Sunday, September 25, 2022

Jika PH menang PRU15, DAP akan berkuasa: M Saravanan

ismaweb.net
Ainul Illia

‘Anwar takkan dapat jadi PM tanpa sokongan DAP’

TAPAH, 28 Safar 1444H, Ahad – Sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), DAP yang akan menentukan haluan pentadbiran negara, demikian dakwa Datuk Seri M Saravanan.

Menteri Sumber Manusia itu berkata, orang ramai perlu sedar DAP akan mendapat kerusi terbanyak jika PH menang dan Kerajaan Persekutuan tidak boleh dibentuk tanpa parti itu.

“Antara DAP, PKR, Amanah dan Muda, siapa yang anda rasa akan mendapat lebih banyak kerusi?

“DAP akan mempunyai kerusi terbanyak dan akan menentukan bagaimana negara ini dikendalikan,” katanya seperti dilapor The Star.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 Barisan Nasional Tapah di Arena Merdeka, hari ini.

Mengulas lanjut, M Saravanan mendakwa, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tidak boleh menjadi Perdana Menteri tanpa sokongan daripada DAP.

“Akhirnya DAP akan (berkuasa) walaupun dia (Anwar) jadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara sebaliknya berlaku jika Barisan Nasional (BN) yang memenangi pilihan raya.

“Jika BN menang, Perdana Menteri akan memutuskan segala-galanya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada BN yakin dengan kemungkinan berdepan DAP bagi kerusi Parlimen pada PRU15, M Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, DAP dan PH seharusnya tidak lagi diberi peluang untuk mentadbir negara.

“Kita telah melihat apa yang berlaku dalam tempoh 22 bulan memerintah dan bagaimana rakyat menderita.

“Rakyat boleh menilai parti mana lebih sesuai memimpin negara secara aman.

“Saya dapat lihat ramai rakyat Malaysia sedar hanya BN dan UMNO yang mempunyai DNA untuk jaga kebajikan rakyat, seperti yang dilihat di Johor dan Melaka (pilihan raya negeri),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-