Diterbitkan: Sep 23, 2022 6:47 PM
Peguam Negara Idrus Harun berkata pihak pendakwaan akan meneliti penghakiman yang membebaskan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah Sistem Visa Luar Negara (VLN) sebelum memutuskan untuk membuat rayuan.
“Saya akan berbincang dengan pasukan pendakwaan dan meneliti asas yang dibuat oleh hakim,” katanya, lapor FMT.
Ini selepas Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Mohd Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tiga saksi utama tidak boleh dipercayai.
Saksi berkenaan ialah bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun yang merupakan saksi pendakwaan (SP) ke-15, 16 dan 17.

Zahid yang juga ahli parlimen Bagan Datuk didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah daripada UKSB berjumlah SG$13.56 juta (RM43.6 juta) antara 2014 dan 2017.
Tujuh lagi pertuduhan mendakwa Zahid memperoleh SG$1.15 juta, RM3.125 juta, 15,000 Swiss franc (RM70,000) dan AS$15,000 (RM68,000) daripada syarikat yang sama.
Zahid didakwa menerima rasuah supaya melanjutkan kontrak UKSB untuk mengendalikan perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta mengekalkan kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri bagi membekalkan sistem bersepadu VLN.

Zahid masih menghadapi perbicaraan berasingan kerana jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan itu di peringkat pembelaan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.