Friday, September 30, 2022

'Pimpinan tertinggi UMNO berpandangan kerjasama dengan PAS perlu'

bharian.com.my
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohd_iskandar@bh.com.my
 - September 30, 2022 @ 10:59pm
Zahidi (kanan) turut menghadiri Mesyuarat MKT UMNO, malam ini. 
FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR: Semua ahli pimpinan tertinggi UMNO berpandangan bahawa kerjasama dengan PAS perlu diadakan demi kepentingan ummah.

Perkara itu dimaklumkan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin, kepada pemberita sejurus selesai mesyuarat MKT, di sini, sebentar tadi.

"Jadi, rundingan (UMNO-PAS) akan dibuat oleh Presiden parti dan jawatankuasa yang kita bentuk bagi melihat hasil perbincangan dengan parti berkenaan (PAS)," katanya.

Bagaimanapun, mesyuarat MKT UMNO malam ini masih berteka-teki berhubung tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Biarpun ditanya beberapa kali oleh pemberita sama ada MKT sudah membuat ketetapan berhubung tarikh PRU akan datang, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ketika ditemui sekadar memaklumkan perkara itu merupakan budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Mesyuarat ini adalah mesyuarat bulanan, dan kita berbincang secara mendalam mengenai soal pilihan raya, selain sedang mengukur persediaan serta kekuatan parti.

"Kita mengaku ia (membubarkan Parlimen adalah) budi bicara Perdana Menteri dan UMNO menghormati perkara itu," katanya.

Mohamed Khaled berkata, UMNO tetap seperti dahulu dan mahu PRU-15 diadakan segera.

Katanya, UMNO sudah bersedia untuk masuk ke gelanggang PRU-15 pada bila-bila masa.

Ditanya sama ada mesyuarat kali ini membincangkan soal kerjasama dengan PAS, beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ada melaporkan berhubung perjumpaannya dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-