Showing posts with label VLN. Show all posts
Showing posts with label VLN. Show all posts

Monday, September 26, 2022

Kes VLN: Pendakwaan fail rayuan terhadap pembebasan Zahid

malaysiakini.com

Diterbitkan: Sep 26, 2022 8:42 PM
Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah sistem visa luar negara (VLN).

Notis untuk membawa kes itu ke peringkat Mahkamah Rayuan difailkan hari ini, menurut laporan The Edge.

Pada Jumaat lalu, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Mohd Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tiga saksi utama kes itu tidak boleh dipercayai.

Tiga saksi tersebut adalah bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun yang merupakan saksi pendakwaan (SP) ke-15, 16 dan 17.

"Saya dapati tiga saksi utama yang dipanggil oleh pihak pendakwaan adalah tidak boleh dipercayai dan tidak mempunyai kredibiliti,” katanya ketika itu.

Zahid dihadapkan dengan 33 pertuduhan menerima rasuah dari UKSB berjumlah SG$13.56 juta (RM43.6 juta) antara 2014 dan 2017.

Dia yang merupakan bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri dalam negeri turut dihadapkan tujuh pertuduhan mendapat SG$1.15 juta, RM3.125 juta, 15,000 Swiss franc (RM70,000) and AS$15,000 (RM68,000) dari syarikat sama.

Dia didakwa menerima rasuah untuk melanjutkan kontrak UKSB untuk mengendalikan servis one-stop centre (OSC) di China dan sistem VLN, serta mengekalkan kontrak dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem VLN bersepadu.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pada masa ini Zahid turut berdepan satu lagi perbicaraan atas pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan itu kini di peringkat pembelaan.

Friday, September 23, 2022

Ahli Parlimen pembangkang mahu jawapan berhubung pembebasan Zahid

freemalaysiatoday.com
Predeep Nambiar
-September 23, 2022 10:12 PM
Ahli Parlimen Pembangkang Fahmi Fadzil, Lim Guan Eng dan Hassan Karim bercakap mengenai pembebasan Ahmad Zahid Hamidi daripada tuduhan rasuah.

PETALING JAYA: Dua Ahli Parlimen pembangkang menggesa pihak pendakwaan menjawab berhubung kegagalan mereka membuktikan kes terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi atas tuduhan rasuah.

Bagaimanapun, seorang lagi Ahli Parlimen menggesa peguam negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Zahid, 69, hari ini dibebaskan daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk melanjutkan berkaitan sistem visa luar negara (VLN).

Hakim Mahkamah Tinggi Yazid Mustafa memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zahid, yang merupakan timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri ketika itu.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pejabat peguam negara perlu menjelaskan kegagalan mereka membuktikan kes prima facie terhadap Zahid.

“Berdasarkan keputusan hakim, mereka (pihak pendakwaan) telah gagal, jabatan peguam negara dan SPRM mesti jawab,” kata Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, pihak pendakwaan seharusnya menjawab bukan sahaja kepada peguam negara tetapi juga kepada orang ramai.

Beliau berkata, hakim telah membuat perbandingan antara kes Zahid dan Rosmah Mansor, khususnya tentang bagaimana pembayaran rasuah yang dikatakan telah dibuat.

“Seseorang akan tertanya-tanya apa yang membuatkan hakim membandingkan antara perincian yang diberikan oleh dua pasukan pendakwaan berbeza dengan kes masing-masing.

“Pada sama sama, kita semua perlu membaca penghakiman penuh sekiranya ia tersedia bagi memahami sepenuhnya keputusan ini,” kata Fahmi, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dari PKR berharap peguam negara memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

“Kami menerima penjelasan peguam negara bahawa penghakiman dalam kes Zahid di Mahkamah Tinggi di Shah Alam perlu diteliti dan dikaji sebelum rayuan difailkan,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang serangan terhadap hakim yang memutuskan untuk memihak kepada Zahid.

Beliau memohon alasan penghakiman didedahkan kepada umum seperti yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan Najib Razak dalam kes SRC International.

Keputusan kes Zahid buat warganet kecewa, rasa tak percaya

inforakyat.net
FARIDA ABD GHANI
Keputusan kes Zahid buat warganet kecewa, rasa tak percaya. Warganet meluahkan rasa kecewa dan tidak percaya mereka di media sosial terhadap pembebasan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi daripada tuduhan rasuah berhubung kontrak sistem visa luar negara (VLN).

Zahid menjadi “trending” di Twitter, dengan lebih 12,000 hantaran menyebut bekas timbalan perdana menteri itu.

Seorang pengguna @shieranism berkata: “Zahid bebas? Serius? ‘What the fish’”.

Seorang lagi pengguna dengan nama @adelkamall, menyatakan betapa bagusnya peguam Zahid.

Pengguna, @YbSadik berkata ia adalah berita yang “membimbangkan”. “Apa pun, harap Zahid tidak terlalu gembira. Saya percaya yang paling buruk masih belum datang untuknya,” kata @YbSadik, merujuk kepada perbicaraan pengubahan wang haram dan pecah amanah Zahid.

Seorang lagi pengguna dengan nama @datukhensem, menyindir bahawa jika penyokong Umno boleh menerima keputusan mahkamah ke atas Zahid, mereka perlu menerima keputusan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak, yang baru-baru ini dipenjarakan selepas kalah dalam rayuannya dalam kes SRC International.

Seorang pengguna dikenali sebagai shanghaifish membuat hantaran, seorang lelaki dibebaskan “untuk menyelamatkan orang lain daripada kutukan”.

“Sistem keadilan apakah ini? Bangsa yang tidak tahu malu dan korup.”

Zahid, 69, bebas daripada 40 tuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk menyambung kontrak berkaitan sistem visa luar negara (VLN).

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap presiden Umno itu.

Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Dia juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.

AG akan teliti penghakiman sebelum rayu keputusan bebaskan Zahid

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 23, 2022 6:47 PM
Peguam Negara Idrus Harun berkata pihak pendakwaan akan meneliti penghakiman yang membebaskan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah Sistem Visa Luar Negara (VLN) sebelum memutuskan untuk membuat rayuan.

“Saya akan berbincang dengan pasukan pendakwaan dan meneliti asas yang dibuat oleh hakim,” katanya, lapor FMT.

Ini selepas Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Mohd Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tiga saksi utama tidak boleh dipercayai.

Saksi berkenaan ialah bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun yang merupakan saksi pendakwaan (SP) ke-15, 16 dan 17.
"Berdasarkan alasan dan analisis bukti dan undang-undang di atas, saya dengan ini melepas dan membebaskan tertuduh daripada semua pertuduhan tanpa memanggil pembelaannya kerana pihak pendakwaan telah gagal mewujudkan kes prima facie," kata Yazid dalam penghakimannya.

Zahid yang juga ahli parlimen Bagan Datuk didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah daripada UKSB berjumlah SG$13.56 juta (RM43.6 juta) antara 2014 dan 2017.

Tujuh lagi pertuduhan mendakwa Zahid memperoleh SG$1.15 juta, RM3.125 juta, 15,000 Swiss franc (RM70,000) dan AS$15,000 (RM68,000) daripada syarikat yang sama.

Zahid didakwa menerima rasuah supaya melanjutkan kontrak UKSB untuk mengendalikan perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta mengekalkan kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri bagi membekalkan sistem bersepadu VLN.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Zahid masih menghadapi perbicaraan berasingan kerana jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan itu di peringkat pembelaan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-