Saturday, September 24, 2022

Lebih baik adakan PRU15 tahun depan, kata Anwar

freemalaysiatoday.com
Samuel Chua
-September 24, 2022 11:00 PM
Anwar Ibrahim berkata keputusan mengadakan pilihan raya umum bergantung kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Yang-di Pertuan Agong.

PETALING JAYA: Kerajaan harus bertanggungjawab dengan mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada masa sesuai dan tidak membebankan rakyat pada tahun depan, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata beliau bimbang dengan kemungkinan PRU diadakan ketika musim banjir dan menegaskan, ia hanya boleh dilangsungkan apabila keadaan terkawal.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan kejujuran pembangkang yang membantah PRU15 diadakan pada musim tengkujuh kerana takut akan kalah.

Ketika melancarkan jentera pilihan raya Pemuda BN pada 17 Sept lalu, Zahid dilaporkan berkata, gabungan itu sanggup meredah banjir untuk berkempen, jika PRU15 diadakan pada musim tengkujuh. Kenyataan itu kemudian dikritik pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Anwar berkata, sokongan rakyat terhadap PKR dilihat semakin meningkat, merujuk kepada sambutan dalam ceramah mega parti itu di Gombak, Kuala Pilah dan Port Dickson.

“Ini kerana rakyat kecewa dengan peningkatan kos hidup, kejatuhan nilai ringgit dan rasuah di semua bahagian kementerian,” katanya.

Anwar berkata, bibit bibit perpecahan dalam kalangan parti membentuk kerajaan semakin jelas terutama membabitkan kumpulan Ismail dan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pada 19 Sept, Muhyiddin menyarankan Ismail membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15, jika gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.

Muhyiddin menyatakan rasa tidak puas hati terhadap isu kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat, di mana 61% daripada mereka berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah (B60).

Ismail berkata, semua pihak termasuk Muhyiddin yang menjadi pengerusi Majlis Pemulihan Ekonomi Negara (MPN) juga perlu bertanggungjawab ke atas pentadbiran kerajaan termasuk perkara melibatkan ekonomi dan negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-