Wednesday, September 21, 2022

Kes Yayasan Akalbudi: Mahkamah benarkan sebahagian besar keterangan Fadzlette

bharian.com.my
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali 
ajohari@bh.com.my
- September 21, 2022 @ 12:47pm
Zahid Hamidi hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada sambung bicara kes rasuah dana Yayasan Akalbudi. - Foto fail NSTP/Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan sebahagian besar pernyataan bertulis Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican diterima dalam perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun memutuskan ayat terakhir perenggan 17, keseluruhan perenggan 18 dan ayat terakhir perenggan 22 dalam pernyataan bertulis saksi (Fadzlette) yang dikatakan menyentuh mengenai isu kredibiliti bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, iaitu Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, dipadamkan daripada dokumen berkenaan.

Pernyataan saksi Fadzlette yang juga bekas setiausaha akhbar dan saksi pembelaan kedua bagi pihak Ahmad Zahid keseluruhannya mengandungi 34 perenggan. Beliau kini memegang jawatan sebagai Pengarah Media Presiden UMNO.

Sequerah dalam keputusannya berkata, selain daripada tiga perenggan yang dipadamkan itu, beliau mendapati perenggan lain adalah berkaitan fakta secara langsung kepada isu yang membentuk teras kes pembelaan Ahmad Zahid.

Menurut hakim itu, oleh yang demikian sebahagian besar perenggan yang terkandung dalam pernyataan saksi Fadzlette bukan perkara sampingan mengikut Seksyen 153 Akta Keterangan 1950.

Sequerah berkata demikian selepas menolak bantahan pendakwaan terhadap pernyataan saksi pembelaan kedua itu dan memohon supaya perenggan 16 hingga 30 dipadamkan dengan alasan tidak relevan kepada kes serta hanya isu sampingan.

Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadi dan polisi insurans serta lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-