Tuesday, September 20, 2022

Elok PM tekan butang bubar Parlimen, kata Bung

agendaily.com
20/09/2022
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dituduh di mahkamah berkaitan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicadangkan membubar Parlimen segera dan mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), kata Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung Moktar yang juga salah seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO dan juga berdepan kes mahkamah berkata, lebih baik Ismail Sabri mengambil tindakan segera kerana kekangan terdapat dalam Kabinetnya terdiri daripada pelbagai parti komponen yang membentuk kerajaan.

“Perdana menteri tidak boleh melakukan sesuatu tanpa berunding terlebih dahulu dengan parti yang mendukung kerajaan hari ini, sebab itu ramai melihat kerajaan sementara ini tidak boleh mentadbir terlalu lama sebab banyak faktor negatif akan berlaku.

“Jalan terbaik ialah Perdana Menteri mesti membubarkan Parlimen dan adakan pilihan raya tahun ini,” katanya dipetik laporan FMT hari ini.

Dakwa Bung lagi, kerajaan Ismail Sabri tidak bebas dalam melaksanakan hala tuju pentadbirannya kerana kononnya cadangan sering dibantah rakan dalam kerajaan.

“Kedua, Perdana Menteri tidak bebas melaksanakan hala tuju ekonomi sebab kebanyakan cadangan dibantah oleh rakan dalam kerajaan,” katanya lagi.

Sabtu lalu (17 September), Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional (BN) sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU-15 diadakan tahun ini, sambil menegaskan isyarat yang diberikan ahli parti supaya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat adalah jelas dan nyata.

Beliau berkata, ia adalah berdasarkan laungan ‘Bubar’ oleh lebih 10,000 pemuda BN yang bergema dalam Stadium Titiwangsa.

Katanya, susulan isyarat yang jelas itu pihaknya berharap Ismail Sabri dapat menetapkan tarikh pembubaran Parlimen dalam masa terdekat ini.

“Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut tetapi kalau Perdana Menteri bubar masa banjir pun, sanggup redah banjir untuk bertanding.

“Isyaratnya adalah jelas dan nyata…’top five’ diberikan mandat untuk berbincang tetapi tarikh belum ditetapkan.

“Jangan bincang sahaja…kena cepat jangan tunggu lama-lama kerana penghasut sedang bekerja keras…PRU-15 tidak boleh ditunggu-tunggu lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-