Malaysia Timur menganggap penglibatan kerajaan dalam hal ehwal agama melampaui batas, dan ini sangat bercanggah dengan perjanjian 20 perkara Sabah sebelum pembentukan Malaysia.

Katanya, perkara pertama dalam perjanjian itu berkaitan dengan agama, khususnya peruntukan berkaitan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan terpakai di Sabah.

Beliau juga berkata, agama dijadikan senjata untuk kepentingan politik, menyimpang daripada nilai inklusif yang diajar di sekolah.

“Perlembagaan dengan jelas meletakkan hal ehwal agama bawah raja-raja negeri, jadi mengapa adanya campur tangan persekutuan?”

Ura-ura mengenai PRU mengejut timbul apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengarahkan jentera partinya digerakkan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan pilihan raya di seluruh negara pada akhir tahun ini.

Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali berkata, Muhyiddin mengeluarkan arahan itu berikutan ‘perkembangan yang sangat memberangsangkan’ selepas pertemuan antara pimpinan tertinggi Bersatu dan PAS pada 5 Feb.

Johan mengakui Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdepan cabaran mengimbangi tuntutan pengundi Melayu sambil memastikan keterangkuman, mengambil kira kepelbagaian rakyat Malaysia, untuk menang PRU akan datang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Malaysia milik setiap rakyatnya.

“Meraikan perayaan masing-masing, seperti Ramadan dan Krismas, memupuk perpaduan. Tiada siapa yang mahu kerajaan seperti Taliban. Umat Islam moden seperti kita rasa terkongkong, dilayan seperti kanak-kanak walaupun sudah dewasa,” katanya.

Thursday, October 13, 2022

Zahid dakwa ucapan diputar belit musuh BN

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 13, 2022 9:57 AM
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, menyalahkan musuh politik gabungan itu sebagai punca ucapannya "diputar belit" untuk mengelirukan orang ramai.

Kata Ahmad Zahid, ucapan yang disampaikannya di perhimpunan MIC baru-baru ini merujuk kepada pendakwaan politik dan terpilih.

“Ini ucapan saya pada Perhimpunan MIC yang sedang 'di-spin' (putar belit) musuh BN.

“Pada minit 2.35 dengan terang dan jelas saya menegaskan tentang pendakwaan politik dan terpilih.

“Itulah maksud saya risiko pemimpin BN jika musuh menang PRU ke-15. Musuh BN akan menyalahgunakan kuasa membuat pendakwaan politik,” tulisnya dalam hantaran di media sosial.

Semalam, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengulas ucapan Ahmad Zahid dan menyifatkan ia sebagai pengakuan "sangat jujur" bahawa kepimpinan BN mahukan pilihan raya segera diadakan bagi menyelamatkan "kluster mahkamah".

Ahmad Zahid pada sama memberi amaran supaya orang ramai berhati-hati dengan "politik putar belit" daripada musuh BN yang didakwanya menjadi alat memenangkan mereka pada PRU yang lalu.

“Sememangnya itulah hakikat sebenarnya menunjukkan sikap yang ada pada diri dan cara mereka sejak azali.

“Kekeliruan dengan mengelirukan yang akhirnya merantai dosa fitnah yang tidak pernah berkesudahan,” katanya.

Thursday, August 4, 2022

Zahid senarai sebab PRU15 perlu diadakan ‘seawal sedaya boleh’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 4, 2022 11:30 AM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyenaraikan tiga sebab mengapa pilihan raya umum (PRU) ke-15 mesti diadakan seawal yang mungkin.

Dia yang juga adalah pengerusi BN berkata antara sebab itu adalah kerana politik negara harus distabilkan.

“PRU perlu diadakan seawal sedaya boleh. Apabila politik stabil fokus kepada isu rakyat dapat diberikan keutamaan.

“Contoh, masih ada lagi parti Bersatu menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan walaupun tempoh pilihan raya kurang daripada setahun,” katanya dalam satu hantaran di Facebook BN hari ini.

Pemimpin Umno, khususnya mereka yang dilihat rapat dengan Zahid mula mendesak supaya pilihan raya segera diadakan selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan permohonan parti itu bagi meminda perlembagaannya untuk menangguhkan pemilihan parti itu selepas pilihan raya umum ke-15.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini membayangkan PRU15 mungkin diadakan lebih awal selepas berdepan tekanan daripada pemimpin Umno.

Dia yang juga naib residen Umno, sebelum ini berkata PRU boleh diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2023 iaitu apabila penggal ini tamat. Kerajaannya ditubuhkan dengan sokongan daripada Perikatan Nasional yang didukung oleh parti serpihan Umno, Bersatu dan PAS.

Isu perjanjian antara Bersatu dengan Ismail Sabri dijangka dibangkitkan dalam pertemuan hari ini susulan tindakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang menuntut lantikan jawatan baru termasuk jawatan timbalan perdana menteri.

Justeru, Zahid berkata Umno / BN harus dominan semula dalam kerajaan agar keputusan parti akan lebih ada tindakan segera dalam kerajaan.

“Isu pengeluaran wang KWSP adalah contoh diperlambatkan sedangkan parti sudah lama mendesak,” katanya.
Zahid juga memberi alasan bahawa PRU15 perlu segerakan bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi negara diperkasakan.

“Dasar dan tindakan lebih bersepadu diperlukan membawa negara keluar daripada ketidaktentuan ekonomi.

“Kesemua ini memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil,” katanya.

Dia berkata jika PRU15 dilambatkan, maka ini akan melambatkan ketiga-tiga perkara tersebut yang saling berkaitan antara satu sama lain.

Friday, July 1, 2022

UMNO perlu buat pemilihan, Nazri, pakar beritahu sebab-sebabnya

agendaily.com
1/7/2022
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Nazri Aziz.

UMNO mempunyai enam bulan untuk mengadakan pemilihannya melainkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membenarkan parti itu meminda perlembagaannya.

Pada Jun tahun lalu, UMNO dibenarkan menangguhkan pengundiannya selama 18 bulan sehingga 29 Disember tahun ini susulan pandemik Covid-19.

Sementara, pada 15 Mei pula, Perhimpunan Agung Khas UMNO melibatkan 2,586 perwakilan dari 192 bahagian sebulat suara meluluskan resolusi untuk meminda perlembagaan parti dengan RoS mesti meluluskan pindaan itu.

Pindaan itu membolehkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO diberi dua pilihan di bawah Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti, atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.

Jika usaha UMNO untuk meminda perlembagaannya bagi membolehkan pemilihan dalaman diadakan selepas PRU akan datang diluluskan, barisan pemimpin semasa akan kekal.

Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz berkata penolakan RoS baru-baru ini terhadap permohonan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menangguhkan pemilihannya, menunjukkan nasib yang sama mungkin menimpa UMNO.

“Menurut undang-undang, penggal tiga tahun MT berakhir pada Jun 2021, yang bermakna pemilihan sepatutnya diadakan tahun lepas.

“Tetapi UMNO diberi tempoh 18 bulan dan tarikh tamat pada Disember ini. Sekarang, kita minta penangguhan lagi. Jika permohonan Warisan ditolak, saya tidak nampak sebab UMNO akan terkecuali,” katanya menurut NST.

Nazri, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang) berkata memandangkan barisan sekarang adalah seperti kepimpinan ‘penjaga’, MT UMNO tidak mempunyai kuasa membuat keputusan substantif, seperti meminda perlembagaan parti.

“Ia kerana tempoh mereka (sebagai ahli MT) telah tamat. Tetapi okey, kita anggap mereka ada kuasa. Maka ini bermakna keputusan (untuk menangguhkan pemilihan) adalah untuk barisan pada masa hadapan dan tidak terpakai kepada barisan semasa.”

NST turut memetik pakar undang-undang Perlembagaan Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod sebagai berkata memandangkan permohonan UMNO untuk menangguhkan pemilihannya diluluskan oleh RoS, parti itu mungkin akan mendapat berita baik sekali lagi.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan pandangan Nazri bahawa UMNO kini dipimpin oleh kepimpinan sementara.

Menurutnya memandangkan tidak ada sebutan dalam perlembagaan UMNO mengenai kuasa pemimpin sementara untuk memindanya, RoS boleh mentafsirkannya dengan cara sama ada.

“Tiada apa-apa dalam perlembagaan (UMNO) yang mengatakan penjaga boleh atau tidak boleh meluluskan pindaan kepada perlembagaannya, bermakna ianya boleh ditafsirkan kedua-dua cara.

“Oleh itu, terpulang kepada RoS bagaimana ia mahu mentafsirnya. RoS mungkin mentafsirnya pindaan yang dikemukakan hanya akan terpakai untuk barisan seterusnya, yang dalam kes ini undian (mesti diadakan pada Disember).

“Jika pindaan itu dilaksanakan segera, maka ia boleh digunakan untuk masa sekarang (kepimpinan), jadi tidak perlu (untuk pemilihan parti tahun ini).

“Ini, dari satu segi, adalah seperti cubaan untuk lanjutan. Jika RoS mengambil kira perkara ini, kita perlu melihat sama ada pindaan yang dikemukakan adalah selaras dengan undang-undang,” kata Nik Ahmad.

Nazri pula melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan UMNO akan dibubarkan jika berdegil menunggu keputusan daripada RoS yang belum tentu menguntungkannya.

Nazri yang berpengalaman sebagai peguam berkata dengan mengambil kira peraturan RoS, UMNO mungkin berdepan pembubaran jika gagal mengadakan pemilihannya sebelum tarikh akhir 29 Disember depan.

“Saya percaya mereka (ahli MT) telah dinasihati secara salah oleh peguam mereka, memikirkan mereka boleh terlepas.

“Pindaan baharu adalah untuk barisan kepimpinan masa depan dan ini seperti menipu, cuma (alasan) untuk mendapatkan lanjutan untuk presiden memegang jawatan,” katanya merujuk kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang ketika ini menghadapi pelbagai pertuduhan jenayah rasuah.

RoS masih belum memutuskan permohonan UMNO untuk meminda perlembagaannya, tetapi Setiausaha Agung parti Datuk Seri Ahmad Maslan yakin parti itu akan mendapat keputusan yang baik.

Monday, March 21, 2022

UMNO tidak mahu sambung MoU, pembangkang pula ancam tamatkan

agendaily.com
21/3/2022
Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimerterai antara pembangkang dengan kerajaan pada 13 September 2021.

Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang mampu menstabilkan politik negara, sekali gus mendorong pemulihan ekonomi, sesetengah pihak membuat tuntutan yang boleh mengancam MoU itu.

Ancaman itu bukan sahaja datang daripada pembangkang, sebaliknya dalam kalangan pemimpin parti yang menerajui kerajaan sendiri – UMNO.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak ada sebab Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) kerajaan dan pembangkang perlu diteruskan selepas 31 Julai ini.

Katanya UMNO perlu memahami apakah sebenarnya CSA yang dimaksudkan itu supaya sebarang langkah yang akan diambil kerajaan adalah sesuatu yang perlu.

“Saya ada terserempak dengan beberapa pemimpin pembangkang yang memaklumkan bahawa CSA itu hanya satu kerjasama yang mereka berikan kepada kerajaan bagi meluluskan akta-akta berkaitan kewangan, bukan yang lain.

“Jadi kerajaan kadang-kadang dalam kita nak melaksanakan sesuatu ia tak semestinya bersifat populis… kita kena lakukan sesuatu perkara itu kerana kita rasa bahawa ia amat tepat untuk memastikan kejayaan negara.

“Tapi kalau kita ada perjanjian dengan pembangkang, mungkin banyak perkara kita tak boleh buat. Lagipun, kita dulu ada kerjasama dengan pembangkang kerana keadaan kita berhadapan dengan cabaran Covid.

“Jadi keutamaan kita ialah untuk pastikan tidak ada ganggu-gugat. Itu sebabnya ia berkisar pada soal Akta Kewangan dan mana-mana akta yang akan membantu negara berjaya berhadapan dengan wabak Covid. Itu sebenarnya yang saya dimaklumkan,” katanya.

Khaled bagaimanapun berpendapat perjanjian itu tidak perlu diteruskan sekiranya ia boleh menjejaskan negara dan parti pemerintah, khususnya UMNO sendiri.

Mengulas berhubung Pilihan Raya Umum (PRU) beliau berkata kerajaan tidak tertakluk untuk berbincang soal pilihan raya dengan pembangkang.

Sementara itu, bekas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak akan teragak-agak untuk membatalkan MoU yang dimeterai bersama kerajaan jika Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti tidak diluluskan di Parlimen.

Guan Eng berkata, pihaknya akan bersemuka dengan Perdana Menteri bagi mendapatkan penjelasan berkenaan MoU tersebut pada minggu hadapan.

“Kita perlu jernihkan di sini. Kalau ini tidak diluluskan, saya rasa akan tamatkan MoU melainkan ada beberapa penjelasan terlebih dahulu. Apa pun, kita dapatkan penjelasan dan Perdana Menteri bersetuju bertemu kami minggu depan dan ini bagi mendapatkan penerangan beliau.

“Kami mahu bincang hal ini sebab dalam aturan (urusan mesyuarat Dewan Rakyat) esok, pindaan Perlembagaan akan dibentangkan untuk bacaan pertama,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Semalam, Ismail Sabri berkata beliau mendapati walaupun terdapat perbezaan pandangan pembangkang tidak terlalu emosional dan mereka menyokong kerajaan dalam sidang Parlimen.

“Keadaan politik stabil ketika ini, sebab itu kita yakin lebih banyak pelaburan luar akan masuk ke Malaysia, cuma ramai yang minta diadakan pilihan raya lebih awal. Kita risau juga jika pilihan raya lebih awal, kestabilan mungkin tidak dapat dikekalkan.

“Alhamdulillah, politik kita stabil. Bolehlah balik Malaysia,” katanya pada majlis perjumpaan bersama Keluarga Malaysia di sini sempena lawatan rasmi beliau ke Vietnam selama dua hari bermula semalam.

Sunday, March 13, 2022

PM: Tak boleh bubar parlimen sebab desakan kumpulan kecil

malaysiakini.com
NS Ramli
Diterbitkan: Mar 13, 2022 1:54 PM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menegaskan keputusan untuk membubarkan Parlimen tidak perlu dipengaruhi kumpulan kecil yang mendesak pilihan raya umum (PRU) segera diadakan.

Sambil mengulangi pendiriannya sebelum ini, Ismail yang juga Naib Presiden Umno berkata, PRU hanya boleh diadakan sebaik sahaja semua pihak sudah bersedia.

"Tak tahu lagi (tarikh PRU) sebab seperti yang kita tahu dan saya dah sebut beberapa kali dalam ucapan, apabila kita sudah bersedia dan pilihan raya boleh diadakan, tapi perlu bersedialah.

"Soal bersedia atau tidak bersedia, kita akan bincang dan banyak perkara lain perlu kita tengok, tidak bolehlah disebabkan dalam satu kumpulan kecil terjerit-jerit nak pilihan raya, kita buat pilihan raya," katanya dalam sidang media selepas Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Bera, Pahang hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Zailani Hashim.

Semalam, Ismail disambut dengan laungan 'bubar Parlimen' oleh penyokong dan ahli Umno ketika tiba di ibu pejabat Umno Johor, selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan dua pertiga.
Ismail Sabri yang diiringi pengawal keselamatan bagaimanapun dilihat sekadar tunduk membisu, tanpa memberikan sebarang perhatian terhadap kumpulan terbabit.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, dia berkata keputusan membubarkan parlimen adalah perkara besar dan perlu dibincangkan dengan serius dalam parti.

"Ini perkara yang besar, jadi parti akan bincang dan buat keputusan dan selepas itu beberapa perkara lain juga akan dilihat seperti prosedur, saya perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong, kena mendapatkan nasihat dan perkenan.. jadi kita tunggulah, masa yang sesuai," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan dikemukakan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke pada 10 Feb lalu supaya melanjutkan memorandum persefahaman (MoU) antara gabungan pembangkang dan kerajaan yang berakhir 31 Jul ini, Ismail berkata perkara itu juga akan diteliti.

"Cadangan DAP untuk MoU itu juga kita akan ambil kira, yang pentingnya, kepentingan rakyat kita kena jaga, sebab itu saya katakan tadi, belum sampai masa untuk pilihan raya umum, kita tungggulah," katanya.

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Ismail Sabri pada 13 Sept tahun lalu bagi mengembalikan kestabilan politik susulan pertukaran kerajaan pada Ogos tahun itu.

Antara intipati dipersetujui adalah kerajaan tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai tahun ini, selain melaksanakan beberapa pembaharuan bagi memperkasakan sistem demokrasi negara.

Monday, February 14, 2022

Golongan belia mampu ubah lanskap politik negara Politik

suaramerdeka.com.my
Home/Politik
/
DAHULU apabila genap usia 21 tahun, sebagai warganegara Malaysia, kita digalakkan mendaftar sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kita menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat negara ini apabila tiba Pilihan Raya Umum (PRU).

Kesedaran itu amat perlu kerana sejak merdeka, negara ini diwarisi oleh generasi seterusnya dan hari ini, Wira Bahagian Gombak PUTRA merasakan, untuk mengubah lanskap politik negara, perlu pengundi muda.

Melalui satu kenyataannya kepada SUARA MERDEKA hari ini, mereka menggesa golongan belia negara agar segera mendaftar sebagai pengundi.

Timbalan Ketua Bahagian PUTRA Gombak, Mohamed Shahrin Ismail berkata, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang diwartakan pada 8 Februari 2022 yang akan dikuatkuasakan pada 15 Disember 2022, ia membolehkan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik (PPSA) mengikut Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.

“Wira PUTRA Bahagian Gombak menggesa mana-mana individu terutama belia yang masih belum mendaftar sebagai pengundi, segeralah mendaftar,” katanya.

Kenyataannya itu disokong oleh Ketua Wira PUTRA Bahagian Gombak, Hazriq Zamali yang mana menurut beliau, kesedaran mendaftar segera sebagai pengundi adalah perlu kerana ia atas rasa tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia.

Katanya, penglibatan belia dalam pembentukan di peringkat akar umbi memberi ruang dan pengalaman seusia mereka yang cenderung dalam berfikiran positif dan pasif.

“Sewajarnya peluang yang diberikan perlulah diambil untuk mereka mempamerkan pandangan dan kehendak di samping menambah ilmu kepimpinan cerminan masa hadapan,” katanya.

Mohamed Shahrin berkata, PUTRA memberi peluang kepada generasi muda mendalami dan memahami politik untuk bersama-sama dalam kepimpinan serta mewujudkan kerjasama dengan golongan belia agar menjadikan Malaysia sebagai negara yan g kembali dihormati di mata dunia.

Tambah beliau, belia mestilah sentiasa bersifat aktif dan proaktif dengan kehendak mereka dan ia perlulah disantuni.

“Ini kerana mereka golongan belia atau anak muda inilah yang akan mewarnai kancah politik negara pada masa depan.

“Mereka inilah yang akan memimpin serta mewakili suara golongan majoriti yang mampu membawa perubahan sekiranya mereka dipimpin dengan betul dan atas kesedaran tentang pentingnya politik Bersih dan Bermoral untuk mengurustakbir negara,” ujarnya.

Beliau berkata, golongan belia hari ini juga wajib sedar dan bangkit untuk membuat perubahan demi masa depan mereka sendiri.

Katanya lagi, terdapat penambahan 749,731 pengundi bawah 18 tahun.

“Pendaftaran automatik di Johor melibatkan 2.599 juta pengundi berdaftar SPR dan ia boleh ditingkatkan lagi sekiranya golongan belia peka dengan situasi ini,” katanya.

Beliau juga berkata, selepas mendapat perkenan Sultan Johor, SultanIbrahim Iskandar mendatangani watikah Pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) penggal ke-14 yang lalu, golongan belia akan sekali lagi diberi peluang memilih siapakah yang akan memimpin mereka.

Memetik ucapan Presiden PUTRA, Datuk Dr. Ibrahim Ali di Persidangan Agung Kali Kedua PUTRA pada 23 Januari lalu, beliau menegaskan, segala punca kegagalan demi kegagalan adalah disebabkan kepimpinan-kepimpinan politik negara termasuk penjawat-penjawat awam yang terlibat dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, pemborosan dan kegagalan penguatkuasaan undang-undang iaitu “Rule of Law “.

Selain itu, kata Ibrahim, ketiadaan iltizam politik dan kelemahan iman dalam kalangan pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh tauladan kepada rakyat.

Bukannya melahirkan pemimpin-pemimpin yang berperanan memusnahkan kepentingan dan maruah negara, kata Ibrahim. 

SM

Thursday, December 30, 2021

PAS sebenarnya sudah takut kalah dengan UMNO, kata Nur Jazlan

agendaily.com
30/12/2021

Ketua UMNO Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Rundingan yang sedang dirancang PAS adalah sebenarnya mereka takut kalah kepada UMNO dalam pilihan raya umum (PRU) nanti, kata seorang pemimpin UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu berkata langkah PAS yang mahu berunding tidak boleh dipercayai dan UMNO tidak perlu melayan sebarang usaha untuk bekerjasama dengan parti tersebut walaupun menerusi platform Muafakat Nasional (MN) sekalipun.

“Tindakan PAS mahu bincang dengan (UMNO) Kelantan kerana mereka dah mula takut dan tindakan itu hanyalah untuk mempertahankan home ground (kubu kuat).

“Selama ini pun MN adalah untuk mengelak (PAS) bertembung dengan UMNO dan mereka bimbang kalah di kubu kuat sendiri,” katanya dipetik laporan portal Malaysiakini.

Menurut Nur Jazlan lagi, PAS kini sudah ketakutan selepas melihat hasil keputusan dua pilihan raya negeri iaitu di Melaka dan Sarawak sehingga menyebabkan mereka kini terpaksa berpatah balik untuk duduk di meja rundingan dengan UMNO semula.

“Kita tak nak, tapi dia orang yang mulakan benda ini dan memang PAS tak setuju (UMNO tolak kerjasama).

“Sepatutnya PAS bincang di peringkat pusat tapi selepas kekalahan di Melaka dan Sarawak mereka juga risau kalau kalah di kubu kuat mereka seperti Kelantan,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, perbincangan tersebut juga lebih kepada kepentingan PAS, dan bukannya UMNO.

“Perbincangan itu hanya bagi mengukuhkan kedudukan PAS untuk pilihan raya akan datang.

“Presiden (UMNO) memang dah buat kenyataan bahawa PAS tak jujur. Jadi, di peringkat pusat pun saranan untuk kerjasama melalui MN ini pun dah tak wujud sebab PAS kata, kalau nak teruskan MN dia nak bersama Bersatu juga, dan UMNO dah buat keputusan untuk tidak akan bersama Bersatu,” katanya.

Tambah Nur Jazlan berdasarkan kenyataan yang dibuat pemimpin kedua-dua parti itu, bolehlah dianggap MN sebenarnya sudah gagal.

Tambah Nur Jazlan, tindakan PAS yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini juga jelas memperlihatkan bahawa parti itu memang tidak boleh dipercayai.

“Masya-Allah, memang tak boleh percaya,” katanya berulang kali.

Friday, July 2, 2021

Tajuddin sahkan kumpulan penentang mungkin tidak jadi calon PRU

agendadaily.com

Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Kumpulan penentang yang dilihat tidak sehaluan dengan Presiden bakal berdepan laluan sukar untuk dicalonkan pada pilihan raya umum (PRU) depan, ia disahkan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin memberi bayangan sekiranya kumpulan tersebut masih mengkritik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan berterusan mengguris hatinya, kemungkinan besar tiada tempat untuk mereka bertanding pada PRU nanti.

“Kalau masih nak jadi calon, nak dapatkan tempat yang ditentukan Presiden, pandai-pandailah kamu. Janganlah terus kutuk, mengancam Presiden.

“Sampai masa kamu nak jumpa dia juga. Ahmad Zahid adalah Pengerusi BN, kalau dia masih duduk situ lagi, macam mana agaknya hati dia dibuat macam ini?” kata beliau dipetik Utusan Malaysia.

Jelas Tajuddin, jawatan Presiden yang disandang Zahid semakin pasti akan kekal sehingga 2023 memandangkan pemilihan parti sudah ditangguhkan, ia akan memberinya kuasa mutlat untuk memilih mana-mana calon yang digemarinya.

“Sekarang terpulang kepada Presiden sama ada dia nak kekal sebagai Presiden sampai 2023 pun boleh, sebab apa? Dia dah diberi kuasa oleh Majlis Ter­tinggi (MT) melalui usul pemilihan parti ditangguhkan sehingga 2023.

“Kalau saya Presiden, bantai-bantai aku, siaplah kau orang,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Untuk rekod, Presiden UMNO juga akan menjadi Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang akan menandatangani watikah surat lantikan calon.

Terbaharu, muncul kumpulan penentang yang dirancang oleh seorang pemimpin senior parti, Datuk Seri Nazri Aziz yang mendedahkan beberapa isu yang terpalit dengan Zahid, terutamanya berhubung kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Nazri dikatakan mengetuai 25 Ahli Parlimen UMNO yang menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi melantik bekas naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai jurucakap mereka.

Langkah tersebut menimbulkan rasa tidak senang Zahid yang dikatakan sedang dalam usaha memuktamadkan kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Wednesday, February 24, 2021

PH tak mahu pilihanraya, hanya mahu mandat kembali

tuncarlos.com
February 24, 2021 


Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian tidak mahu pilihan raya umum (PRU) diadakan, sebaliknya mahu mandat rakyat dikembalikan.

Dalam satu kenyataan bersama, tiga setiausaha parti dalam gabungan PH mempertikai kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang sering membangkitkan isu pilihan raya.

"Amat jelas rakyat Malaysia tidak inginkan pilihan raya pada waktu ini, tetapi mahu kestabilan politik untuk menyelesai isu pandemik dan ekonomi.

"Maka PH kekal dengan pendirian bahawa pilihan raya tidak diperlukan memandangkan mandat yang diberikan rakyat pada PRU-14 adalah sah sehingga 2023.

"Yang diperlukan adalah pengembalian mandat tersebut kepada pihak yang sepatutnya, pada kadar segera," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut ditandatangani Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Amanah, Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Foke.

Kerajaan PH tumbang selepas Bersatu yang dipimpin Muhyiddin Yassin dan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bersama kumpulannya menarik sokongan terhadap PH.

Pada bulan Mac, Muhyiddin membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama dengan Umno, PAS, GPS dan parti dari Sabah.

Bagaimanapun kini kedudukan kerajaan PN menjadi pertikaian kerana dikatakan sudah hilang majoriti.

Ia susulan tiga ahli parlimen BN iaitu, Tengku Razaleigh Hamzah, Nazri Aziz dan Ahmad Jazlan Yaakub menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Apa jadi jawatankuasa darurat?

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut membincangkan isu Jawatankuasa khas bebas darurat yang telah diumum pada 12 Januari lalu.

"Senarai nama telah diberi kepada pihak kerajaan pada 21Januari lalu, iaitu lebih dua minggu yang lalu.

"Namun sehingga hari ini kami belum menerima sebarang maklum balas berkenaan pengaktifan jawatankuasa tersebut.

"Ini amat mendukacitakan kerana kami diberi gambaran bahawa jawatankuasa ini penting untuk meneliti keadaan semasa bagi membuat pengesyoran berkaitan penamatan darurat," kata kenyataan itu lagi.

-MalaysiaKini

Tuesday, January 5, 2021

'Umno korbankan keselamatan rakyat demi rebut kuasa'

malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 5:10 pm

Seramai 13 ahli parlimen pembangkang dan seorang senator membidas Umno kerana berterusan menuntut pilihan raya diadakan dalam keadaan negara mencatatkan peningkatan kes Covid-19 dan banjir buruk di beberapa negeri.

Mereka berkata negara semalam mencatatkan 1741 kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 120,818.

Sementara itu, beberapa negeri pula kini dilanda banjir buruk dan sehingga kini lebih 15,000 mangsa banjir dipindahkan.

"Peningkatan jumlah pengangguran terkini dan penyusutan pendapatan kepada banyak keluarga semasa tempoh pandemik ini semakin membimbangkan.

"Dengan mempertimbangkan semua perkara ini, kami begitu terkejut dengan permintaan berterusan oleh Umno menuntut mengadakan pilihan raya dalam keadaan seperti ini.

"Hampir tiga minggu selepas belanjawan yang sepatutnya mesra rakyat ini diluluskan, Umno mahu menggunakan pilihan raya sebagai muslihat terakhir untuk merebut lebih banyak kuasa dengan mengorbankan kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia," jelas mereka dalam kenyataan tersebut.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Darell Leiking (Penampang), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Hannah Yeoh (Segambut) Yeo Bee Yin (Bakri), Baru Bian (Selangau), Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Salahuddin Ayub (Pulai), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Teo Nie Ching (Kulai) Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Khalid Samad (Shah Alam).

Seorang lagi yang turut serta dalam kenyataan bersama itu ialah senator, Marzuki Yahya.

Mereka juga memetik ucapan bekas presiden Umno, Najib Razak yang pernah berkata "Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!".

"Rakyat Malaysia mesti menolak cita-cita jahat dan sikap mementingkan diri demi kuasa.

"Kita telah cukup banyak kehilangan masa bertahun-tahun akibat salah laku pentadbiran dan rasuah. Negara ini perlu segera dirawat dan masa untuk merawatnya adalah sekarang!" kata mereka.

Untuk rekod sebahagian pemimpin Umno kini mendesak pilihan raya umum diadakan segera ketika hubungan parti itu dengan Bersatu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin goyah.

Antaranya Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob yang memberi kata dua kepada kerajaan PN agar segera membubarkan parlimen atau dia melepaskan jawatan dalam kerajaan.

Semalam, Jazlan meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Selain itu, veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang memimpin Umno Gua Musang juga mencadangkan supaya PRU diadakan dalam suku pertama 2021 bagi menyerahkan mandat kepada rakyat.

Menurut Razaleigh sekiranya PRU tidak dapat diadakan dalam masa terdekat, ahli parlimen Umno perlu menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Thursday, June 25, 2020

Tok Mat minta PM bubar Parlimen, tamatkan ketidaktentuan politik

Oleh Saadiah Ismail
saadiah_ismail@bh.com.my

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Foto fail NSTP/Syarafiq Abd Samad

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan berikutan ketidaktentuan politik semasa.

Katanya, situasi ketidakstabilan politik yang dihadapi sekarang tidak pernah dihadapi sejak negara merdeka.

"Situasi ini menyukarkan kerajaan untuk meluluskan pelbagai rang undang-undang yang kritikal termasuklah membentangkan belanjawan bagi memulihkan negara daripada kemelesetan ekonomi.

"Segala usaha untuk memulihkan ekonomi negara, mencipta pekerjaan dan melonjakkan persaingan tidak akan berlaku tanpa kerajaan yang stabil dan Parlimen yang boleh berperanan melakukan semak dan imbang.

"Justeru, pembubaran Parlimen ini perlu dilakukan tanpa berlengah. Negara tidak boleh terus menerus diheret dengan debaran ketidaktentuan serta kemungkinan pertukaran kerajaan selang beberapa bulan.

"Ini bukan sesuatu yang sihat untuk negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam mengemukakan cadangannya itu, Mohamad meminta Muhyiddin mencontohi langkah diambil Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang membubarkan Parlimen republik itu bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan pada 10 Julai 2020. Keputusan itu dibuat bagi memastikan Kerajaan yang memerintah mempunyai mandat yang baik dan diyakini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kemajuan, kemakmuran dan kebolehsaingan negara sangat bergantung kepada kestabilan politik yang akan memberi kesan dan pengaruh kepada banyak perkara termasuklah kemasukan pelabur, aktiviti ekonomi dan ketenteraman sosial.

"Hanya kerajaan yang mempunyai mandat dan majoriti yang selesa di Parlimen dapat berfungsi dengan baik dan menumpukan segala fokus kepada memulihkan negara dari segala cabaran besar yang bersifat 'unprecedented' yang sedang kita hadapi.

"Negara ini adalah sebuah demokrasi berparlimen di mana kuasa sebenar ialah pada rakyat dan bukan pada sesiapa yang lain, apatah lagi blok-blok yang dibentuk sesedap rasa mengikut keselesaan dan kemahuan ahli politik.

"Oleh itu kembalikanlah kuasa kepada rakyat dan biarlah mereka yang menentukan jalan ke hadapan untuk negara kita," katanya.

Thursday, June 18, 2020

Pilihan raya: UMNO akan sokong keputusan Muhyiddin

@politik
-June 18, 2020


KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa parti tersebut sentiasa menyokong keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, Perdana Menteri tahu apa yang terbaik sama ada untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 mengejut atau sehingga habis penggal.

“UMNO sentiasa bersedia diadakan awal atau tidak tapi kita serahkan kepada PM untuk membuat keputusan,” katanya yang ditanya wartawan di pekarangan mahkamah, semalam.

Menjawab soalan lain yang mencadangkan Bersatu sepatutnya menyertai Muafakat Nasional (MN) Zahid berkata, bukan hanya Bersatu tapi mana-mana parti pun boleh.

Berkaitan Perikatan Nasional (PN), beliau memaklumkan bahawa ia gabungan daripada ahli parlimen dalam tiga parti.

Berkenaan pembahagian kerusi pula, katanya sekarang terlalu awal untuk bercakap soal kerusi.

Zahid berada di mahkamah ekoran mengikuti perbicaraan selepas berhadapan dengan 47 pendakwaan, kata portal Umno.

Friday, June 5, 2020

'Sekarang bukan masa untuk PRU' - Dr Mahathir

MyMetro
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

DR Mahathir pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
 FOTO Yusmizal Dolah Aling

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sekarang bukanlah masanya untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) susulan keadaan politik semasa negara.

Katanya, jika ia diadakan, ia tidak akan sama dengan pilihan raya sebelum ini kerana tidak ada kempen dan perhimpunan besar-besaran.

Beliau berkata, jika pilihan raya diadakan sekarang, beliau tidak pasti sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mendapat majoriti melebihi Pakatan Harapan (PH).

"Jika rakyat memilih untuk memberikan dia majoriti, tidak ada apa yang boleh saya lakukan," katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Ditanya apa yang beliau lakukan sekiranya kembali membentuk kerajaan, Dr Mahathir berkata, beliau akan membersihkan kerajaan dan agensi berkaitan.

"Kita ada idea dari segi ekonomi, peluang pekerjaan. Tetapi saya tidak akan beritahu anda.

"Saya pernah menguruskan beberapa perkara seperti ini sebelum ini dengan beberapa orang," katanya.

Pada sidang media sama, beliau mendakwa kerajaan hari ini menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi tekanan kepada pembangkang.

Ia susulan SPRM menahan seorang pemimpin Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, cara itu adalah sama digunakan ketika pemerintahan sebelum PH.

"Kita dapati mereka selepas dua tahun PH, kaedah ini kembali lagi iaitu dengan memberi tekanan menggunakan cara yang tidak sepatutnya.

"Jika SPRM terus mengenakan tekanan kepada kami, saya dengan agresif akan memberikan publisiti mengenai perkara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir turut memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang masalah dan sedia dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kalau dia ada masalah dengan saya, itu saya tidak tahu," katanya,

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 7:26 PM

Sunday, September 1, 2019

Pilihan Raya Umum Baharu Mungkin Jalan Terbaik Buat Negara


oleh Ab Jalil Backer


Tun Dr Mahathir berpandangan PH tidak akan kalah jika PRU diadakan hari ini.

Hari ini kerajaan berhadapan krisis kepercayaan di kalangan rakyat dan pelabur. Ekonomi merosot, pengangguran bertambah dan kos sara hidup tetap tinggi.

Paling menakutkan ialah kata-kata kerajaan tidak lagi boleh dipercayai dan sentiasa berubah-ubah.

Perpecahan di kalangan rakyat dan agama semakin melebar. Tidak cukup itu hubungan penduduk Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak juga mencapai tahap syak wasangka yang tidak sihat kepada perpaduan negara.

Dalam masa yang sama berlaku civil war dalam PH membabitkan kem Tun Mahathir dan kem Anwar Ibrahim.

Realitinya negara sedang berada dalam keadaan “mislead” dan “misdirection”.

Justeru eloklah Dewan Rakyat dibubarkan demi kestabilan politik negara dan mengelakkan dosa secara berterusan kerana membawa manifesto yang menipu rakyat

Pembubaran Parlimen akan memberi peluang PH mengemukakan manifesto yang boleh dilaksanakan untuk dihakimi pengundi dan sama ada rakyat akan menerima Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8.

Jika yakin boleh menang apa salah beri peluang rakyat buat keputusan semula berdasarkan janji yang boleh ditunaikan.

Sunday, April 29, 2018

'Kami memang sokong BN... jadi pembangkang'


PRU14 | Calon MCA Cheras Heng Sinn Yee ketika berkempen di pasar Yulek tersenyum kelat ketika beramah dengan pengundi yang pada mulanya seperti memberi kata-kata semangat kepadanya.

Heng yang memakai jaket putih dengan baju biru BN tersenyum lebar sambil bersalaman meramahi pengunjung pasar.

Seorang wanita kemudian bersalaman dengan Heng, juga sambil tersenyum dan memberikan kata-kata semangat.

"Kami memang akan sokong BN," kata wanita itu seperti cuba meyakinkan.

Sambil masih menggenggam erat tangan Heng, wanita itu kemudian menyambung dalam bahasa kantonis, "kami akan sokong BN untuk jadi pembangkang. Tak ada satu undi pun yang BN akan dapat."

Beberapa individu yang lain turut mengangguk tanda setuju. Heng cuba terus tersenyum namun kelihatan agak kekok.

Kejadian itu dirakam dan dimuat naik di akaun seorang pengguna Facebook.

Dalam kunjungan itu, Heng juga terserempak dengan lawannya, wakil Pakatan Harapan (HARAPAN) Tan Kok Wai yang merupakan penyandang parlimen Cheras sejak 1995.

Tan menyapa Heng menggunakan mikrofon dan memesan agar Heng menjaga kesihatan.

"Saya harap anda jaga kesihatan, jangan kerja keras sangat dan makan makanan berkhasiat," katanya.
Pada PRU lalu, anggota parlimen DAP itu memenangi Cheras dengan majoriti besar. PRU kali ini akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan HARAPAN di kerusi itu.

Laluan MCA sejak dua pilihan raya umum (PRU) lalu kelihatan sukar apabila kesemua calon parti itu kalah di Kuala Lumpur selain beberapa pergelutan bersama rakan sekutunya dalam merebut kerusi pada PRU kali ini.

Saturday, March 10, 2018

PAS rasa 'mustahil' HARAPAN boleh hapus cukai, GST


PAS mengakui pelaksanaan cukai adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk menguruskan negara.

Satu daripada cukai yang penting kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan ialah cukai barangan dan pekhidmatan (GST).

Namun katanya pelaksanaan GST perlu diselaraskan supaya tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.

"GST satu benda penting kepada kerajaan tetapi pelaksanaannya perlu diseraskan supaya beban kepada golongan berpendapatan rendah dapat diatasi," katanya kepada media selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan PAS Tumpat di Pantai Seri Tujuh, Tumpat, Kelatan, hari ini.

Mesyuarat tersebut dirasmikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Turut hadir Yang Dipertua PAS Tumpat merangkap Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Terdahulu, dalam manifestonya Pakatan Harapan (HARAPAN) antara lain berjanji menghapuskan GST sekiranya mereka menawan Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
GST sebanyak 6 peratus mula dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 menggantikan cukai perkhidmatan (pada kadar 6 peratus) dan cukai jualan (10 peratus).

Kerajaan mempertahankan pelaksanaan GST, malah ada pemimpin Umno menegaskan ia boleh menurunkan harga banyak barang keperluan.

Cuma ubah perkataan

Bagaimanapun bagi rakyat kebanyakan, tekanan untuk memenuhi keperluan harian semakin terasa akibat kenaikan kos sara hidup.

Pengkritik mendakwa peningkatan harga barang serta kos sara hidup banyak dipengaruhi oleh GST.

Kata Takiyuddin GST tidak boleh dihapuskan terus sebaliknya ada cara lain yang boleh dilaksanakan supaya tidak membebankan rakyat.

"Walaupun ada cukai tapi (sepatutnya) tidak membebankan rakyat.

"PAS akan beri cadangan dan penyelesaian mengenai cukai yang membebankan rakyat," katanya.

Baca 'Wahai guru yang membayar GST...'

Takiyuddin juga menganggap tiada yang baru pada manifesto HARAPAN kerana apa yang ditawarkan adalah idea kitar semula bagi menghadapi PRU.

Manifesto itu dilancarkan bersama oleh gabungan empat parti pembangkang berkenaan pada Khamis lalu.

Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata manifesto HARAPAN juga dilihat mustahil untuk dilaksanakan.

"Bagi PAS ia sama dengan Pakatan Rakyat dulu, cuma diubah dari segi perkataan sahaja," katanya.

Selain itu HARAPAN juga berjanji untuk mengurangkan kuasa perdana menteri melalui beberapa mekanisme bagi membolehkan amalan semak dan imbang dilaksanakan.

Dokumen yang dilancarkan di Shah Alam itu turut mengehadkan seseorang perdana menteri untuk berkhidmat selama dua penggal saja, selain menyekat pemegang jawatan terbabit memegang sebarang portfolio lain.

HARAPAN turut berikrar mengurangkan peruntukan Jabatan Perdana Menteri daripada RM17 bilion setahun kepada RM8 bilion, selain mengurangkan jumlah menteri di jabatan itu daripada 10 orang kepada tiga orang.

Wednesday, January 10, 2018

Selamatkan diri daripada 'Kebodohan Politik' berganda

Oleh Wartawan BO
-10/01/2018
 
Suhu politik negara kita sekarang ini sedang menaik, seiring dengan tempoh PRU yang semakin mendekat. Mengambil maklum bahawa perlunya kesedaran dikalangan rakyat dipertingkatkan, suka saya mengajak tuan-puan untuk membaca secebis cerita tauladan yang mungkin akan memberikan sedikit pengajaran kepada mereka yang mahu berfikir. Kisahnya begini…..

Di sebuah kampung, tinggal seorang peruncit tua yang mempunyai beberapa orang pekerja. Kedai runcitnya agak kecil, tetapi yang menariknya, ia mempunyai banyak barangan keperluan. Strategi jualannya adalah bagi membantu orang kampung untuk mendapatkan bekalan. Manakala keuntungan yang diambil cukup bagi membayar kos dan sedikit keuntungan yang sederhana. Pendek kata, dia tidak mengejar kekayaan yang melampau.

Strategi peruncit tua ini ditentang oleh beberapa pekerja-pekerjanya dan juga saudara mara yang terdekat. Ini bagi mereka, seharusnya keuntungan dilipatkan bagi menjamin kehidupan yang lebih selesa di masa depan, tanpa mengira masalah orang kampung yang memerlukan bekalan. Mereka mahu berhenti kerja, tetapi kerana di situ juga kurang terdapat peluang kerja, maka hasrat untuk berhenti dari kedai itu ditangguhkan.

Hasrat yang sudah lama terpendam itu akhirnya berjaya dilaksanakan apabila datang seorang kaya yang dikira sangat berjaya di dalam perniagaan, datang ke kampung itu, mengajak orang ramai menyertai perniagaan hyper marketnya. Dengan syarat mereka mestilah mengeluarkan wang belanja kepada orang kaya itu sebagai kononnya modal perniagaan mereka. Peluang yang terbuka ini digenggam seeratnya oleh para perkerja kedai runcit itu.

Maka berbondong-bondonglah mereka meletakkan jawatan sebagai pekerja kedai itu dan mengikut orang kaya yang menjanjikan kejayaan dan kekayaan dalam perniagaan baru mereka, sambil mulut mereka terkumat-kamit menghina tuan kedai runcit itu sebagai orang tua yang tidak tahu berniaga, bodoh, tak fikir untung, tiada wawasan dan sebagainya. Berhabis harta mereka mengeluarkan modal kepada orang kaya itu.

Yang tinggal ialah pekerja yang masih dedikasi, mempercayai perniagaan bukanlah hanya keuntungan sahaja, tetapi lebih utama tanggungjawab sosial yang wajib dilaksanakan. Apatah lagi keadaan penduduk kampung yang daif itu. Teruslah mereka bersama peruncit tua itu menjalankan perniagaan mereka seperti biasa. Dan tidaklah terjejas tugasan mereka kerana tidaklah sehebat mana mereka yang berhenti kerja itu walaupun mengaku pandai banyak hal. Akhirnya kedai runcit kecil itu semakin mendapat sambutan setelah orang kampung tidak mampu membeli di hyper market itu kerana harganya sentiasa berubah-rubah dan dengan promosi palsu yang membingungkan mereka kerana pengurusan yang tidak betul.

Setelah setahun, kedai runcit yang kecil itu menerima kemasukan untung sebanyak lebih RM40 ribu setahun, satu jumlah yang sangat besar bagi kedai runcit walaupun sudah meminimakan untung dan walaupun puas difitnah oleh bekas pekerjanya dan juga orang kaya itu. Ini adalah kerana kepercayaan orang kampung. Dan sebaliknya, projek hyper market yang menjanjikan keuntungan dan kekayaan tidak dimaklumkan berapakah jualannya kerana kerugian sentiasa.

Bekas pekerja kedai runcit itu yang dahulunya berjanji akan membekalkan sebanyak 130 jenis barangan yang sama asli dengan kedai runcit itu kepada orang kampung, hanya mampu membekalkan 27 jenis barangan tiruan sahaja. Itupun dengan ihsan oleh orang kaya itu. Manakala barangan lain diambil oleh orang lain. Walaupun tidak berpuashati, tetapi sebagai kuli, mereka tidak mampu melawan. Apalagi dengan modal mereka masih bersama orang tua yang kaya itu. Mereka mendiamkan diri sahaja.

Setelah lama dan masih kerugian, maka sedikit demi sedikit kisah orang kaya itu tersebar. Rupa-rupanya orang kaya tua itu adalah seorang bekas penipu di kampung itu juga yang kini kembali aktif menipu. Namun begitu, dia masih meneruskan penipuannya dengan memberi jaminan yang dia sudah bertaubat dan menjanjikan keuntungan yang lebih jika dia dikekalkan sebagai pengurus perniagaan itu. Mereka mempercayai orang tua itu dan diadakan majlis melantik orang tua penipu itu sebagai pengurus besar mereka sekali lagi. Orang kaya penipu itupun menangis kegembiraan diatas kepercayaan orang ramai itu.

Begitulah secebis kisah rekaan yang mungkin boleh dijadikan teladan kepada rakyat bagi menilai pasukan manakah yang patut diberikan kepercayaan bagi menerajui rakyat. Cara scammer perniagaan atau politik menjalankan tipu daya mereka amatlah mudah dikesan. Orang yang mudah terpedaya ialah orang yang tamak dan gila harta sehinggakan menjadi seperti orang bodoh.

Bodoh ditipu ‘scammer’ perniagaan biasanya sekali sahaja atas seorang penipu kerana dia tahu orang ramai akan mengenali dia jika sekali lagi menipu. Tetapi bodoh orang politik yang tamak boleh jadi berganda kerana walaupun muka, tubuh dan otak yang sama oleh si penipu, mereka tetap menerima penipu yang sama itu berulang kali kerana janji kuasa. Selamatkan diri anda daripada menjadi mangsa kebodohan berganda.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu

22 Rabiulakhir 1439/10 Januari 2018

Thursday, December 28, 2017

Markas PAS ganti bilik gerakan Umno-BN

Oleh Wartawan BO
27/12/2017
Pemuda PAS bergotong royong membersihkan markaz baharu mereka

KUALA TERENGGANU – PAS Kuala Terengganu berjaya ‘melupuskan’ sebuah premis yang selama ini menjadi bilik gerakan Umno dan Barisan Nasional (BN), ditukar menjadi markas pilihan raya PAS.

Yang DiPertuanya Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, gelombang kebangkitan dan penolakan rakyat kepada Umno begitu ketara.

“Kesempitan kehidupan dengan kos sara hidup yang tinggi serta cukai GST yang membebankan rakyat menjadikan rakyat menolak umno BN,

“(kini) orang Umno sendiri sudah hilang kepercayaan pada kepada Umno-BN,” tegasnya ketika dihubungi.
Lupus…..bilik gerakan Umno-BN kini menjadi markas UPU Gong Tok Nasek

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejayaan PAS Cawangan Gong Tok Nasek membangunkan markas tersebut yang terletak di Kampung Gong Parit, Gong Tok Nasek, Jalan Panji Alam, di sini.

Sehubungan itu, Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Batu Burok, Ustaz Mohd Soud Said mengucapkan syukur atas kejayaan tersebut.

“Dulu orang sewa situ, satu kedai makan dan sebuah lagi orang duduk……..yang belah orang duduk tu setiap kali PRU akan jadi bilik gerakan BN,

“sekarang kita akan jadikan (premis itu) markaz Unit Peti Undi (UPU) Gong Tok Nasek dan sebelahnya sebagai Markaz Induk Pemuda DUN Batu Burok,” jelas beliau.

Wednesday, December 27, 2017

Isu Felda boleh jejas BN

MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
26 DISEMBER 2017
Shahrir

SHAH ALAM - Isu pemindahan tanah hak milik Felda di Jalan Semarak perlu diberikan perhatian serius kerana sedikit sebanyak boleh mempengaruhi sokongan rakyat terhadap BN pada PRU akan datang.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, isu itu juga boleh mempengaruhi pola pengundian pada PRU14 kerana 54 kerusi Parlimen terletak di dalam kawasan tanah rancangan.

Beliau berkata, sudah sampai masa Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad melakukan tindakan pembersihan dan menyelesaikan isu-isu yang membabitkan agensi itu untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat.

“Kalau ada pihak mengatakan bahawa pihak lain mendedahkan bangkai yang terdedah kini adalah untuk menutup bangkai yang lain, ini adalah salah sama sekali. Ini kerana, bau bangkai lain masih lagi dihidu walaupun ianya ditutup," katanya.

Beliau berkata, bukan Shahrir sahaja yang perlu menyelesaikan isu ini, malah pihak berwajib seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis perlu mengheret individu yang terlibat ke muka pengadilan.

"Tindakan ini sekali gus dapat membersihkan nama baik kerajaan dan BN. Seperti kita ketahui, Felda merupakan kubu kuat BN khususnya Umno. Dengan timbulnya isu-isu membabitkan Felda, sudah pasti memberi kesan kepada pola pengundian peneroka kelak," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-